NUFFNANG

Tuesday 29 September 2009

'Hasan Ali bohong'

'Hasan Ali bohong'

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my


TENG (kiri) menyambut ketibaan Hasan ketika mengadakan pertemuan dengan semua Exco negeri, wakil rakyat Pakatan Rakyat serta pegawai daerah berhubung isu Selcat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, malam tadi.

Pengerusi Selcat Selangor nafi label pegawai daerah tak cekap

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor, Teng Chang Khim, mendakwa Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berbohong apabila menuduhnya melabel pegawai daerah di negeri ini 'tidak cekap' dan 'tidak layak' memegang jawatan berkenaan.

Teng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang dari DAP, berkata beliau tidak pernah membuat kenyataan sedemikian ketika pegawai daerah disoal mengenai prosedur kelulusan pengagihan peruntukan RM500,000 setahun bagi wakil rakyat dalam pendengaran awam, baru-baru ini.

"Beliau (Hasan) kata saya menuduh pegawai daerah sebagai tidak cekap dan tidak layak pada sidang media selepas setiap pendengaran. Ini satu penipuan yang nyata oleh Hasan Ali.

"Beliau kini cuba berbohong untuk menutup penipuan pertamanya. Beliau sering tidak konsisten dalam semua kenyataannya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hasan sebelum ini dilaporkan berkata beliau mencadangkan supaya Selcat ditambah baik apabila mendengar isteri Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Husin, kini malu untuk keluar rumah selepas suaminya dikatakan tidak cekap dan tidak layak untuk memegang jawatan itu.

Teng bagaimanapun mempersoalkan kejujuran Hasan untuk memperkemaskan Selcat kerana Pesuruhjaya Pas itu tidak menghubunginya selepas menerima aduan mengenai pegawai daerah yang didakwa dibuli jawatankuasa itu.

Katanya, Hasan tidak sepatutnya bercakap mengenai memperbaiki prosedur Selcat kerana penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan peraturan.

"Ia tidak ada kena mengena dengan prosedur. Jika mereka merasakan ia tidak wajar, mereka patut bercakap mengenai kod etika dan bukan prosedur," katanya yang tidak bersetuju dengan cadangan Hasan supaya Selcat melakukan pendengaran secara tertutup untuk melindungi integriti pegawai awam.

Katanya, integriti adalah mengenai kejujuran dan bagaimana hendak melindungi kejujuran dalam pendengaran tertutup.

Beliau berkata, Hasan perlu berhenti bermain politik dalam usahanya mencari sokongan di kalangan penjawat awam, sedangkan Pesuruhjaya Pas itu sendiri didakwa pernah mencadangkan pertukaran beberapa pegawai daerah dan Yang Dipertua.

"Saya sendiri pernah melihat senarai cadangan pertukaran. Tiba-tiba beliau bertukar menjadi pelindung kepada penjawat awam. Saya memberi peluang kepadanya untuk bertaubat. Bertaubatlah," katanya.

Teng berkata, beliau bimbang tindak-tanduk Hasan itu boleh menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya sangat percaya jika mereka terus dengan perbuatan ini, Pakatan Rakyat di Selangor bukan dikalahkan Barisan Nasional (BN), tetapi oleh Pas pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Teng bahawa Pakatan Rakyat mungkin kalah disebabkan Pas, berkata ia tidak ada kena mengena dengan pentadbiran Selangor.

"Apa yang ada kena mengena dengan pentadbiran negeri ini ialah perkara berkaitan Selcat," katanya.

Mengenai mesyuarat tertutup berhubung isu Selcat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak merombak prosedur sekali gus mengekalkan keanggotaan Selcat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam perbincangan hampir dua jam membabitkan semua Exco negeri, termasuk Datuk Dr Hasan Mohamed Ali; Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Teng Chang Khim; Pegawai Daerah; Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT); wakil rakyat dan ahli parlimen.

"Selcat juga akan tetap diadakan secara terbuka seperti sebelum ini dan pegawai kerajaan boleh dipanggil memberi keterangan jika perlu," katanya sambil menambah sebarang perubahan terhadap Selcat perlu dibincangkan dan dibahaskan pada sidang Dewan, jika perlu.

Hasan yang juga ditemui selepas mesyuarat itu bersetuju dengan keputusan yang dicapai pada mesyuarat malam tadi.

Mengenai saranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, supaya tindakan diambil terhadap Hasan, Abdul Khalid berkata:

"Ini semua tukang sorak saja, tukang sorak ini kita kurangkan. Bagi saya ia adalah satu sorakan dan bukan satu cadangan yang boleh kita ambil kira."

source : bharian.com.my

No comments: