Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang lantang mengkritik pakatan pembangkang sehingga menyebabkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengungkit soal bertanding atas tiket PAS dan mendesaknya berundur, mendapat pembelaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyifatkan Ibrahim diperlukan bagi menegur baik kerajaan mahupun pembangkang, Dr Mahathir yang memang terkenal dengan kenyataan berkias seolah-olah bersetuju dengan desakan Ibrahim agar Nik Aziz berundur kerana telah lama duduk di kerusi Menteri Besar.

“Dia jadi Menteri Besar lama dah, tapi semua orang tahu Kelantan adalah antara negeri yang termundur…jadi sedikit sebanyak Nik Aziz bertanggungjawab dan dia kena terima hakikat itu,” katanya.

Di negara lain menurut Dr Mahathir, pemimpin akan melepaskan jawatan mereka apabila tidak lagi boleh melaksanakan tugas mereka tetapi di Malaysia sebaliknya pula berlaku ‘seseorang menjadi pemimpin dan mahu terus pegang jawatan sepanjang hayat”.

“Saya rasa Nik Aziz dah berada di situ untuk jangka masa yang lama. Saya dulu letak jawatan…saya rasa orang sudah tak suka kepada saya jadi saya berundur. Masalah dengan kedudukan yang selesa ialah kita tidak mahu lepaskannya,” ujar hari Isnin di Kuala Lumpur.

Mengenai kelantangan Ibrahim, Dr. Mahathir menegaskan adalah penting untuk ada orang seperti itu yang lantang menegur salah laku baik oleh kerajaan mahupun pembangkang.

“Saya rasa kita perlu seseorang macam itu, yang bebas dan pentingkan pentadbiran yang baik dan akan mengkritik tidak kira kerajaan atau pembangkang,” jelas beliau. – 28/9/2009






Bila kena batang hidung sendiri...

Sepuluh tahun lalu semasa arus reformasi menggelegak, salah satu isu utama yang dimainkan oleh pembangkang ialah desakan supaya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berundur daripada jawatannya.

Pada masa itu Dr Mahathir telah memegang jawatan Perdana Menteri selama 18 tahun. Ekoran pemecatan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan kerajaan dan parti, laungan ‘undur Mahathir undur’ dan ‘turun Mahathir turun’ menjadi laungan wajib dalam mana-mana perhimpunan menyokong Anwar yang diadakan.

Alasan mereka Dr Mahathir yang telah lama memegang tampuk kuasa perlu berundur demi untuk menyelamatkan Malaysia kononnya.

Empat tahun selepas itu Dr Mahathir berundur setelah berada di kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Kini apabila ada suara yang mendesak agar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur setelah 19 tahun duduk di singahsana Menteri Besar negeri Cik Siti Wan Kembang itu, ia dianggap isu lapuk dan tidak perlu dilayan.

Menjawab desakan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bebas kawasan Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali itu bukanlah orang lain tetapi Nik Aziz sendiri.

Menurut Nik Aziz, desakan Ibrahim itu adalah isu lama yang tidak peru dilayan kerana beliau yakin rakyat Kelantan dapat menilai pentadbirannya sejak tahun 1990.

Kata beliau, faktor tua bukanlah penghalang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin politik.

"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya seolah-olah lupa beliau juga pernah senada menuntut Dr Mahathir berundur 10 tahun lalu atas alasan telah terlalu lama menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, di Kota Bharu hari Ahad.

Hari Sabtu Ibrahim mencabar Nik Aziz meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar di samping Menteri Besar itu sudah tua dan sewajarnya memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Desakan Ibrahim itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana banyak pihak sebelum ini dilaporkan mempertikaikan kemampuan Nik Aziz untuk melaksanakan tugas Menteri Besar kerana sering tidak berada di pejabat dan menyerahkan urusan pentadbiran harian kepada sekumpulan Exco khususnya anak didik beliau Datuk Husam Musa.

Ibrahim mengulangi cabarannya itu ekoran desakan agar beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli parlimen yang dibuat oleh Nik Aziz sebelum ini.

Nik Aziz mendesak Ibrahim meletakkan jawatan kerana pendirian beliau sebagai Ahli Parlimen Bebas yang bertanding menggunakan lambing PAS pada pilihan raya umum 2008 sudah tidak selari dan bertentangan dengan PAS serta pakata pembangkang.

Ibrahim sejak menjadi Ahli Parlimen Bebas sering melontarkan pandangan yang mengkritik pakatan pembangkang terutama semasa dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan bagi ebliau, suaranya adalah bebas demi untuk mempertahankan hak orang Melayu dan Islam yang sering dipermainkan oleh pakatan pembangkang khususnya sekutu PAS iaitu DAP dan PKR.

Malah kedudukan Ibrahim sering mendapat perhatian hingga ada yang membuat andaian beliau kemungkinan akan menyertai UMNO semula setelah dilihat secara terbuka bertentangan dengan pendirian pakatan pembangkang. – 27/9/2009


source : agendadaily.com