"Pernahkah kita terbayang Nizar beri nasihat kepada saya kalau dapat duit yang ada kaitan dengan balak jangan simpan dalam akaun, nanti susah, simpan tempat lain, kena cermat dan hati-hati," itulah soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dalam temubual SIRI AKHIR dengan Agendadaily.

Beliau membangkitkan perkara tersebut bagi menggambarkan betapa perjuangan menegakkan keadilan, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan, hanya retorik sebelum berkuasa.

"Apabila dah berkuasa dua kali lima saja," katanya.

Malah beliau turut menyatakan sepanjang 11 bulan pakatan pembangkang memerintah negeri Perak, agenda perjuangan yang dilaungkan selama ini tidak nampak pelaksanaannya.

"Selama 11 bulan memerintah, saya tak nampak agenda perjuangan yang dilaung-laungkan dulu dilaksanakan. Hanya yang berlaku lulus tanah kepada Cina, beri balak kepada pimpinan parti dan terus dengan program ceramah saja ," katanya

Selain penguasaan Ngeh dan Nga dalam Exco dan mainan politik PKR, apakah punca YB bertindak tinggalkan kerajaan campuran pakatan pembangkang?

"Atas isu agama. Kebebasan yang terlalu sangat diberikan. Dalam mesyuarat Exco mereka rancang hendak mengadakan tokong Hindu dan gereja di setiap taman perumahan. Kita hormat agama lain kerana kebebasan beragama dijamin dalam Perlembagaan. Tapi untuk mewujudkan tokong Hindu dan gereja di setiap taman perumahan, saya kira ini dah keterlaluan.

Mana pernah berlaku sebelum ini. Bagi saya ini melambangkan tiadanya penghormatan kepada Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Nizar bukan pejuang Islam, bohong, dia hanya nak jaga kepentingan diri sahaja".

Sejak sertai PKR dulu hingga sekarang, adakah YB menduga ini akan berlaku akhirnya?

"Pada peringkat awal kita percayalah tentang keadilan, menentang rasuah dan penyelewengan, tentang salah guna kuasa. Ini yang kita nak bawa. ini perjuangan kita bersama selama ini.

Tapi apabila dapat bentuk kerajaan sebagai sebuah pakatan, itu juga yang berlaku. Serupa sahaja. Maknanya hanya nak rebut kuasa. Apabila dah berkuasa sama saja, serupa saja.

Cuma lebihnya PKR dia dah dekati rakyat dari dulu lagi, Jadi kalau ada orang kata PKR tak betul, rakyat susah nak percaya.

Selama 11 bulan memerintah, saya tak nampak agenda perjuangan yang dilaung-laungkan dulu dilaksanakan. Hanya yang berlaku lulus tanah kepada Cina, beri balak kepada pimpinan parti dan terus dengan program ceramah."

YB sebut soal ‘sama je bila dah memerintah’ apa yang YB maksudkan

"Seperti saya jelaskan, isu utama saya keluar kerajaan pakatan pembangkang ini kerana Nizar tak jaga kepentingan Melayu. PKR pula ada konspirasi nak jatuhkan saya. Kalau kata saya keluar kerana wang ringgit, lama dah saya keluar. Selepas pilihan raya umum 2008 saya dah keluar dah kalau saya nak duit.

Selain itu saya lihat soal-soal salah guna kuasa dan penyelewengan, mereka pun sebat juga.

Bohonglah kalau mereka kata mereka bersih tak ada salah guna kuasa atau menyeleweng.

Nizar pernah sebut pada saya soal balak untuk pilihan raya kecil. Saya bawa kepada dia permohonan untuk sebuah tanah kerajaan. Dia kata nak kena bawa dalam mesyuarat dulu tapi saya tanya Jabatan Hutan. Tanah kerajaan tak perlu dibawa mesyuarat, MB sahkan sahaja. Akhirnya kawasan itu diberikan kepada orang lain tanpa dibawa dalam mesyuarat pun.

Tapi apa yang menariknya, dia ada nasihat saya, kalau dapat duit jangan simpan dalam akaun nanti susah. Kena sorok kena cermat katanya. Dia ajar saya buat kerja jahat. Kalau boleh ajar ajar saya buat jahat... kamu buat tak benda itu?.

Serupa aje mereka ini. Usah ceritalah, pembohong aje mereka ni. Kata kita akan dipersoalkan di akhirat. Kalau dulu kita kata UMNO ini penyamun, mereka lagi teruk . penyamun, perogol dan pembunuh sekali.

Apa yang saya lihat dalam masa saya banyak menyuarakan pandangan dan menegur kepimpinan Nizar sebagai MB, Nizar pada masa yang sama main politik dengan jaga kepentingan pimpinan negeri PKR. Dia bagi balak kepada mereka. Kalau PKR Bahagian Tanjung Malim yang saya ketuai mohon tidak diluluskan tapi kalau dipohon oleh pimpinan PKR negeri dia luluskan.

Sebab itu kawasan balak diluluskan kepada pimpinan PKR negeri ketika itu Zulkefli Ibrahim yang juga Ketua PKR Tambun dan Ketua Wanita, Suzana, Ketua PKR Bukit Gantang, Ismail dan bekas ADUN Bota Usaili. Tiga empat orang inilah yang dapat. Pimpinan PKR lain tidak diberikan. Mereka ini adalah kumpulan ABIM dalam PKR.

Bagaimana sambutan orang Behrang kepada YB selepas jadi ADUN Bebas?

Saya di Behrang, Alhamdulilah masyarakat masih boleh terima saya. Masyarakat Cina dan majoriti masyarakat Melayu terima saya dengan baik. Selepas jadi ADUN Bebas beberapa program yang dianjurkan dapat sambutan. Yang marah dengan saya ahli-ahli PAS sahaja.

PKR Tanjung Malim bagi saya boleh dianggap dah hancur. Masyarakat Cina yang selama ini menjadi ahli PKR di Tanjung Malim sering tanya saya bila nak buat perisytiharan beramai-ramai keluar PKR.

Kepimpinan PKR Tanjung Malim bersama saya. Sekarang yang memangku Ketua Bahagian adalah orang Teluk Intan yang tidak diterima oleh ahli PKR sendiri.

Saya yakin dalam pilihan raya akan datang, BN mampu untuk menang di Behrang.

Selain daripada isu yang berlaku, saya dah dengar lama di Behrang, mereka menyesal undi pembangkang kerana niat asal mereka hanya untuk mengajar BN tapi rupa-rupanya Perak jatuh ke tangan pembangkang. Kesedaran khususnya di kalangan orang Melayu dah ada. Mereka sudah mula kembali kepada UMNO.

Cuma bagaimana dengan sikap orang bukan Melayu.

Hari ini yang rugi bukan sahaja UMNO di Perak tapi orang Melayu keseluruhannya. Setelah melihat apa yang berlaku di Perak saya beritahu kawan-kawan, kita janganlah kerana marahkan nyamuk, kita bakar kelambu.

Jangan kita bakar UMNO tapi lebih baik kita halau nyamuk-nyamuk itu. Cuma orang UMNO janganlah sekat jika ramai yang nak kembali kepada parti itu.

Salah UMNO pun ada, pimpinan tidak turun ke bawah. Pimpinan UMNO di Cawangan tidak mesra rakyat. Sekat orang yang hendak masuk UMNO…semua ini sebabkan orang makin jauh dengan UMNO. Saya sampaikan ni semasa kami semua jumpa Datuk Seri Najib bagi nyatakan sokongan kepada BN.

Rakyat sebenarnya bukan suka dengan pakatan pembangkang tetapi kerana marah dengan UMNO dan tiada pilihan mereka beri sokongan kepada pembangkang. Itu saja," katanya mengakhiri temubual. - 21/5/2009



DAP tawar MB kepada saya...PKR main politik kotor




Tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi meninggalkan PKR dan menjadi ADUN Bebas dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan kononnya beliau telah ‘dibeli’.

Malah, tindakannnya itu juga dituduh sebagai cubaan untuk mendapat perlindungan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan dirinya daripada menghadapi tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya.

Namun tuduhan-tuduhan yang berat itu sedikit pun tidak menjejaskan dirinya kerana pada hakikatnya beliau tahu apa yang berlaku.

Dalam temubual bersama Agendadaily beliau menceritakan secara terperinci bagaimana mainan politik dalaman PKR sehingga membawa kepada tindakan beliau dan ADUN Changkat Jering meninggalkan parti tersebut

SIRI KEDUA temubual ini berkisar kepada isu-isu yang berkaitan dengan ‘sepak terajang politik’ PKR serta tawaran kepada beliau untuk menjadi Menteri Besar Perak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Keputusan saya meninggalkan kerajaan pakatan pembangkang dulu bukan kerana habuan atau jawatan. Kalau itu yang saya mahu, saya dah jadi MB sama ada MB daripada parti PKR atau MB daripada DAP. Malah kalau saya gila sangat nak jawatan itu, masa keluar PKR dan sedia memberikan sokongan kepada BN, saya boleh kenakan syarat agar saya dipilih menjadi Menteri Besar.” ujarnya.

Kalau begitu kenapa YB membuat keputusan meninggalkan PKR selain daripada sebab-sebab yang telah YB bagi tahu (pada temubual siri pertama sebelum ini).

“Dalam PKR pun ada konspirasi untuk pinggirkan saya dengan Kapten Osman. Ia bermula daripada soal tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap saya dan Kapten Osman sehinggalah kepada peristiwa bila mana ADUN BN kawasan Bota, Datuk Nasharuddin sertai PKR.

Kononnya ada tiga lagi ADUN BN yang akan ikut sama. Mereka yang hendak masuk ini dijanjikan jawatan Exco.

Usaha ini dibuat kerana dengan tambahan empat kerusi daripada BN, kerusi pakatan akan bertambah kepada 35 dan BN tinggal 24 kerusi sahaja.

Jadi sebab itu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman sebagai ADUN dikeluarkan kerana mereka dah yakin ada majoriti lebih dengan kemasukkan empat ADUN BN ke dalam PKR. 35 kerusi jika ditolak dengan dua kerusi saya dan Kapten Osman mereka masih ada majoriti 33 kerusi.

Apakah ini merupakan mainan politik pimpinan PKR di peringkat negeri Perak untuk menyingkirkan beliau dan Kapten Osman?

Sebenarnya ini adalah mainan politik pimpinan PKR negeri Perak dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Kenapa saya kata begitu. Pada malam timbul isu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman telah diserahkan kepada ( Speaker Dewan Undangan Negeri) V. Sivakumar, kenapa Anwar pada malam itu tidak ambil inisiatif hubungi Sivakumar sebagai Speaker untuk jangan serahkan surat perletakan jawatan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam kes Arumugam di Bukit Selambau, kenapa Anwar boleh simpan dulu surat perletakan jawatan bagi cara jalan penyelesaian, Kenapa dalam kes kami sepatah pun dia tak cakap apa-apa.

Kenapa tak tunggu kami balik kerja. Maknanya Anwar setuju dengan tindakan ini kerana dia mempunyai perancangan, bagi kerusi Changkat Jering, Ketua Bahagian PKR , Ismail hendak dijadikan calon manakala di Behrang, Ketua Bahagian PKR Pasir Salak, Mustapa Kamil Ayub akan dicalonkan.

Ini cara mereka… buat rancangan nak dapatkan empat ADUN BN, kami berdua, saya dan Kapten Osman dikorbankan, dan orang ‘kesayangan’ Anwar boleh bertanding dalam pilihan raya kecil.

Malah Ismail pada malam kekecohan surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman dikeluarkan, Ismail telah mengadakan mesyuarat persiapan pilihan raya di Bukit Gantang dan mengumumkan bahawa beliau akan menjadi calon.

Sedangkan perkara itu belum pun sampai kepada SPR dan mereka seharusnya sedar akan ada proses undang-undang yang akan kita ambil. Langkah awal saya, saya hantar surat penafian kepada SPR, Istana dan Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa saya menafikan saya telah meletakkan jawatan. Sura itu sampai ke pejabat SPR jam 7.56 pagi, lebih awal daripada surat perletakan jawatan yang dihantar oleh Sivakumar.

Bagi saya Anwar jelas hendakkan orang-orang dia sahaja memegang jawatan.

Kenapa YB buat kesimpulan demikian

Taktik ini sama dengan apa yang berlaku dengan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin. Tak sabarkah mereka nak tunggu sehingga pilihan raya umum ke-13. Nak suruh cepat berhenti, mereka buat aduan rasuah terhadap Fairus, tapi kerana beliau tak tahan, letak jawatan dan akhirnya orang kepercayaan Anwar, Dr Mansor dinamakan sebagai calon untuk DUN Penanti.

Inilah yang mereka cuba lakukan kepada saya dengan Kapten Osman Jailu. Buat aduan rasuah dengan harapan saya dan Kapten Osman letak jawatan.

Isu rasuah ini bagaimana ceritanya kerana semasa kes ini berlaku ia dikatakan perancangan BN

Dalam soal rasuah ini, pada mulanya saya memang ingat ini semua perancangan BN hendak kenakan saya. Tapi melihat kepada apa yang berlaku kepada Fairus, saya penuh yakin ia adalah rancangan yang diatur oleh orang PKR sendiri.

Mana tidaknya, kes yang didakwa membabitkan saya berlaku apabila bekas ADUN Bota dari PKR dulu, Kapten Usaili Alias hubungi saya beritahu ada orang nak jumpa bincang pasal permohonan satu projek pembangunan di Bandar Baru Seri Iskandar. Ajak saya jumpa di Hotel Casuarina.

Saya minta mereka datang ke pejabat. Selepas jumpa orang itu letak sampul surat. Saya tanya sampul apa itu. Orang itu beritahu sumbangan RM5,000. Saya tanya sumbangan untuk siapa, dia kata untuk parti. Kalau untuk parti bukan kepada saya, sepatutnya kepada Usaili dan Usaili ambil sampul itu.

Memang jadi amalan saya, tetamu yang datang saya akan iring mereka sampai pintu keluar. Bila saya buka pintu saya dah nampak ada pegawai Pencegahan Rasuah dah tunggu di luar. Tapi mereka tidak pun ambil apa-apa tindakan ketika itu.

Esoknya barulah saya dihubungi diminta datang untuk beri keterangan.

Bila lihat apa yang berlaku kepada Fairus, saya mula sedar, inilah cara mereka untuk pastikan saya dan Kapten Osman boleh disingkirkan daripada memegang jawatan bagi membolehkan orang ‘kesayangan’ Anwar mengambil alih.

Tak ada makna kita jadi pemimpin kalau negeri ini kita gadai. Malah saya pernah tegur Nizar apakah hanya kerana kita hendak angkat Anwar jadi Perdana Menteri, kita nak gadai Perak kepada Cina. Kerana nak angkat seorang, kita gadai semua. Dia tak jawab apa-apaun pun.

Keputusan saya untuk meninggalkan pakatan ini demi untuk menjamin kepentingan Melayu, bukan soal kepentingan diri.

Tapi banyak tuduhan yang mengatakan YB dibeli dan dapat tawaran daripada BN

Biar saya jelaskan. Kalau untuk kepentingan diri, masa selepas pilihan raya dulu, saya antara nama yang disebut untuk menjadi MB.

Malah Anwar jumpa saya beritahu perkara yang sama. Saya sedar diri saya dan mungkin saya tidak layak. Tapi Anwar beritahu jangan bimbang, dia dah ada pasukan yang akan membantu saya menjalankan tugas sebagai MB.

Saya kata kepada Anwar, kalau itu yang Datuk Seri janjikan, saya terimalah tapi Datuk Seri kena tunaikan janji itu. Masa perbincangan mengenai isu MB itu kami bertiga ADUN PKR Melayu iaitu saya, ADUN Changkat Jering Kapten Osman Jailu dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri hadir.

Bukan itu sahaja, saya pernah menjadi ahli DAP pada tahun 1986 cawangan Tanjung Malim. Ngeh dan Nga jumpa saya minta saya aktifkan semula keahlian DAP dan mereka hendak meletakkan saya sebagai MB daripada parti DAP.

Alhamdulillah, perjuangan saya tidak dikaburkan dengan jawatan. Saya beritahu mereka saya ahli PKR kenapa pula saya nak masuk DAP. Saya bersyukur dengan keputusan yang saya buat pada ketika itu. kalau tidak, mungkin saya menjadi boneka mereka sahaja. - 20/5/2009




Siri Satu: 11 bulan berkuasa...apa kata Ngeh, Nizar ikut aje







Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, adalah antara tiga ADUN Perak yang membuat keputusan meninggalkan parti masing-masing dan mengisytiharkan diri mereka menjadi ADUN Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Ekoran daripada tindakan mereka yakni Jamaluddin dan Osman Jailu ( Changkat Jering) dari PKR dan Hee Yit Foong DAP Jelapang, kerajaan negeri Perak bertukar tangan selepas baru 11 bulan berkuasa.

Ini apabila BN yang semasa pilihan raya Mac 2008 memperolehi 28 kerusi kini mendapat sokongan tiga ADUN menjadikan majoriti menyokong BN sebanyak 31 kerusi.

Sebaliknya pakatan pembangkang daripada 31 kerusi turun menjadi 28.


Namun, selama ini beliau hanya mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak tampil memberikan penjelasan apa sebenarnya sebab beliau meninggalkan pakatan pembangkang.

Dalam satu temuramah hampir tiga jam dengan Agendadaily di Kuala Lumpur Sabtu lalu Jamaluddin memberi sedikit sebanyak gambaran lebih jelas kenapa beliau mengambil tindakan tersebut.

Bagi siri kali ini, fokus diberikan kepada sebab-sebab beliau meninggalkan pakatan pembangkang yang berkaitan dengan sikap Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan perjalanan mesyuarat Exco yang secara jelas menggadai kepentingan orang Melayu.

Ini katanya, kerana penguasaan dua orang kuat DAP, Ngeh Koh Ham ,(Pengerusi DAP Perak,ADUN Sitiawan,Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Beruas) dan Nga Kor Ming ( ADUN Pantai Remis Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Taiping ) ang terlalu besar dalam Exco membuat keputusan.

Soalnya bilakah beliau mula rasa lain macam dengan Exco dan rasa-rasa tak boleh duduk dalam Exco lagi ?

Jamaluddin menjelaskan mengikut isu. Dalam soal penukaran kereta rasmi Exco daripada Proton Perdana kepada Toyota Camry beliau berkata:

“Saya sebut kita kena angkat kereta nasional. Kita kena ada semangat kenegaraan. Kalau kerajaan Terengganu masa itu nak tukar Mercedec, itu kerajaan BN, ini kerajaan pakatan. Kita tunjuk kita sayang kepada kereta nasional. Semangat patriotik kena ada.

Nizar minta saya sediakan kertas untuk hujahkan perkara itu. Mulanya dalam Dewan (Dewan Undangan Negeri) dia sebut 10 biji Camry yang bernilai RM920,000 tapi bila mesyuarat Exco dia kata 15 buah termasuk ex-officio. Tapi kita tak dapat pengeculian cukai, harganya menjangkau RM2.5 juta. Kalau Perdana baru RM1.76 juta jadi kita boleh jimat RM740,000. Ada lagi perkara lain yang saya hujahkan dalam kertas itu hinggakan saya sebut kalau Anwar jadi PM adakah kita nak tutup kilang Proton.

Nizar setuju dengan hujah yang saya kemukakan dan kekal untuk gunakan Perdana.

Tapi bila masuk mesyuarat Exco , sebut sahaja soal kereta, Ngeh Koo Ham kata Camry baik, itu baik ini baik dan macam-macam lagi hujahnya, daripada 10 buah, keputusanya tempahan dibuat 15 buah. Walhal sebelum itu beliau setuju dengan saya.

Nizar dengan Ngeh... dia terlalu tunduk. Apa kata Ngeh dia akan ikut. Dia bukan pemimpin Melayu.



Dalam isu hak milik tanah Kampung Baru 999 tahun dan penukaran syarat tanah rumah kos rendah ?

Semua ini berlaku dalam mesyuarat Exco. Soal rumah murah, kerajaan BN banyak luluskan tapi belum dilaksanakan lagi. Tapi bila kerajaan pakatan ambil alih ramai pemaju buat permohonan tukar syarat daripada rumah kos rendah kepada rumah kos sederhana dan rumah banglo.

Saya sebut dalam mesyuarat Exco, kerajaan dulu (BN) rancang benda ini baik. Usaha untuk menempatkan orang-orang susah, berpendapatan rendah untuk memiliki rumah di bandar.

Saya sebutkan kepada Nizar usaha tukar syarat tanah akan menyebabkan orang Melayu tidak ramai yang berkemampuan untuk miliki hartanah di bandar dan terus pastikan orang Melayu hanya tinggal di pinggir dan di kampung-kampung sahaja.

Waktu pertama beliau membuat undian dalam mesyuarat Exco siapa yang menyokong siapa yang tidak bersetuju ?.

Yang menyokong Tai (PKR), Nga Kor Ming dan Ngeh. Yang menolak saya dan Kapten Osman Jailu.

Nizar pada hari itu ambil keputusan menolak walaupun tiga menyokong dan dua tidak setuju manakala lain-lain Exco berkecuali.

Saya tulis nota kepada Nizar, jangan amalkan undi angkat tangan. Jika angkat tangan, Melayu ada tiga orang sahaja dalam Exco termasuk Nizar sebagai MB ada empat.

Lepas daripada itu tiap-tiap minggu ada sahaja permohonan, saya bantah... hendak tukar syarat tanah daripada bina kos rendah kepada sederhana dan bunglo. Pada hal syarat yang telah diluluskan oleh kerajaan dahulu untuk rumah kos rendah. Semua cadangan tu datang daripada syarikat-syarikat bukan Bumiputera.

Namun jika ada permohonan daripada syarikat Bumiputera, ada sahaja yang dipertikai oleh Ngeh dan Nizar setuju walaupun Pengarah Tanah dan Galian beri syor untuk diluluskan.

Bagi permohonan bukan Bumputera, walaupun cadangan dibuat untuk ditolak, tapi Ngeh kata ia perlu diluluskan dan Nizar setuju. Sampai saya buat catatan M (Melayu) dapat berapa dan C (Cina) dapat berapa. M lulus tiga C lulus sembilan.

Hinggakan pada mesyuarat berikutnya saya ambil pendirian berdiam diri...cuma bila permohonan datang daripada C, saya terus jerit LULUSKAN sahajalah, bila permohonan Melayu saya jerit TOLAK aje. Tujuan saya nak memperli Nizar supaya dia sedar... tapi dia tak peduli pun.

Nampak sangat dia takut dengan Ngeh.” katanya.

Dalam isu tanah 999 tahun, siapa yang bawa cadangan itu kepada Exco?

Jamaluddin berkata: “Yang bawa cadangan itu Ngeh sendiri. saya bantah kerana perkara itu kerana ia tidak ada ada dalam manifesto PKR pun. Saya sebut kepada Nizar jangankan 999... 99 tahun pun kita akan dikritik hebat... tapi kerana terlalu nak jaga kehendak DAP, Nizar ikut sahaja.

Sampaikan saya kata UMNO dah lebih 50 tahun memerintah, baru rakyat tolak mereka.Tapi pakatan baru 11 bulan.

Saya dengar di kantin pegawai-pegawai dah mula bersungut pasal pemberian tanah 999 tahun yang mereka rasakan melampau.

Ekoran itu, saya bertemu Nizar. Saya bangkit soal tanah...balak semua ditender. Jadi saya tanya dia bolehkah ada pertimbangan atau diasingkan dalam soal pemberian tender kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera. Dia kata tak boleh.

Saya beritahu dia kalau macam itu, peluang Bumiputera khususnya Melayu sampai bila nak dapat.

Bila kita hujah lebih sikit, dia diamkan dirinya. Tapi dalam ceramah dia mula cakap kita tak boleh perjuangan satu kaum sahaja. Kenapa masa kita jumpa dia bincang dia diamkan diri sahaja.

Begitu juga dalam soal pemberian tanah kepada sembilan sekolah Cina

Saya sebut dengan Nizar, tiap-tiap tahun kita beri bantuan kepada sekolah terbabit sebanyak RM30,000 setahun kenapa nak beri tanah pula.

Akhirnya Nizar setuju dengan pandangan Ngeh, daripada nak beri tanah 1,000 ekar kepada sekolah-sekolah itu, Ngeh tukar kepada 1,000 hektar, Nizar pun setuju juga. Daripada ekar kepada hektar, Nizar ikut sahaja.

Berdasarkan pengalaman selama 11 bulan bersama mereka, Exco memang dikuasai oleh Ngeh dan Nga. Nizar patung sahaja. Segala-galanya dikawal oleh Ngeh dan Nga.

Dayuslah kita, hanya kerana nak duduk jawatan Exco, apa sahaja Ngeh dan Nga buat kita akur sahaja.

Saya tak boleh. Kita dari dulu kaki lawan. Selama 10 tahun berjuang apa kita dapat. Habis wang ringgit sendiri untuk parti...hari ini dapat RM14,000 sebulan besar sangat ke,” ujar beliau mengenai senario sebenar yang berlaku dalam Exco Perak di bawah pimpinan Nizar semasa pakatan pembangkang perintah negeri Perak.

Siri berikutnya, kita ikuti, kenapa beliau tinggalkan PKR, apa konspirasi PKR terhadapnya dan bersih sangatkah kerajaan pakatan pembangkang negeri Perak ? – 19/5/2009


source : agenda daily