NUFFNANG

Tuesday, 12 May 2009

Nizar Tak Mungkin Dapat Bertahan Lama Sebagai MB Perak Yang Sah



AMPANG - Isnin, 11 Mei '09: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah membuktikan mahkamah negara adalah bebas daripada dipengaruhi mana-mana pihak dan tidak seperti yang pernah didakwa pembangkang.

Keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dibuat setelah mengambilkira semua aspek, walau bagaimanapun keputusan ini masih belum boleh dianggap muktamad oleh pihak pembangkang kerana pihak yang kalah (BN) masih dibenarkan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.


Keadaan ini akan lebih menyulitkan situasi pentadbiran kerajaan negeri Perak dan rakyatlah akan menjadi mangsa kemelut politik negeri Perak yang masih belum menemui garis penamat. Keputusan yang dibuat oleh hakim, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim juga merupakan satu tamparan hebat buat Barisan Nasional dan Sultan Perak (institusi DiRaja).


Dalam keadaan sekarang, sungguhpun Datuk Seri Nizar diputuskan sebagai MB Perak yang sah tetapi Dewan Undangan Negeri Perak masih dikuasai oleh majoriti ADUN Barisan Nasional kerana BN mempunyai 28 kerusi dan disokong oleh 3 ADUN Bebas yang keluar dari pakatan pembangkang pada 4 Februari lalu menjadikan 31 kerusi memihak kepada BN malah pembangkang hanya ada 28 sokongan sahaja.


Bermakna keputusan mahkamah ini saya anggap sebagai bersifat sementara sahaja. Pihak pembangkang masih belum boleh menjadikannya satu kayu pengukur dan Datuk Seri Nizar juga mungkin tidak dapat bertahan lama sebagai MB Perak. Jika Datuk Seri Nizar beranggapan beliau mempunyai hak untuk membubarkan DUN Perak dengan segera, ia satu persepsi yang salah dan tergopoh-gapah kerana keputusan baru diumumkan hari ini dan BN masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.


Di samping itu dengan majoriti yang memihak kepada BN di DUN Perak, pastinya BN berhak mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Nizar sebagai MB Perak di dalam persidangan dewan nanti.

Sokongan ADUN seramai 31 orang yang memihak kepada BN secara langsungnya akan memberi kemenangan mudah semula kepada BN di negeri Perak.
Mungkin ini situasi yang amat dibimbangi oleh Datuk Seri Nizar dan kerana itu beliau nampak gelojoh untuk menghadap baginda Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak dengan segera.

Usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Nizar itu akan kembali menjatuhkan kedudukannya sebagai MB Perak yang sah walaupun telah diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini. Ini akan membolehkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik semula secara sah sebagai MB Perak menggantikan Datuk Seri Nizar.


ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

Berita berkaitan isu di sini.

sumber : aspirasi-baru.blogspot.com

No comments: