NUFFNANG

Thursday 21 May 2009

DAP jerat PAS di Selangor

POLITIK TAWAR-MENAWAR PAS SELANGOR

Apabila dibebaskan dari tahanan ISA, Penasihat HINDRAF P. Uthayakumar dilaporkan berkata bahawa beliau akan menggunakan kaedah-kaedah tertentu bagi mengukuhkan kuasa tawar menawar etnik India dalam politik di negara ini.

Bagi beliau, dia sedia bekerjasama dengan sesiapa saja termasuklah pembangkang dan kerajaan bagi merealisasikan perjuangannya. Saya tidak berhasrat untuk bercakap mengenai Uthayakumar, HINDRAF atau perjuangannya. Apa yang menarik perhatian saya ialah beliau bercakap mengenai kuasa tawar menawar etnik India dalam politik Malaysia.

Itulah politik. Kekuatan sesebuah parti politik ialah kuasa tawar menawar. Ambil contoh MCA. Walaupun kalah teruk dalam PRU12 lalu, parti ITU mampu mendesak dan mendapat tambahan satu kerusi Timbalan Menteri kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Apabila sesebuah parti politik hilang kuasa tawar-menawar, maka dia hidup atas ehsan orang lain.

Dalam politik Selangor, PAS berada pada kedudukan yang cukup strategik untuk tawar-menawar. Kedudukan ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi menentukan agenda perjuangan parti itu menjadi realiti.

Di Selangor, secara bersama PKR dan DAP menguasai 28 dari 56 kerusi DUN. Barisan Nasional pula menguasai 20 kerusi (UMNO 18, MCA 2). Pada kedudukan itu, PAS boleh menentukan adakah PKR dan DAP membentuk kerajaan, atau kuasa itu pergi kepada BN.

Sekiranya PAS bergabung dalam satu pakatan dengan BN (sebagai kerajaan campuran), kedudukan di DUN Selangor ialah 28 (BN + PAS) - 28 (PKR + DAP). Itu adalah kuasa tawar-menawar yang cukup mahal harganya.

Saya fikir perkara ini disedari oleh DAP (yang mempunyai banyak pertentangan ideologi dengan PAS, berbanding PKR).

Maka, langkah yang wajar ialah melemahkan kuasa tawar-menawar PAS ini. Cara yang paling mudah ialah menentukan bahawa sekiranya PAS bergabung dengan BN, ia tidak dapat membentuk kerajaan. Apabila ini berlaku, maka PAS hanya ada satu cara saja untuk berkuasa di negeri itu iaitu dengan terus bergabung bersama DAP dan PKR.

Bagaimanakah nak halang ini dari berlaku? Belajar dari bekas Speaker Sivakumar -- gantung ahli DUN. Teng Chang Kim lebih bijak dari Sivakumar. Sivakumar menggantung enam ADUN Perak di luar DUN. Mahkamah memutuskan keputusan Sivakumar itu tidak sah. Kuasa Speaker ada dalam DUN, bukannya di luar dewan.

Maka, Teng Chang Kim mengheret ahli DUN Selangor (BN) yang mengkritik SELCAT ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan. Mungkin ada yang menuduh Teng Chang Kim kini sudah menjadi "the untouchable" iaitu dia tidak boleh dikritik, namun sukar untuk mereka berkata proses itu bertentangan dengan undang-undang.

Teng Chang Kim yang pernah mencampakkan peraturan dewan kini mengguatkuasakan peraturan-peraturan tersebut apabila dia berada di kerusi Speaker.

Di sinilah hebatnya Teng Chang Kim berbanding Sivakumar.

Apabila BN hilang lima orang ahli DUN, maka yang tinggal hanyalah 15 orang di DUN Selangor. Sekiranya PAS meninggalkan PKR dan DAP, ia tidak cukup untuk membentuk kerajaan.

Saya tidak mengatakan PAS akan meninggalkan PKR atau DAP. Saya juga tidak mengatakan PAS akan bergabung dengan BN. Apa yang ingin saya katakan ialah dalam keseluruhan proses ini PAS hilang harga tawar-menawar yang tinggi.

Bagaimana pula dengan PKR dan DAP?

Kedua-dua tidak hilang apa-apa. Harga tawar-menawar mereka masih tinggi. Sekiranya PKR yang mempunyai 15 kerusi DUN bergabung dengan BN, ia akan kekal menjadi kerajaan (jumlah kerusi keseluruhan ialah 30/56 selepas penggantungan lima ahli DUN Selangor).

Begitu juga sekiranya 13 orang ADUN DAP bergabung dengan BN, maka mereka akan memiliki 28 kerusi (selepas penggantungan lima ahli DUN Selangor).

Dalam bahasa yang mudah, lebih penggantungan lima orang ADUN Selangor, kuasa tawar-menawar DAP dan PKR tidak hilang. Apa yang terhakis ialah nilai tawar-menawar PAS dalam membentuk kerajaan.

Sekarang, kita boleh menjawab siapakah yang pandai berpolitik di sini. Mungkin elok untuk PAS memerhati dengan teliti pergerakan Uthayakumar dalam dia meningkatkan kuasa tawar-menawarnya. Tentu ada sesuatu yang boleh dipelajari dari beliau.

Politik umpama permainan chess. Pastikan tidak terperangkap dengan pergerakan sendiri!

source : nobisha.blogspot.com

No comments: