NUFFNANG

Sunday, 10 August 2008

Jangan salahkan Anwar…

Jangan salahkan Anwar…

Sekali lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan wajah penuh yakin dan boleh buat para pembesar UMNO tidak boleh tidor malam mendengar ‘ senda guraunya’.

Sebagai orang lama dan cukup mahir dengan gerak saraf Penasihat Parti Keadilan Rakyat ini tahu UMNO kini kena berdepan dengan orang yang nothing to lose bila beliau terus bercakap dan terus bercakap seperti dalam sidang akhbarnya di ibupejabat parti itu dekat Petaling Jaya Jumaat.

Kalangan mereka yang kenal sangat dengan stail Anwar apa lagi ketika sedang berdepan dengan beban kes mahkamah dakwaan liwat oleh bekas pembantunya ,Saiful Bukhari Azlan yang kelak akan jadi penentu hidup mati karier politiknya - hanya memberi komen ringkas: “Jangan salahkan Anwar…apa pilihan yang dia ada kalau tidak tampil bergaya begitu untuk mencuri keyakinan orang.”

Juga kata mereka alangkah indahnya demokrasi di Malaysia jika ribuan orang yang ada kes mahkamah sepertinya berpeluang berkempen,bercakap,menghentam sebebas-bebasnya mempertikaikan pertuduhan yang dihadapi.

Tentunya ramai yang ada niat serong yang nak buat hal jenayah dan segala macam akan menyambut dengan penuh riang ria satu reformasi perundangan sebegitu kalau betul bagai dikatakan - jika ditakdirkan barisan pembangkang yang diketuai Anwar berkuasa.

Anwar bukan baru hidup di Malaysia malah pernah berbelas tahun berada dalam kerajaan sampai ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam keadaan yang tidak tertekan beliau sendiri mungkin akan mengakui hakikat bagaimana kelamkabutnya negara jika semua orang yang ada kes mahkamah boleh ‘ berpesta’ mempertikaikan pertuduhan mereka secara terbuka seperti yang dinikmatinya sekarang.

Siapapun boleh berjanji seperti janjinya dalam sidang akhbar hari ini bahawa di bawah kerajaan yang bakal dipimpinnya tidak akan kuasa polis dan peguam negara untuk menghukum musuh politik.

Mungkin ramai lupa semasa beliau dalam kerajaan dulu ini semua tidak begitu menjadi isu baginya.

Entahlah berapa ramai musuh politik kerajaan di Malaysia ini sudah ‘dipancung’ oleh kuasa polis dan Peguam Negara seperti yang digembar gemburkannya bila mengenangkan barisan pembangkang berjaya menawan lima negeri dalam pilihanraya 8 Mac dan kebanyakan tokoh pembangkang masih aktif berpolitik dan bergerak bebas ke sana kemari.

Cara Anwar mensensasikan sesuatu isu memang cukup menarik.

Aneh juga tiba-tiba riuh dan heboh pasal adanya cubaan membunuhnya semasa baru-baru timbul kes dakwaan liwat dulu sudah tidak kedengaran lagi sekarang.

Malah kehabisan bilik–bilik hotel di Seberang Perai ditempah menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh sudah awal-awal digambarkannya seolah BN akan bawa segala peti harta karun untuk ditabur di sana.

Sedangkan soal kehabisan bilik hotel semasa mana-mana pilihanraya kecil adalah perkara biasa.Ia mungkin ditempah oleh orang UMNO atau mana-mana ahli parti pembangkang sendiri yang nak turun bantu berkempen.

Dalam sidang akhbar itu apa saja untuk mencetuskan rasa curiga pada kes mahkamahnya dan keyakinan orang pada masa depan politiknya dijadikan peluru.

Ini termasuklah akuan bersumpah doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman yang kata bahawa beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Saiful bahawa tidak ada sebarang bukti berlaku liwat ditemui.

Kenyataan pihak Pusrawai sendiri yang telah menjelaskan bahawa doktor yang berasal dari Burma itu hanya buat pemeriksaan biasa - tidak diambil kira.

Begitu juga halnya dengan prosedur tetap yang diguna pakai selama ini bahawa bagi siasatan kes-kes macam ini hanya hasil pemeriksaan hospital kerajaan dikira sah - tidak langsung dipedulikannya.

Gambaran yang cuba diberikan ialah seluruh sistem yang ada berkonspirasi untuk mengenakannya.

Apa saja yang dilihat tak memihak kepadanya dikira tidak adil.Sebaliknya sistem perundangan yang selama ini dipertikaikannya tiba-tiba menjadi adil baginya bila Mahkamah Sesyen,Jalan Duta,Kuala Lumpur membenarkan ikat jamin dengan bon peribadi semasa beliau didakwa pagi Khamis.

Semua orang bakal tertunggu–tunggu penubuhan kerajaan pimpinannya menjelang 16 September ini.

"Saya melihat ke depan untuk masuk ke parlimen pada 27 Ogos dengan sokongan rakan-rakan dalam barisan pembangkang,"katanya setelah menyuarakan keyakinan untuk memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Pada ketika ramai yang terus meragui congak apa yang dipakainya,Anwar selamba berkata jumlah ‘ meyakinkan’ Ahli Parlimen BN yang nak melompat sudah ada ditangannya.

Beliau enggan mendedahkan jumlahnya tetapi kata ia akan diberitahu bila tiba masanya kelak.

Dakwanya matlamat 16 September - untuk jatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah menerusi pilihanraya 8 Mac menerusi lompat parti - tidak berubah.

Juga yang bakal ditunggu ialah jika tak jadi pada dateline itu apa pula alasan dan ceritanya nanti.
kzso - we await for the court case

No comments: