Bahaya politik Anwar
Mohamad Ezam Mohd. Noor, Bekas Ketua Angkatan Muda PKR.
KEPUTUSAN Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengejutkan banyak pihak.
Ia kerana sebelum ini Anwar berulang-ulang kali menegaskan bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baru atau Bandar Tun Razak.
Bagaimanapun bagi bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd. Noor tindakan Anwar bukanlah suatu yang luar biasa.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR sehari selepas Anwar membuat keputusan berkenaan, Mohamad Ezam yang pernah bersusah payah dengan bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut menegaskan, Anwar melakukan keputusan itu dalam keadaan terdesak.
‘‘Anwar cuba alihkan pandangan orang ramai terhadap kes liwat melibatkan pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan, oleh itu kita jangan terperangkap.’’ kata Mohamad Ezam.
Namun begitu, Mohamad Ezam yang memahami berlaku banyak tafsiran bahawa Anwar akan mencapai kejayaan mudah di lubuknya itu menegaskan Barisan Nasional (BN) seharusnya tidak gentar berhadapan dengan Penasihat PKR tersebut.
Ini kerana tegas beliau, BN berada di pihak yang benar, oleh itu parti berkenaan perlu masuk ke gelanggang di Permatang Pauh tanpa terlalu memikirkan soal menang dan kalah.
MINGGUAN: Pada pandangan saudara kenapa Anwar mengumumkan keputusan bertanding di Permatang Pauh?
MOHAMAD EZAM: Apa yang dilakukan oleh Anwar adalah satu tindakan terdesak. Saya lama bersama-sama dengan mereka dan Wan Azizah, justeru saya amat memahami untuk meminta beliau mengosongkan kerusi Permatang Pauh adalah sesuatu yang tidak pernah mereka fikirkan. Ini kerana Wan Azizah adalah Presiden PKR. Untuk meminta seorang presiden mengosongkan kerusi Parlimennya sudah pasti akan memberi satu implikasi yang besar kepada parti. Justeru memilih kerusi Permatang Pauh ini adalah sesuatu langkah yang amat terdesak, kalau tidak terdesak Anwar tidak akan lakukan.
Apa sebenarnya motif Anwar melalui tindakan itu?
MOHAMAD EZAM: Ia adalah strategi Anwar dalam berhadapan dengan kes dakwaan liwat pembantu peribadinya. Anwar harus mencari jalan untuk tidak dilihat bertarung dengan Mohd. Saiful dalam satu kes jenayah. Beliau harus menampakkan dirinya bertarung dengan kerajaan dari segi politik. Daripada awal lagi kes ini, Anwar cuba mengalihkannya kepada kes politik seperti menyorok di Kedutaan Turki, mendapatkan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan selepas itu cuba mengaitkan Mohd. Saiful dengan beberapa pemimpin.
Itu semua adalah percubaan untuk menjadikan kes jenayah kepada kes politik dan dengan keadaan siasatan hampir selesai serta Mohd. Saiful pula semakin berani dan tegas dengan dakwaan beliau, Anwar tidak ada pilihan, selain membuat satu tindakan politik bagi mengejutkan dan cukup kuat untuk mengalihkan kes jenayah ini kepada kes politik. Bagi saya perkiraan utama beliau bukannya untuk ke Parlimen atau menubuhkan kerajaan pada 16 September tetapi kes liwat yang dihadapinya.
Kalau perkiraan utamanya ialah 16 September, kenapa baru sekarang mengisytiharkan hendak bertanding sedangkan Anwar sudah boleh bertanding mulai 14 April, tetapi sekarang sudah empat bulan. Oleh itu saya berpendapat 16 September bukanlah pertimbangan utama Anwar, pertimbangan beliau ialah menyelamatkan persepsi masyarakat terhadapnya.
Walaupun Permatang Pauh adalah kubu kuatnya, tetapi kenapa beliau membuat keputusan bertanding di situ di saat-saat akhir?
MOHAMAD EZAM: Memang Permatang Pauh bukan pilihannya. Malah kawasan itu tidak pernah diletakkan sebagai pilihan dalam membuat keputusan di mana beliau harus bertanding. Sebaliknya Anwar meletakkan kerusi lain sebagai pilihan iaitu Bandar Tun Razak atau Kulim Bandar Baru. Tetapi apabila beliau memilih untuk bertanding di Permatang Pauh, dari segi perkiraan beliau tidak yakin menang di kawasan lain. Permatang Pauh sememangnya dianggap kawasan selamat untuknya.
Dalam menghadapi Anwar di Permatang Pauh, apa yang seharusnya UMNO dan BN lakukan?
MOHAMAD EZAM: Apa yang paling penting UMNO harus membezakan antara kes jenayah dengan kes politik dan tidak terheret dengan permainan Anwar. Bagi kita, kalau kes jenayah biarlah ia diselesaikan oleh polis, kalau perlu pendakwaan dibuat, biarlah perhitungan itu di mahkamah, bukan di medan politik.
Atas sebab itu UMNO harus tegas bahawa persoalan jenayah adalah persoalan jenayah, UMNO harus mengajak beliau bertempur dari sudut percaturan dan perkiraan politik. Ini kerana dalam tempoh beberapa bulan awal pembangkang memerintah beberapa negeri jelas Anwar telah mengkhianati perjuangan bangsa. Apa yang berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Perak jelas menunjukkan perjuangan bangsa Melayu terhakis dan Permatang Pauh merupakan medan terbaik untuk UMNO membuktikan kepada rakyat bahawa Anwar telah mengkhianati perjuangan bangsa.
Bagaimana UMNO hendak menyakinkan rakyat sedangkan Anwar telah menguar-uarkan kepada rakyat bahawa apa yang berlaku adalah bermotifkan politik?
MOHAMAD EZAM: UMNO kena bertegas untuk menyatakan parti itu dan kerajaan sama sekali tidak terlibat dalam kes liwat yang dihadapinya. Sebaliknya apa yang terjadi ialah persoalan antara Mohd. Saiful dan Anwar. Oleh itu Anwar harus ‘menjawab’ kepada Mohd. Saiful bukan kepada UMNO dan BN. UMNO harus melihat pertembungan dengan Anwar dari sudut politik demi perjuangan bangsa dan agama. Tanggungjawab UMNO adalah untuk menjelaskan mengenai masa depan bangsa.
Bagaimanapun, bagi pilihan raya kecil di Permatang Pauh ini, saya lebih berminat untuk melihat bahawa pertarungan ini bukanlah pertaruhan politik siapa kalah,siapa menang. Ini kerana sama ada Anwar menang atau kalah, ia tidak memberikan apa-apa kesan kepada kuasa politik PKR.
Justeru kita tidak harus melihat ini politik kalah menang sebaliknya satu pertarungan moral, satu pertempuran untuk mempertahan dan menegakkan kebenaran, bagi saya kalah atau menang persoalan kedua, apa yang penting UMNO dan BN mesti masuk dan mempertahankan hujah kita bahawa negara kita berada dalam keadaan cukup bahaya.
Bagi saya, ekonomi bermasalah perkara biasa, ia pernah berlaku, tetapi yang lebih luar biasa ialah ancaman struktur politik dan sosial yang dirosakkan oleh Anwar melalui politik barunya. Dalam sejarah, kita tidak pernah diancam oleh struktur di mana orang bukan Melayu semakin berani mempersoalkan DEB dan kontrak sosial. Ini ancaman kepada keutuhan bangsa. Ancaman ini lebih berat daripada ancaman ekonomi. Pada ketika ini tiada siapapun boleh menafikan bahawa bangsa kita terancam dan keutuhan Melayu sebagai teras cukup terancam. Bagi saya, ini adalah ancaman besar kita kena lawan.
Jadi apa strategi yang harus digunakan oleh UMNO bagi menyakinkan pengundi Permatang Pauh?
MOHAMAD EZAM: UMNO dan BN harus masuk ke gelanggang dengan keyakinan dan moral yang tinggi. Ini kerana dari segi moralnya BN di pihak yang benar. Kita melawan satu arus politik yang mahu merosakkan pejuang-pejuang bangsa dan memusnahkan Malaysia yang dibina oleh pengasas- pengasas bangsa yang berbilang kaum serta berteraskan Melayu. Ini asas bangsa kita yang kita tidak boleh usik.
Anwar membawa politik baru kononnya atas nama berbilang kaum tetapi itu bukannya dibawa oleh Anwar tetapi oleh pengasas bangsa. Pada tahun 1955 iaitu ketika pilihan raya, orang Cina sudah diajar mengundi calon Melayu, orang Melayu diajarkan mengundi calon Cina dan India, ini politik berbilang kaum. Bukan senang untuk mengajar pengundi-pengundi mengundi bukan berasaskan kaum.
Jadi amalan politik pelbagai kaum ini diasaskan oleh BN. Parti komponen itu yang melaksanakan gerakan politik berbilang kaum dan berteraskan Melayu. Politik itulah yang membina negara ini dan itulah yang mahu diancam Anwar. Justeru dari sudut moral kita di pihak yang benar kerana mempertahankan perjuangan pengasas bangsa.
Anwar harus belajar dengan Recep Tayyip Erdogan. Perdana Menteri Turki itu mempunyai fahaman yang jauh berbeza daripada pengasas bangsa Turki Mustafa Kemal Ataturk seorang sekular tetapi Erdogan yang merupakan seorang Islam tetapi tidak sekalipun menghina atau bercanggah dengan fahaman Ataturk. Ini kerana Ataturk adalah pengasas bangsanya. Itu cara negarawan berpolitik tetapi Anwar tidak ada semangat itu.
Beliau kritik DEB, mencemuh pemimpin-pemimpin UMNO dan pejuang bangsa hanya kerana untuk percaturan politiknya. Ini kita harus tentang habis-habisan.
Bagaimana pula dengan soal calon, ada pemimpin PKR mencabar saudara bertanding di situ?
MOHAMAD EZAM: Saya sudah katakan bahawa saya tidak perlu dicabar untuk memperjuangkan kebenaran. Saya sudah buktikan dengan rekod, saya pernah dipenjara dan pernah bersusah payah dengan Anwar. Saya tidak seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, ketika Anwar di dalam penjara, Khalid tidak bersama kita. Ini fakta, beliau tidak harus lupa. Beliau hanya masuk PKR selepas Anwar dibebaskan, ketika Anwar susah beliau tidak masuk. Oleh itu Khalid tidak perlu mencabar orang. Saya tidak minta jadi calon kerana ada orang lain lebih baik untuk menjadi calon cuma saya hendak menyatakan tidak akan lari daripada tanggungjawab. Ini kerana tanggungjawab saya adalah untuk menyatakan kebenaran kepada rakyat khususnya di Permatang Pauh.
Sama ada saya menjadi calon atau tidak, saya akan berada di barisan hadapan untuk bertempur dengan Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain atas nama kebenaran bukan atas nama dendam kerana mereka sudah jauh daripada asas perjuangan dan memainkan politik melampaui garisan dengan mengkhianati bangsa dan asas negara semata-mata untuk berkuasa.
Anwar mempolitikkan segalanya, oleh itu apa kesannya kepada orang Melayu dan bagaimana hendak menyakinkan pengundi Permatang Pauh supaya menyokong BN?
MOHAMAD EZAM: Ia menimbulkan kesan tidak baik kepada masyarakat. Inilah masalahnya apabila kita mempunyai pemimpin yang tidak mempunyai semangat negarawan dan tidak meletakkan kepentingan bangsa serta negara mengatasi kepentingan peribadi. Cuba bayangkan kalau pemimpin kita terdahulu mempunyai perangai macam ini, rosak bangsa ini.
Anwar meletakkan kepentingan peribadi mengatasi segala-galanya, beliau tidak mempedulikan soal bangsa dan soal ekonomi. Beliau menyebut soal menubuhkan kerajaan pada 16 September, semua itu merosakkan ekonomi negara. Tetapi Anwar tidak peduli, beliau mengheret persoalan peribadinya kepada rakyat sehingga menyebabkan ada keluarga berpecah, kawan-kawan berkelahi dan pandangan masyarakat kepada pemimpin Melayu pun semakin buruk.
Namun bagi Anwar ialah survival politiknya. Sebab itu punca utama saya meninggalkan Anwar adalah kerana beliau hilang sikap negarawan. Beliau meletakkan kepentingan dirinya mengatasi segala-galanya, ini kita tidak boleh berkompromi.
Apatah lagi dalam keadaan negara berbilang kaum seperti Malaysia, apa yang dilakukan oleh Anwar adalah merbahaya.
Justeru bagi saya, isu inilah yang harus kita bawa ke Permatang Pauh. Bangsa ini dibina dan didirikan selama 50 tahun bukan oleh pemidato hebat atau percaturan politik hebat seperti Anwar. Tetapi oleh pemimpin-pemimpin yang mempunyai semangat negarawan. Mereka meletakkan kepentingan bangsa melebihi kepentingan diri sendiri. Jiwa negarawan yang membina negara bukan pemidato berapi-api atau percaturan politik yang melampau. Rakyat seharusnya difahamkan dengan keadaan itu. Saya yakin selepas 100 hari pembangkang memerintah di beberapa negeri, rakyat lebih faham sekarang. Tidak ada apa yang Anwar lakukan. Dari sudut rasuah contohnya, tidak ada apa yang baru dilakukan oleh kerajaan pakatan pembangkang. Tidak ada satu pun pemimpin negeri berkenaan yang mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Saya masih menunggu kerana dulu mereka kata ia akan dilakukan selepas 100 hari memerintah. Oleh itu kita boleh persoalkan apa komitmen mereka menentang rasuah. Semua ini menunjukkan ia hanyalah permainan politik Anwar dan bukannya mahu melakukan perubahan.
Dari sudut apa sepatutnya pengundi menilai Anwar?
MOHAMAD EZAM: Rakyat tidak harus terpukau dengan kata-kata beliau sebaliknya mereka perlu menilai rekod kerjanya. Contohnya, di mana prinsip Anwar apabila ketika menjadi Menteri Kewangan, beliau bersungguh-sungguh mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi kini menentangnya. Malah ketika menjawat jawatan itu juga, Anwar telah memberikan kontrak secara rundingan terus atau arahan bukan tender dalam skim usahawan berwibawa tetapi sekarang cuba menjadi wira untuk tender terbuka. Ini jelas tidak konsisten jadi bagaimana kita boleh mempercayai seseorang pemimpin seumpama itu.
Jadi rakyat harus menilai Anwar dari sudut berkenaan termasuklah ucapannya ketika dalam UMNO, beliau mempertahankan Melayu tetapi kini beliau menjadi juara semua kaum. Untuk menilai Anwar perlu dilihat rekod kerjanya bukan terpukau dengan ‘nyanyian’ atau ucapan beliau.
Apa nasihat saudara kepada pengundi Permatang Pauh sebelum mereka membuat keputusan?
MOHAMAD EZAM: Kita harus bersikap terbuka, mendengar hujah dan tidak emosional. Bangsa yang berjaya itu lahir daripada bangsa yang memilih pemimpin itu berdasarkan hujah, bukan kepada sentimen dan emosi. Saya faham Anwar anak kelahiran Ceruk Tok Kun, tetapi itu emosi. Pengundi perlu bersikap terbuka mendengar hujah kedua-dua belah pihak dan membuat keputusan berdasarkan hujah itu yang akhirnya akan memberikan keselamatan serta jaminan kepada keutuhan bangsa, agama dan negara, itu yang harus menjadi percaturan terakhir sebelum membuang undi.
kzso - a well calculated move by anwar.
No comments:
Post a Comment