NUFFNANG

Saturday, 19 July 2008

Polis tidak akan serah laporan Saiful (kepada Anwar)

Polis tidak akan serah laporan Saiful

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR 18 Julai -

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan pihaknya tidak akan menyerahkan laporan polis yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selagi tiada pertuduhan atau pendakwaan di mahkamah dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menyerahkan mana-mana laporan polis oleh mana-mana individu kepada individu termasuk suspek atau peguamnya selagi suspek berkenaan tidak didakwa.

"Itu prosedur biasa... memang kita tidak akan beri laporan polis kepada sesiapa sebelum didakwa. Dia (Anwar) belum didakwa, mana kita boleh beri (laporan)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar semalam yang kesal dan hairan dengan tindakan polis enggan memberi laporan polis Mohd. Saiful, 23, pada 28 Julai lalu yang mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Pada sidang akhbar di kediamannya di Bukit Segambut di sini semalam, Anwar mendakwa tindakan polis itu seolah-olah menyembunyikan sesuatu kebenaran.

Dalam pada itu, Ismail menegaskan, polis tidak pernah menyembunyikan sebarang perkara seperti yang digambarkan oleh segelintir pihak.

Sebaliknya, jelas beliau, setiap tindakan yang diambil polis adalah berlandaskan undang-undang.

Ditanya mengenai isu penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri semalaman di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Rabu lalu walaupun dikatakan berjanji untuk membebaskan Anwar pada malam yang sama, beliau memberitahu:

"Banyak perkara kita perlu tahu untuk melengkapkan siasatan... bukan sekadar satu atau dua soalan kita tanya.

"Banyak perkara yang perlu diselesaikan dan ia memakan masa yang agak lama, ini memang proses biasa. Saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi."

Ditanya sama ada polis telah memohon perintah mahkamah bagi membolehkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diambil dari Anwar untuk membantu siasatan dakwaan kes liwat itu, Ismail menjelaskan, sehingga hari ini pihaknya belum membuat permohonan itu.

"Kita ada sedikit perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil langkah seterusnya," ujarnya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada permohonan berkenaan akan dibuat dalam tempoh kurang dari seminggu atau sebaliknya.

kzso - the police have learnt that they need to be more detailed and precise in this case.

No comments: