Langkah Anwar makin sumbang
baca artikel asal di malaysia-hariini
PERHATIAN seluruh dunia sehari dua ini tentunya tidak lari dari memfokuskan ke arah isu liwat dan seterusnya penangkapan Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah dituduh atas tuduhan yang sama sepuluh tahun lalu.
Pelbagai media dari seluruh serata alam mula berminat kembali untuk membuat penilaian sendiri berkaitan kes tersebut.
Namun begitu, isu tersebut tidak perlu dibahaskan oleh mana-mana pihak apatah lagi rakyat marhaen yang tidak tahu hujung pangkalnya. Biarlah pihak polis melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh profesional dan seadil-adilnya.
Namun begitu, meneliti kronologi atau rentetan dari peristiwa tersebut seolah-olah telah membenarkan rumusan sesetengah pihak bahawa Anwar sememangnya terlibat dalam kes tersebut.
Apabila Saiful Bukhari membuat laporan polis di Pondok Polis, Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008, Anwar dengan tak semena-mena ‘melarikan’ diri dengan memasuki Kedutaan Turki di ibu negara dengan alasan nyawanya ‘diancam’.
Bagaimana, bila dan kenapa nyawanya ‘diancam’ tidak pernah diberitakan, apatah lagi untuk mengetahui siapa yang ‘mengancam’ beliau.
Tiada satu laporan polis pun pernah dibuat sebelum ini tentang ‘ancaman’ tersebut sama ada oleh pihak peguam-peguam handal Anwar atau dirinya sendiri. Apa yang pasti, hanya beliau yang terasa ‘terancam’, Oleh apa? tidaklah dapat dipastikan.
Ada yang berpendapat bahawa mungkin kerana Saiful terlalu ‘mengancam’ sehingga Anwar ‘mengancam’ beliau dan dibuat ‘macam-macam’.
Akhirnya Anwar merasa ‘terancam’ oleh perbuatan tersebut.
Apa pun andaiannya, sehingga hari ini isu ‘ancaman nyawa’ tersebut sudah semakin dilupakan oleh Anwar sehingga beliau sudah pun boleh memberi ceramah di beberapa tempat sekitar ibu negara dalam keadaan ‘dirinya diancam’.
Mungkin semasa ‘ancaman’ tersebut, Anwar membayangkan bahawa beliau masih berada di Amerika Syarikat, negara kedua beliau di mana nilai satu nyawa hanyalah seperti sebiji telur atau paling tidak di Pakistan, tempat di mana Benazir Bhutto menemui ajalnya kerana ‘pasukan berani mati’.
Macamlah keadaan politik Malaysia sudah mencapai tahap politik ‘letup meletup’ untuk mendapatkan kuasa.
Mungkin juga benar kata orang, orang yang pelik sifatnya akan sentiasa berfikiran pelik.
Anwar terus menerus berusaha untuk meyakinkan rakyat marhaen bahawa beliau sebenarnya telah difitnah ‘sekali lagi’ dengan skrip yang hampir sama cuma pelakonnya berbeza.
Beliau memfailkan saman terhadap Saiful untuk menunjukkan bahawa beliau sebenarnya tidak bersalah.
Saiful sengaja memfitnah beliau.
Namun begitu tidak dapat dipastikan ke mana perginya saman tersebut dan bila akan disebut di mahkamah.
Serangan Anwar terhadap Saiful diteruskan dengan membuat laporan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas dasar qazaf atau membuat tuduhan palsu. Mungkin peguam-peguam handal Anwar telah menasihati beliau bahawa Saiful perlu mengemukakan 4 orang saksi bagi membuktikan tuduhan tersebut. malangnya mungkin kerana kebanyakan peguam-peguam handal Anwar bukan dari mereka yang sebangsa dan seagama dengan beliau walaupun ditemani oleh seorang peguam syariah yang agak ternama, mereka telah tersalah mentafsir bahawa tuduhan qazaf tidak melitupi kes liwat, hanya terbatas pada kes zina sahaja.
Pandangan peguam bahawa Anwar akan terlepas di Mahkamah Syariah kerana sudah tentu Saiful tidak akan mampu mengemukakan 4 saksi bagi menyokong tuduhan beliau sebenarnya tidak menjadi kerana tiada peruntukan untuk tuduhan liwat yang boleh digunakan.
Sikap berdolak-dalik Anwar untuk memberi keterangan kepada pihak polis mengundang rasa kecurigaan yang amat tinggi.
Beliau mengubah tarikh memberi keterangan sehingga pihak polis terpaksa memohon waran tangkap ke atas beliau di atas keingkaran tersebut.
Akhirnya beliau ditangkap di hadapan rumah beliau sendiri kerana disyaki sekali lagi akan mengingkari tarikh yang dipersetujui.
Episod keras kepala dan angkuh dengan perlaksanaan undang-undang di pihak Anwar berulang semula apabila beliau sekali lagi tidak memberi kerjasama untuk mendapatkan sampel DNA beliau bagi membantu siasatan.
Pelbagai alasan diberikan dan yang tidak munasabahnya adalah kerana kekhuatiran bahawa sampel DNA tersebut akan disalahgunakan untuk tujuan yang lain.
Kalaulah benar sampel tersebut akan dimanipulasikan oleh pihak polis, adalah dicadangkan supaya pihak polis hanya mengambil sampel DNA lembu dan mengesahkan bahawa sampel tersebut adalah sampel DNA Anwar!!
Mungkin juga kalau perlu disahkan bahawa sampel tersebut ada dalam ‘tusukan’ di badan Saiful.
Mungkin itulah teori konspirasi yang paling tidak masuk akal dalam mana-mana kisah politik di dunia ini.
Meneliti kronologi peristiwa tersebut membuatkan rakyat marhaen terfikir, adakah benar wujudnya teori konspirasi dalam isu ini?
Berpuluh saksi, pekerja, pegawai polis, pegawai perubatan dan sebagainya terlibat dalam teori konspirasi tersebut.
Adakah mungkin kesemua mereka ini boleh ‘disatukan’ pemikiran mereka untuk membuat rumusan bahawa telah berlaku kejadian liwat tersebut walaupun sebenarnya tidak.
Adakah mungkin setiap orang akan diberi satu skrip untuk dinyatakan di mahkamah sekiranya Anwar didakwa?
Bagaimana nanti pihak perubatan mampu menjustifikasikan kejadian tersebut berasaskan sains perubatan?
Adakah mungkin kesemua mereka boleh diprogramkan untuk mempercayai kejadian tersebut benar-benar berlaku walaupun sebenarnya tidak?
Berapa ramai saksi yang akan di bawa oleh pihak pendakwa dan setakat manakah kekuatan kes tersebut pada mereka?
Persoalan-persoalan tersebut sebenarnya lebih merupakan jawapan kepada tidak mungkin wujudnya teori konspirasi dari mana-mana pihak dalam hal tersebut.
Persoalan yang lebih rasional ialah apakah pihak pendakwa mempunyai cukup bukti dan saksi untuk meneruskan pendakwaan dan bagaimana mereka boleh mengetepikan pandangan teori konspirasi yang cuba diserapkan dalam pemikiran rakyat marhaen.
Mereka tentunya cukup sedar bahawa bukan mudah untuk membuktikan kes tersebut tanpa keraguan yang munasabah.
Sedikit kesilapan di pihak pendakwa meletakkan mereka di pihak yang kalah. Anwar akan terus dengan teori konspirasinya…
kzso - the truth will prevail..........
No comments:
Post a Comment