NUFFNANG

Thursday, 31 July 2008

Saiful Akan Bersumpah Guna Al-quran, Kata Peguam

Saiful Akan Bersumpah Guna Al-quran, Kata Peguam

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat akuan bersumpah menggunakan Al-Quran dalam masa terdekat, kata peguamnya.

Zamri Idrus berkata sehingga kini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) belum menghubungi anak guamnya itu berhubung akuan bersumpah.

"Saiful akan bersumpah dan pihak media akan dimaklumkan mengenainya. Buat masa ini biar polis menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan.

"Beliau tetap dengan pendiriannya untuk membuat akuan bersumpah dan beliau melakukannya dengan sukarela, bukan atas paksaan," katanya pada satu sidang akhbar di sini, Rabu.

Ketika ditanya sama ada Mohd Saiful, 23, diugut oleh pihak tertentu memandangkan keengganannya bersemuka dengan pihak media, Zamri berkata anak guamnya berbuat demikian kerana sebab keselamatan tetapi beliau akan menemui wartawan apabila tiba masanya.

"Saiful bukan takut jumpa media tetapi bimbang akan keselamatannya. Buat pengetahuan pihak media, Saiful masih berada di negara ini dan berada di bawah perlindungan polis," katanya.

Ketika ditanya sama ada Mohd Saiful pernah pergi ke Hospital Pusrawi untuk membuat pemeriksaan doktor berhubung kes liwatnya, Zamri berkata: "Tiada komen mengenai laporan perubatan itu dan biar polis jalankan siasatan mereka. Semua perkara berkaitan kes liwat ini sudah diberitahu kepada pihak polis dan Saiful bersedia memberi kerjasama kepada polis bila-bila masa.

Zamri berkata anak guamnya mempunyai "kes yang kuat" untuk membuktikan dirinya diliwat oleh Anwar.

Pada sidang akhbar itu, peguam itu membacakan kenyataan media tiga perenggan yang ditulis sendiri oleh Mohd Saiful yang menyatakan antara lainnya bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa sebab untuk memfitnah dan menganiayai Anwar.

Beliau juga berharap polis akan mempercepatkan siasatan dan meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu.

kzso - be patience.... wait until the police and jawi completed their innvetigation.

No comments: