NUFFNANG

Wednesday, 23 July 2008

Tanpa kuota saya menang – Ku Li

Tanpa kuota saya menang – Ku Li

July 6, 2008 : 10.29 AM
Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ DAN LUKMAN ABDULLAH

Setiap kali berlakunya pertandingan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO, nama Tengku Razaliegh Hamzah pasti menjadi sebutan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli UMNO tetapi juga orangramai.

Tengku Razaliegh (Ku Li) pernah mencabar dan hampir-hampir menyingkirkan Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam pertempuran yang sangat sengit pada tahun 1987 sehingga mewujudkan Team A dan Team B dan membawa kepada pengharaman UMNO melalui proses mahkamah.

Kini, dalam usia 71 tahun iaitu usia orang lain mencari jalan keluar dari gelanggang politik, Ku Li masih mahu bertanding merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember ini.

Berbeza dengan pemilihan sebelumnya di mana beliau hanya mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri iaitu Gua Musang, Ku Li yakin kali ini beliau akan dapat melepasi halangan utama itu.

“Halangan yang paling besar ialah sistem kuota. Tanpa kuota, sekarangpun saya dah boleh menang,’’ kata Ku Li kepada Agendadaily dalam satu pertemuan di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau juga melihat kod-etika pemilihan kali ini sangat ketat dan merupakan satu lagi rintangan untuk calon-calon merapati ahli-ahli atau perwakilan.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kod-etika itu juga boleh menjadi perangkap kepada para pemegang jawatan.

Pasukan wartawan Agendadaily mengasak beliau dengan pelbagai persoalan tetapi bekas Menteri Kewangan ini menjawab segala pertanyaan.

Berikut adalah sebahagian daripada sedutan temubual Agendadaily bersama Ku Li.

Agendadaily :
Apa sebab sebenarnya Tengku beria-ia sangat nak bertanding dari dahulu lagi?

Ku Li:
Saya tengok selepas 62 UMNO ditubuh dan 50 tahun kita merdeka, Melayu masih tak maju ke tahap yang kita harap dan cita-citakan . Jadi berapa puluh tahun, berapa ratus tahun lagi nak tunggu. Nak tengok kejayaan Melayu sebenarnya, Kita asyik ulang dan main lagu lama je .Jadi saya, saya rasa dah berusia lanjut, tak tergamak, tak sanggup nak lihat …kerana orang lain lebih maju daripada kita sedangkan kita yang usaha memerdekakan Negara kita.
Pertamanya kita berpakat sesama kita, kerana itu UMNO lahir. Tujuannya….? Kita tidak ada apa-apa pada masa itu. Tujuannya nak gagalkan British daripada menakluki kita keseluruhannya. Tapi sejak itu kita nampak dibebankan dengan banyak tanggungjawab .
Dan, kita terus bertimbangrasa, tetapi orang lain tidak menghargai perasaan kita. Sehinggakan kita tak ke mana-mana dan saya tengok pemimpin kita banyak tolak ansur …bertolak ansur tak berhenti-henti… sehingga kita tidak ada apa benda nak ditolak ansurkan. Inilah yang saya dengar rintihan orang kita – sama ada cerdik pandai ataupun orang yang tidak mengaji (belajar).
Beritahu saya apa benda yang orang politik kita berjuang? Sedangkan kedudukan orang Melayu tu tak seberapa. Maju memang maju, tetapi orang lain lebih maju.

Agendadaily :
Maju ni banyak orang bercakap. Tengku bercakap, sejak Perdana Menteri pertama sehingga ke hari ini, semua Perdana Menteri menyebut fasal maju tapi lepas pilihanraya 8 Mac lalu kekuatan Melayu nampak lebih terhakis.Oorang bukan Melayu sudah boleh lakukan bermacam-macam hal mengenai orang Melayu. Dahulu pajakan tanah diberi 99 tahun, tetapi kini ( di Perak) nak diberi 999 tahun.

Ku Li:
Inilah yang saya sebut tadi, sebenarnya kita tidak ke mana-mana. Selepas merdeka dan 62 tahun UMNO, kita masih tidak ke mana-manapun. Masih nak bertolak ansur. Masih menyerah kepada orang. Kenapa begitu sedangkan kita mendapat mandat, mendapat kuasa dan kepercayaan rakyat. Kenapa kita tidak gunakan kuasa….? Bukannya nak rampas hak orang. Tidak sekali-kali, tetapi jaminlah orang Melayu kita diletak di tempat yang sewajarnya.Dari semua bidang, lapangan sosial, ekonomi, politik. Kenapa pemimpin kita tidak ada ‘iman’…?

Agendadaily:
Tak ada ‘iman’ politik atau ‘iman’ agama?

Ku Li:
Semualah…(ketawa). Sebab cepat yang nak bertolak ansur tu kerana ada benda yang dia dapat. Bukan untuk rakyat…itulah sebabnya dia (pemimpin) sanggup mengalah, Padahal itu sikap peribadi dia. Kehendak orangramai yang beri kepercayaan, seolah-olah dia tidak sanggup nak tunaikan.
Inilah yang sangat mendukacitakan saya. Pemimpin-pemimpin besar kita dah buat sempadan untuk kita bertindak, tetapi kenapa tidak mahu terima. Baik menteri besarnya, baik Ahli Majlis Mesyuaratnya, baik menterinya, sama sahaja.
OK ….selama ini orang lain berkuasa…., kenapa kali ini saya tidak mencuba……(disulami dengan ketawa berdekah-dekah)

Agendadaily:
Pemimpin saling bertukar. Yang datang akan pergi, tetapi seperti yang Tengku cakap, trendnya sama iaitu main lagu lama. Orang yang ada dalam UMNO sekarang adalah orang yang sama juga dan Tengku sendiri akan keseorangan. Ditakdirkan Tengku menang adakah mereka boleh menjadi pengikut yang baik kepada Tengku?

Ku Li:
Kita kena asuh dia orang, kita asuh, jadi orang berani dan sanggup untuk tunai tanggungjawab yang dipikul. ? Kita tengok Tunku Abdul Rahman, dia berani, kalau tak berani tak mungkin dia boleh merdekakan kita. Kalau tak berani, takkan dia tubuhkan Malaysia, misalnya.
Inilah visi yang di luar dugaan rakyat. Tak terfikir nak jadi begini (maju dan merdeka). Tunku bukan tumpu kepada pembangunan sahaja …tidak juga serah kepada Allah sahaja,…. sentuh juga bahasa, budaya, kemajuan, ekonomi dan lihatlah pelbagai dasar yang diciptanya. Ini semua kerana adanya dasar dan masalahnya, orang yang menjejak langkahnya tidak laksanakan sepenuhnya.
Harapan dan cita-citanya seperti yang diharapkan oleh rakyat yang menyokong kita semua. Sekarang ini, kita tengok saluran 3 dan 4 (dalam pilihanraya umum) tidak menyokong kita. Ia memberi gambaran seolah-olah orang muda tidak mahu dengan kita lagi. Jadi kalau orang muda tidak mahu dengan kita, habislah kita.

Agendadaily:
Mengenai pengundi saluran 3 dan 4, mereka adalah golongan remaja iaitu baru berusia 21 dan 22 tahun. Tempoh itu jugalah Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan bagi golongan ini, pemimpin mereka adalah Dr. Mahathir. Apa pandangan Tengku mengenai perkara ini?
Ku Li: Begitulah! Itu sebabnya dalam Majlis Tertinggi dahulu lagi saya dah kata di sekolah patut diasuhkan ajaran pengenalan sejarah – bukan sejarah pemerintahan British tetapi bermula dengan sejarah kita. Sejarah Malaya dan sejarah Malaysia, Tanah Melayu dan macam mana kita lawan Komunis, macam mana kita menghadapinya. Ini semua adalah kepewiraan rakyat kita sendiri. Tonjolkan Tunku (Abdul Rahman) dan Tun Abdul Razak. Ini tidak…mengagung-agungkan tokoh dari luar.
Mengapa tidak diperkenalkan mereka ini. Mereka inilah hero kita sebenarnya.… sebut sahaja, Tunku, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan lain-lain kalau bukan mereka siapa lagi. Ini cerita dongeng Hang Tuah dan Hang Jebat sudahlah tu… ini bangsawan.
Bukanlah saya tidak hormat pada mereka, tetapi kita patut hidupkan kembali semangat lama dan semangat juang

Agendadaily:
Ada yang merasakan usaha-usaha untuk menghalang dan mengekang Tengku masih berjalan…bagaimana tu?

Ku Li:
Huh…. Masih hebat… masih berjalan dengan kuat. Sebagai ‘underdog’ kita tak boleh nak komplen banyak sangat. Saya terimalah semua tu. Suratkhabarpun tak siar banyak mengenai kita…. Kalau pergi majlis kitapun, tunjukkan kerusi kosong… Betullah ada kerusi kosong, tetapi banyak tempat saya pergi tu banyak juga orang datang.

Agendadaily:
Bagaimana pula dengan persiapan Tengku?

Ku Li:
Saya sanggup berhadapan dengan sesiapapun. Saya tak ada takut apa-apapun. Saya tak pernah makan duit orang, tak pernah terima hadiah orang… (ketawa). Jadi saya sanggup berdepan dengan sesiapapun. Saya nak berjuang dengan seikhlas hati…. Bukan kerana duit atau pangkat tetapi nak bekerja menghabiskan sisa-sisa hidup saya.

Agendadaily:
Ada juga orang berkata, jika benar Ku Li boleh membawa perubahan, kenapa tidak bawa ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dan ketika berada dalam MT UMNO. Apa rekasi Tengku mengenai pandangan ini?

Ku Li:
Sebagai Menteri, tidak banyak dasar yang boleh dibuat. Saya hanya ikut arahan kabinet. Tetapi, sebagai orang nombor 1, boleh buat macam-macam.
Sebagai menteri, ada juga yang saya buat, seperti semakan semula gaji kakitangan awam kerana saya insaf di sana (Jabatan Perkhidmatan Awam) ada 80% orang Melayu.Sekarang buat juga pelarasan gaji macam 2007 tetapi tidak kemas. Pada tahun 1987 kita bincang peringkat kementerian, peringkat kabinet, semak semua. Dr. Mahathir pengerusi jawatankuasa dan saya timbalannya. Semua jabatan dan peringkat dilibat dan digabungkan. Kita ada tribunal untuk bincang anamoli dan tiada sesiapa yang tertinggal.
Dengan cara ini, lagi rapat hubungan kakitangan dalam perkhidmatan.

Agendadaily:
Ada pihak, termasuk media yang meramalkan Tengku akan sukar mendapat pencalonan 30% untuk melayakkan bertanding jawatan Presiden. Apa komen Tengku?

Ku Li :
Memang benar sukar untuk mendapat 30%. Apabila saya melawat ke bahagian-bahagian, ada ketua bahagian sendiri yang telefon ketua cawangan jangan hadir bertemu saya. Ada juga yang sabotaj kata saya tak jadi datang.

Agendadaily:
Buat masa ini ada tidak bahagian-bahagian tertentu yang umum akan bersama-sama Tengku?
Ku Li: Tak banyak yang secara terbuka nak calonkan. Yang kata nak sokong banyaklah.

Agendadaily:
Bagaimana pula dengan politik wang Tengku?

Ku Li:
Cakap fasal dasar, orang sudah tidak tertarik, tetapi jika bagi RM100 atau RM200pun mereka datang…...

Agendadaily:
Jadi apa yang boleh Tengku janjikan kepada UMNO dan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu?

Ku Li:
Saya janjikan masa depan yang lebih baik. Dasar-dasar yang ada sudah baik, Cuma pelaksanaannya sahaja yang menjadi persoalan. Dasar bahasa, pembangunan dan kemajuan, ilmu dan sebagainya baik dah. Umpamanya dalam dasar budaya, kita nak tengok Negara ini menjadi negeri Melayu. Ini sudah diterima dalam Dasar Kebudayaan Nasional.
Begitu juga dengan ekonomi. Golongan yang maju dan tidak maju harus diseimbangkan. Masyarakat Melayu mesti dibantu kerana mereka terdiri daripada 66% rakyat Negara ini.

Agendadaily:
Apa pula pandangan Tengku mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Ku Li: Dasar kita memang baik. DEB baik dah… cuma banyak penyelewengan. Dahulu kita tekankan pembangunan di luar bandar. Tanah orang Melayu di kampung dimajukan. Tak ada duit, kerajaan dahulukan. Dulu Melayu miskin, dengan DEB mereka jadi kaya. Orang Melayu dah pakai kereta, bukan satu atau dua, tetapi tiga. Dahulu cuma naik basikal sahaja.Sekarang ini Melayu dikerahkan ke bandar. FELDA pun dah terbiar. Orang Melayu dah ke bandar.
Saya akan teruskan DEB. Dasar itu terbuat dari darah daging. Ia dasar yang telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk orang Cina.
Ia juga bukan dasar Tun Razak, tetapi dasar semua pihak termasuk PAS dan DAP. Masalahnya sekarang, DEB disalahguna.
Dahulu dah capai 18% penyertaan bumiputera/Melayu (daripada 30% yang disasarkan oleh dasar itu). Kemudiannya turun menjadi 15% dan turun lagi kepada 12%. Salah kita biarkan keadaan begini….UMNO pula tidur sahaja.

Agendadaily:
Kenapa pula begitu, semasa dalam MT tidakkah Tengku bangkit perkara sebegini dan sebagai Menteri pula bagaimana?

Ku Li:
Saya hanya follower …ikut sahaja. Memanglah orang akan tuding pada saya, tetapi kenapa tak puji atau sebut saya kerana Petronas (Ku Li adalah pengasas syarikat kerajaan itu). Tak apalah, saya sedia dikritik.

Agendadaily:
Selain mengasaskan Petronas, khabarnya tapak seluas 10 ekar kompleks Pusat Dagangan Dunia Putra dan ibupejabat UMNO itu adalah pemberian daripada Tengku?

Ku Li:
Tak usah sebutlah fasal itu. Saya pejuangkan ini semua kerana bangsa…. Jangan sebut lagilah!

Agendadaily:
Bagaimana pertandingan kali ini berbanding dengan sebelumnya?

Ku Li:
Ada perbezaan kali ini. Saya tidak terlibat dengan mereka (maksudnya berada di luar Kabinet). Saya tidak terlibat dengan mereka. Saya dah di luar sejak 1987. Yang baik mereka dapat puji, maklumlah mereka dalam parti. Saya tidak terlibat.
Yang kita nak cari ialah pemimpin Melayu yang kredibel, yang bersih…tak malu mata. Saya bukan nak angkat…saya tidak terlibat apa-apa kes pun.
Kali ini saya tidak mempunyai ‘vehicle’…yang ada hanyalah kawan-kawan, tetapi tidak boleh pula berkumpulan…. Ini nanti dikira berakit. Kalau saya berakit, saya boleh dikenakan tindakan.
Saya pula tidak ada kena mengena dengan sesiapapun kerana saya hanya berjuang untuk rakyat.

Agendadaily :
Tengku kelihatan bersendirian, bagaimana nak menghadapi pemimpin-pemimpin lain?

Ku Li:
Siapa sekalipun parti pilih, saya boleh terima.

Agendadaily:
Apa pula pandangan Tengku mengenai sistem kuota untuk melayakkan pencalonan?

Ku Li:
Sistem kuota ni menyalahi undang-undang iaitu Akta Pertubuhan 1966. Sepatutnya, Pendaftar sudah mansuhkan peraturan ini. Ia juga bertentangan dengan demokrasi UMNO.Pemegang jawatan memanglah mahukan kuota ini diteruskan, tetapi kena ingatlah ada kemungkinan juga merekapun takkan dapat.

Agendadaily:
Adakah Tengku melihat apa-apa lagi kekangan?

Ku Li:
Sangat susahlah berhadapan dengan kod etika. Susah nak jumpa sesiapapun. Kod etika sekarang lagi susah, ada 23 mukasurat, dahulu pada 2001 hanya 7 muka sahaja.Kalau kita tidak buat perubahan, dalam pilihanraya umum akan datang, kerusi yang adapun kita akan hilang…. Dah ada yang kata akan bubarkan cawangan (UMNO) jika saya tak lepas kuota.

Agendadaily:
Jadi kuotalah yang menjadi masalah utama, bukannya pertandingan…?

Ku Li:
Yes….yes …betul tu quota is the problem , not the battle . Dari segi perjuangan tanpa kuota….. saya dah menang dah….
Saya dah ada jentera sendiri. Ada penyelaras bagi setiap bahagian.
Rakyat dan pemimpin UMNO di peringkat negeri ramai yang dah tak mahu pada yang ada sekarang. Orang nak perubahan kerana mereka takut pada masa depan.
Kalau orang merasa masih boleh berpayung…takkan mereka lari. Cuma kita tidak faham membaca signal yang diberikan.

Agendadaily:
Sekiranya menang.., berapa lama pula Tengku akan bertahan?

Ku Li:
Saya dah 71 tahun.. Saya hanya mahu membawa perubahan dan pembaharuan. Saya sediakan pelapis untuk teruskan. Mungkin saya boleh bereskan dalam satu penggal sahaja. Dah selesai, saya tinggalkan.
Ada orang duduk lama, tetapi tak buat apa-apa….. kah, kah, kah.

Agendadaily:
Sudah adakah calon-calon pelapis yang Tengku sebut tu?

Ku Li:
Dah ada…Barangkali orang luar perlu dipelawa masuk, tetapi mestilah masuk UMNO dulu. Bawa juga tokoh-tokoh baru.

Agendadaily:
Adakah ini bermakna yang ada dalam UMNO kini tak boleh pakai semuanya?

Ku Li:
Kalau tiada pilihan, saya akan tukar dan buat setting lain. Kalau boleh saya nak revamp.

Agendadaily:
Apalah agaknya sesuatu yang gah yang boleh Tengku ubah?

Ku Li:
Kita akan beri kuasa pemilihan kepada ahli-ahli parti untuk memilih calon-calon yang dikehendaki. Sekarang Perdana Menteripun dipilih oleh ahli-ahli parlimen, bukan kuasa parti.

Agendadaily:
Jika begitu, bagaimanakah yang dikatakan parti menguasai kerajaan?

Ku Li:
Kita akan pisahkan kuasa parti dan kuasa kerajaan. Parti sediakan dasar dan kerajaan laksanakan. Kalau nak beri sumbanganpun berilah pada kerajaan dan parti cari sumbangan sendiri.
Dalam pertemuan eksklusif itu, Ku Li juga menyentuh mengenai ‘borak-borak’ yang dibawa oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya harga minyak akan diturunkan sehari selepas beliau menjadi Perdana Menteri.
“Sayapun boleh cakap. Saya boleh cakap nak bagi percuma… lagi hebat, tetapi apalah gunanya kita turunkan harga hari ini dan kemudiannya kita bankrap?
Menurut Ku Li, untuk menurunkan harga minyak tatkala harga di pasaran dunia meningkat adalah sesuatu yang mustahil kerana apa yang boleh dilakukan hanyalah menambah susbsidi untuk mengekang kenaikan harga runcit.
Kata Ku Li, apabila harga minyak dunia meningkat, premium yang diperolehi Negara melalui Petronas juga meningkat dan dana itulah yang boleh digunakan untuk menyekat kenaikan harga tempatan.
“Mustahil boleh diturunkan. Turun hari ini dan negara bankrap kemudiannya buat apa,’’ kata bekas Menteri Kewangan itu.

kzso - if the president, deputy president, vice presidents, supreme council members are sincere, the quota should be lifted.

No comments: