NUFFNANG

Tuesday 29 July 2008

Pemuda PAS anggap syor Nik Aziz jenaka, MB Kelantan mahu Karpal hormati PAS

Pemuda PAS anggap syor Nik Aziz jenaka, MB Kelantan mahu Karpal hormati PAS

29-07-2008 02:07:39 PM Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (Mutakhir)

GUA MUSANG: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Pengerusi DAP Karpal Singh supaya menghormati hasrat PAS untuk mengadakan muqabalah dengan Umno.

"Karpal macam saya juga, usianya telah tua, dan kita hormati dia, maka dia pula perlu menghormati kita," katanya kepada pemberita di sini semalam ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP itu yang mahu supaya kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dikaji semula kerana menganggap perbincangan PAS dengan Umno boleh menggugat perpaduan dalam pakatan itu yang turut melibatkan Parti Keadilan Rakyat.

Nik Aziz berkata, Karpal sepatutnya memahami mengenai muqabalah yang merupakan perbincangan bersemuka antara PAS dan Umno kerana pengalaman politiknya yang lama dan untuk menjaga kepentingan bersama antara Pakatan Rakyat.

Beliau juga berkata isu muqabalah antara PAS dan Umno itu tidak akan diperjelaskan kepada Karpal kerana perkara itu pernah dibincangkan dengan pemimpin DAP itu sebelum ini.

"Saya tak nak komen, lagi pun dalam dua, tiga minggu dulu saya dah tutup fail menyentuh perkara itu yang membabitkan saya dengan Karpal," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub menyifatkan cadangan Nik Abdul Aziz Umno dan PAS dibubarkan hanya sebagai satu jenaka.

“Bagi saya tuan guru (Nik Aziz) hanya buat ‘joke’, tak lebih dari itu,” katanya kepada mStar Online.

Salahuddin turut beranggapan kenyataan Nik Aziz itu sebagai sindiran dalam politik memandangkan situasi sekarang yang heboh dengan isu muzakarah antara PAS-Umno sedang hangat diperkatakan.

Ditanya jika kenyataan Nik Aziz itu sememangnya serius dan benar-benar bermatlamat untuk penyatuan orang Melayu dan Islam, beliau berkata, perkara itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Beliau turut diminta mengulas mengenai isu PAS yang ‘diasak’ oleh rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP yang mendesak agar status keahlian mereka dikaji semula, beliau berkata:

“Biasalah Karpal Singh”.

“Itu memang caranya dari dulu lagi yang suka mengeluarkan kenyataan seperti itu,” katanya lagi.

Kelmarin, Karpal ragu dengan keanggotaan PAS dalam Pakatan Rakyat kerana mengadakan perbincangan bersama Umno secara senyap.

Salahuddin bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan berlakunya keretakan antara komponen Pakatan rakyat itu.

“Hubungan PAS dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga DAP masih kuat seperti dulu, tiada perubahan,” katanya yang beranggapan kenyataan Karpal itu bersifat peribadi tanpa melibatkan DAP secara keseluruhannya.

Ditanya sama ada ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat akan berbincang mengenai isu ini, beliau berkata: “Tidak, tidak perlu dibincangkan apa-apa kerana tiada sebarang perubahan, kami masih bersama Pakatan Rakyat.”


BERITA TERDAHULU:

Amaran PAS: DAP, jangan campur urusan parti runding

ALOR STAR: PAS hari ini memberi amaran kepada DAP untuk tidak mencampuri urusan parti itu sambil menegaskan bahawa ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingininya termasuk Umno.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, PAS sama sekali tidak rela untuk mengikut telunjuk sesiapa dalam perjuangannya dan ekoran itu DAP yang menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat tiada hak untuk menghalang atau menentukan tindak tanduk PAS.

"PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya lepas, bukan gabungan macam BN," katanya.

"Malaysia adalah negara bebas dan mengapa kita mesti mengikut telunjuk orang," katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh agar Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan PAS berikutan tindakannya mengadakan rundingan dengan Umno demi perpaduan Melayu.

Semalam, Karpal menganggap tindakan PAS itu sebagai tidak ikhlas kerana ia mengundang keraguan tentang kredibiliti parti itu dalam Pakatan Rakyat dan oleh itu keanggotaan PAS perlu dikaji semula.

Kenyataan terbaru Karpal itu dilihat sebagai tanda perpecahan mula ketara dalam pakatan parti pembangkang itu.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Karpal tidak berhak untuk mempertikai sebarang tindakan yang diambil PAS atau meminta PAS merujuk dahulu kepada DAP atau Pakatan Rakyat jika ingin berbincang dengan Umno.

"Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan Umno. PAS sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut)," kata Azizan.

Karpal enggan ulas pendirian Nik Aziz

Umno ada unsur Islam, tidak perlu dibubar kerana PAS

Wan Azizah: Hubungan masih mantap, PAS tetap kekal dalam Pakatan Rakyat

Beliau berkata PAS sebenarnya menyambut baik usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno untuk bermuzakarah, kerana PAS telah lama berharap usaha murni itu dapat direalisasikan.

"Cerita PAS mengajak Umno bermuzakarah bukan baru, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan oleh parti dalam Pakatan Rakyat," kata Azizan.

Di SHAH ALAM, Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika cuba untuk meredakan keadaan menyifatkan perkembangan antara PAS dan DAP itu sebagai masalah politik yang biasa berlaku dalam setiap parti politik.

Beliau berkata pergeseran dan perbezaan pendapat bukan sahaja berlaku di antara parti di bawah Pakatan Rakyat tetapi juga wujud di antara parti di dalam BN.

"Masalah politik ini adalah masalah biasa, dalam Umno pun ada masalah politik, dalam Pakatan Rakyat pun ada perbezaan pendapat tetapi akhirnya tujuan mereka jalankan usaha politik ialah untuk kebajikan rakyat. Kalau tidak, buat apa mereka masuk politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel anjuran "Task Force" Tanah dengan kerjasama kerajaan Selangor di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpendapat tindakan PAS mengadakan pertemuan dengan Umno itu bukan satu kesalahan, Abdul Khalid menjawab: "Tak ada, ini politik...saya rasa ia (PAS) akan cuba nilai keadaannya tetapi bagaimanapun kepimpinan PAS, PKR dan DAP menyatakan bahawa Pakatan Rakyat adalah mantap."

Di IPOH, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menawarkan kerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan negeri Perak berikutan sikap negatif DAP terhadap PAS selain sebagai permulaan ke arah penyatuan kedua-dua buah parti itu.Beliau berkata tawaran itu juga adalah bagi menyahut saranan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

"Umno Perak mahu memulakannya dengan langkah pertama ke arah pengabungan...ini langkah awal elak perpecahan Melayu dan bagi mewujudkan kestabilan politik serta kerajaan negeri Perak yang lebih kukuh," katanya kepada pemberita di pejabat Umno Perak di sini.

Beliau berkata cadangan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu adalah baik dan Perak sebagai sebuah negeri bermasyarakat majmuk ia adalah tempat terbaik untuk menguji dasar pemerintahan hasil gabungan antara PAS dan Umno berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan Islam.

Tajol Rosli berkata Umno dengan 27 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seorang dari MCA sedia bekerjasama dengan PAS yang mempunyai enam ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh berbanding kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) dengan 31 ADUN sekarang.

Beliau berkata Umno dan PAS boleh bekerjasama memerintah Perak terlebih dahulu dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk meneruskan perbincangan peringkat Presiden serta menubuhkan jawatankuasa ke arah pembubaran dan pembentukan sebuah parti baru.

Tajol Rosli berkata kerajaan negeri Perak yang dibentuk bersama oleh Umno dan PAS Perak akan lebih stabil dan kukuh berbanding kerajaan PR sekarang yang agak lemah dengan anggotaanggota ADUN yang saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

"Umno Perak sanggup menerima Menteri Besar dari PAS...perbezaan antara DAP dan PAS adalah lebih jauh berbanding dengan PAS dan Umno yang pernah bekerjasama pada zaman (Perdana Menteri) Tun Abdul Razak dahulu," katanya.Tajol Rosli berkata Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah seorang pemimpin yang baik tetapi menerajui sebuah kerajaan yang rapuh.

Kerajaan PR yang memerintah Perak dianggotai 18 ADUN DAP, 7 PKR dan 6 PAS.Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata DAP tidak sewajarnya meragui kredibiliti PAS semata-mata kerana PAS mengadakan "pertemuan biasa" dengan Umno.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perak berkata PAS memberi komitmen akan terus bersama Pakatan Rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

"Sebenarnya tidak ada muzakarah (PASUMNO). Kalau kita lihat balik yang ada itu hanya satu perjumpaan biasa, satu temuramah iaitu muqabalah. Jadi tidak timbul persoalan muzakarah."

Kita tidak bercantum dengan Umno. Kalau bercantum dengan Umno mungkin persoalan itu timbul tetapi tidak ada (percantuman dengan Umno)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP).

Mohammad Nizar juga menolak tawaran Umno Perak untuk bergabung dan bersama memerintah kerajaan negeri Perak kerana telah memberikan komitmen kepada DAP dan PKR untuk kekal dan bersama-sama memimpin negeri itu.

kzso - hello.. our economy is having big challenges right now but the politicians still want to play politics. in the end the rakyat will suffer.

No comments: