NUFFNANG

Tuesday, 22 July 2008

Muzakarah: Hadi ok...Nik Aziz minta hentikan

Muzakarah: Hadi ok...Nik Aziz minta hentikan

July 21, 2008 : 08.34 PM

Muzakarah…. Ada dua pandangan berbeza daripada pimpinan tertinggi PAS berhubung dengan muzakarah antara parti itu dengan UMNO.

Satu sahkan manakala satu lagi sifatkan pertemuan yang telah diadakan jika diteruskan hanya akan pecah belahkan perpaduan dalam PAS dan pakatan pembangkang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari Isnin mengakui pimpinan tertinggi parti itu telah mengadakan pertemuan dengan Perana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan isu kepentingan bersama berkiatan umat Islam dan orang Melayu.

Selain mengesahkan, Hadi turut memberitahu pertemuan yang berlangsung selepas pilihan raya umum ke-12 lalu turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Abd Khalid Abdul Samad.

“Pertemuan itu telahpun dilaporkan kepada mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulamak Pas,” katanya sambil menambah Majlis Syura Ulamak Pas telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas mempertingkatkan usaha untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

“Sehubungan dengan ketetapan itu, satu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang membabitkan Timbalan Presiden Pas dan Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulama,” katanya.

Hari Ahad, Abdullah mengesahkan UMNO telah mengadakan tiga kali pertemuan dengan pimpinan PAS dalam konteks bermuzakarah kedua-dua parti tetapi hanya menjelaskan isu yang dibincangkan membabitkan soal tidak mempolitikkan isu agama.

Namun nada positif Presiden PAS itu tidak dikongsi bersama oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan pemimpin parti itu menghentikan segera usaha mengadakan muzakarah dengan Umno.

Katanya, ini kerana muzakarah itu boleh memecah-belahkan perpaduan ahli parti dan kerjasama dalam pakatan pembangkang.

“Saya menolak muzakarah. Saya minta pemimpin dan ahli Pas menghentikan kerja ini (muzakarah) dan menumpukan kepada perkara lain. Saya tidak gembira dengan kenyataan kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Umno)," katanya di Kota Bharu.

Nik Abdul Aziz berkata, isu muzakarah hanya menimbulkan kemarahan ahli Pas serta rakan dalam pembangkang yang boleh menyebabkan PAS dipencilkan.

Sehubungan itu, beliau mahu Abdul Hadi menghentikan segera usaha ke arah muzakarah kerana muktamar parti itu semakin hampir.

Ditanya adakah perbezaan pendekatan beliau dengan Hadi menunjukkan wujudnya ketidaksefahaman antara mereka, Nik Aziz menafikannya. – 21/7/2008


Muzakarah UMNO-PAS:

Ini ceritanya Isu muzakarah UMNO -

PAS kini semakin jelas.Ia lebih kepada perbincangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dan tidak melibatkan soal penggabungan kedua parti besar Melayu itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Ahad memberitahu para wartawan lepas satu majlis di Putrajaya bahawa kalangan pemimpin tertentu UMNO dan PAS sudah tiga kali mengadakan pertemuan.

Katanya antara perkara yang menjadi topik perbincangan ialah kewujudan masalah yang pasti akan timbul sekiranya isu mengenai agama dipolitikkan.

"Kalau hal agama jadi isu politik, ia akan membawa kepada masalah di kalangan orang Islam, itu satu daripada tajuk-tajuknya, ada lagi tajuk yang lain, tak payahlah saya huraikan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pertemuan dengan pemimpin pada peringkat tinggi itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah, yang lain tak boleh tanya....(pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan," katanya, seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdullah menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai muzakarah dengan PAS seperti yang dicadangkan oleh Abdul Hadi menerusi satu wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu, minggu lalu.

Abdul Hadi menerusi wawancara itu menyatakan bahawa Pas berhak mengadakan rundingan bersama UMNO tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang untuk menyampaikan mesej Islam.

Menjawab soalan sama ada UMNO bakal mengenakan syarat-syarat tertentu untuk muzakarah berkenaan dan memikirkan kemungkinan untuk melantik pihak ketiga sebagai pengerusi seperti yang disyorkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat , Perdana Menteri h berkata sebarang syarat hanya akan menyusahkan. "Buat apa kita nak letak syarat, menyusahkan sahaja.

Kita bincang dengan ikhlas.

Apa juga pandangan-pandangan yang kita fikir wajar, kita bincang, kita bincanglah.

"Biarlah kita pada peringkat ini cakap pada peringkat kita sahaja, belum lagi memikirkan sama ada orang ketiga itu perlu atau tidak," katanya.

Abdullah juga berkata, pertemuan itu berjaya melahirkan pemuafakatan dan persefahaman yang baik antara kedua-dua pihak.

Sementara itu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS ketika di temui di Kota Bharu untuk mengulas perkembangan itu mengingatkan pemimpin kanan parti, yang membuat pertemuan dengan pemimpin UMNO, hanya boleh mengadakan pertemuan melibatkan perbincangan peribadi dan bukannya melibatkan isu politik kedua-dua parti.

Katanya beliau hanya boleh menerima jika pemimpin PAS bertemu dengan pemimpin Umno atas urusan peribadi seperti menyentuh isu agama yang memberi manfaat dalam membaiki sahsiah diri.

Beliau menolak sebarang tindakan bagi pihak pemimpin PAS untuk mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membincangkan isu parti.

"Kalau nak jumpa jangan jumpa dengan parti. Bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dan individu, saya setuju," katanya.

Nik Aziz berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai pertemuan tiga kali itu namun beliau pernah dimaklumkan sememangnya pernah wujud pertemuan antara Umno dan PAS tetapi lebih kepada isu agama dan peribadi.

Beliau berkata pertemuan antara parti dengan parti atau antara Umno dan PAS tidak perlu diadakan kerana sudah terbukti dengan perjanjian yang dibuat pada tahun 70-an, ketika era Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, PAS telah ditendang daripada parti gabungan. "Jadi bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dengan individu saya setuju, dapat menyampaikan Islam secara langsung kepada individu terbabit," katanya.

Mengenai muzakarah yang disarankan beliau, Nik Aziz berkata perlu ada orang ketiga sebagai Hakkam yang mengadilkan pertemuan itu sebagaimana perbincangan antara dua negara berjiran perlukan kepada negara ketiga.

"Kalau di peringkat dunia berbalah dan perbincangan yang hendak diadakan perlu pihak ketiga, PPB (Pertubuhan Bangsa-Bersatu)lah yang terbaik," katanya.

kzso - what's the fuss. it's only a talk between two entities. anwar also says that he has no problem pas talking to umno? but there're conflicting report on tg nik aziz's standing on this. one report says "he said it's ok", the next report says "it's not ok". is someone try to belittle tg nik aziz?

No comments: