NUFFNANG

Saturday, 12 July 2008

Polis panggil Anwar bila tiba masanya

Polis panggil Anwar bila tiba masanya

KUALA LUMPUR 11 Julai -

Polis akan memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diambil keterangan berhubung dakwaan liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu apabila tiba masanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, pada masa ini para pegawai polis sudah menyoal siasat lebih 20 orang saksi berhubung kes tersebut.

Beliau menambah, jumlah sebenar saksi yang akan dipanggil sukar ditentukan kerana bilangannya terus bertambah berdasarkan maklumat daripada saksi-saksi yang memberi keterangan.

"Kita akan panggil Anwar apabila tiba masanya.

Siasat rapi mengenai kes ini sedang dijalankan,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail menjelaskan, mereka yang dipanggil sebagai saksi terdiri daripada pelbagai pihak kerana bagi polis tiada beza antara orang awam atau ahli politik dalam usaha mendapatkan maklumat mengenai sesuatu kes.

Beliau juga enggan mengesahkan sama ada laporan perubatan berkaitan kes liwat membabitkan Anwar sudah diterima dengan alasan kes itu masih dalam siasatan.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini iaitu dua hari sebelum laporan itu dibuat.

Ismail memberitahu, kes penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang menghilangkan diri bersama keluarganya di sebuah negara jiran juga sedang disiasat dengan teliti.

Balasubramaniam dilaporkan hilang setelah membuat dua akuan bersumpah pada 1 dan 3 Julai lalu yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ismail meminta orang tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kedua-dua kes tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis.

Beliau menegaskan, spekulasi tanpa asas kukuh dan beremosi akan mengeruhkan lagi keadaan yang boleh menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi yang negatif terhadap pasukan polis.

"Polis melakukan siasatan berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada mengikut sistem yang terdapat di negara ini.

''Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membelakangkan undang-undang kerana tindakan tegas boleh diambil ke atas mereka mengikut Akta Hasutan jika polis berpendapat ada keperluan untuk berbuat demikian,'' jelasnya.

Ismail menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kes itu agar tampil membantu siasatan polis.

No comments: