NUFFNANG

Saturday 12 July 2008

Peralihan Kuasa by sanusi junid

Peralihan Kuasa

by sanusi junid

Sebaik saja saya membaca komentar Tun Dr. Mahathir mengenai peralihan kuasa dari Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Najib pada tahun 2010 saya dihubungi oleh seorang wartawan menyatakan 'Oposition leader Wan Azizah Wan Ismail is expected to file no confidence vote against Prime Minister under an emergency motion at 3 pm.

'Lepas itu saya terima maklumat dari pihak yang boleh dipercayai menyatakan pada waktu yang sama 'Zahid Hamidi, Shabery Cik n Ismail Sabri now with Tingkat 4'. Ketiga-tiganya menteri belaka.

Bertubi-tubi lagi datang maklumat yang menyatakan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan menyuarat Majlis Tertinggi pada pukul 3 petang untuk mendapat restu rancangannya untuk menyerah kuasa kepada Dato' Seri Najib pada tahun 2010.

Maklumat seterusnya ialah Dato' Seri Abdullah akan mengemukakan kepada perjumpaan G6 untuk mendapat persetujuan mereka atas apa yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi UMNO supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

Perjumpaan G6 ini akan bermula pada pukul 5 petang selepas mesyuarat Majlis Tertinggi.

Apabila saya bertanya kepada seorang bekas tokoh parti Semangat 46, yang kini menyokong Dato' Seri Abdullah Ahmad Bahawi, apakah perlu mengadakan tindakan-tindakan yang terburu-buru seperti itu, beliau menyatakan bahawa di zaman Tun Mahathir pun ada keputusan untuk jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

Perlu diingat bahawa Tun Dr. Mahathir menyetujui usul sedemikian dibenarkan ialah untuk melindungi timbalannya dari dijatuhkan, dan bukan kerana timbalannya akan menjatuhkan beliau; sebaliknya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menghendaki keputusan sedemikian kerana dia takut dikalahkan oleh timbalannya.

Di waktu UMNO kuat dengan pimpinan yang mantap bolehlah pertandingan itu dielak sebagai usaha memecahbelahkan atau melemahkan UMNO, tetapi dalam keadaan UMNO seperti sekarang tidak menghendaki pimpinan yang ada dikekalkan.

Malahan pemimpin yang tidak mampu perlu turun sebelum dijatuhkan.UMNO dan BN di zaman Tun Dr. Mahathir tidaklah pernah parah seperti sekarang.

Perlu diingat lagi bahawa UMNO dan BN senantiasa mendapat 2/3 majoriti sejak Merdeka, sehinggalah tahun 2008.UMNO dan BN juga tidak pernah kalah di Kedah, Perak dan Selangor sepanjang 50 tahun Merdeka.

Kini 3 negeri terkaya, 2 negeri miskin, dan di Wilayah Persekutuan, BN sudah kalah.

Di Perlis dan Trengganu Raja dan Sultan pun tidak yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri untuk memilih Menteri Besarnya.

Di Sabah dan Sarawak ahli-ahli politik BN mengetahui bahawa mereka menang atas kemampuan mereka sendiri dan kerana mereka jauh dari kesan pengaruh 'Tingkat 4'

Protes SAPP adalah bukti kebosanan rakyat Sabah terhadap Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

'It is just the tip of an ice-berg'.Di Johor lebih 300,000 undi penyokong-penyokong UMNO dan BN, di masa lalu, telah merosakkan undi mereka.

Semua fakta di atas perlu diulang-ulangkan supaya kita tidak lupa kepada keparahan yang lebih hebat yang menunggu UMNO dan BN dalam pilihanraya 2013.

Satu perbincangan dua hari, yang diadakan di Pearl Hotel di Jalan Klang Lama, beberapa minggu yang lalu, yang dihadiri oleh penyokong-penyokong Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengatur strategi menghadapi pilihanraya ke 13.

Penyokong Tun Dr. Mahathir, Dato' Seri Najib, Tan Sri Mahyuddin dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah telah tidak dijemput bersama.

Setakat mengadakan pilihanraya yang ke 13, dengan jangka-masa berkempen selama 13 hari, dan pilihanraya diadakan pada 13 Januari, 2013, kerana Januari itu bulan yang ke-13 selepas bulan ke 12 ( Disember ) tidak cukup untuk menjamin nasib masa depan bangsa Melayu dan Malaysia.

Begitu juga kuota yang diperkenalkan di dalam pemilihan UMNO adalah bertujuan untuk menghalang amalan politik wang sebagaimana yang telah diamal dalam pertandingan- pertandingan besar, di dalam UMNO, di masa-masa yang lalu.

Kini tafsiran politik wang tidaklah termasuk memberi wang RM100-00, kain pelikat, majlis makan bersama, dan sembahyang hajat untuk pemimpin-pemimpin UMNO peringkat cawangan yang diangkut dan ditaja dengan wang kerajaan.

Semua yang dikatakan bukan 'politik wang' ini hanyalah untuk menghalang Dato' Seri Najib dan Tan Sri Mahyuddin mendapat jumlah pencalonan yang secukupnya untuk bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Di manakah letaknya etika pertandingan yang menghendaki supaya calon tidak berkempen 6 bulan sebelum Perhimpunan Agong

Pemilihan pada 15 Disember, 2008 dan selepas 6 bulan dari 15 Disember, iaitu sampai 15 Jun, 2009.

Bukankah permulaan etika pada 15 Jun, 2008?

Bukankah kini sudah 25 hari UMNO masuk kedalam bulan pantang larang etika berkempen?

Bukankah menghalang pertandingan juga sejenis kempen untuk kepentingan diri?

Berertilah calon untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu berkempen kerana tidak ada pertandingan, oleh itu tidak timbul politik wang.

Kalau ini lojiknya tidakkah lebih baik jika semua jawatan tidak dipertandingkan supaya tidak perlu berkempen dan tidak perlu wang?

Semua pemimpin bahagian boleh dilantik oleh Presiden asalkan Presiden boleh menjadi Perdana Menteri sampai puas.

Usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa oleh Datin Seri Wan Azizah ke dalam Parlimen sepatutnya menjadi contoh dan dibawa oleh seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO, ke dalam UMNO, terhadap Presiden UMNO.

Kelompok Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, samaada yang bermukim di 'Tingkat 4' atau yang dikuasai oleh 'Tingkat 4' di Putrajaya, mengetahui bahawa jika Dato' Seri Najib dan Tan Sri Mahyuddin Yasin bergabung tenaga maka Dato' Seri Abdullah dapat ditumbangkan dengan mudah.

Berbagai usaha telah dibuat untuk merosakkan nama Dato' Seri Najib dengan mengaitkan nama beliau dengan pembunuhan Altantuya, melalui tuduhan ke atas Datin Seri Rosmah.

Dato' Seri Najib juga cuba dihubungkan dengan Saiful melalui gambar Saiful di luar pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Saya bersetuju dengan sindiran satu sms yang saya terima yang menyatakan semua adegan memburukkan Dato' Seri Najib adalah laksana satu filem Tamil yang pelakonnya ialah orang India Islam, Kalimullah dan Reezal Merican dan dua orang pelakon India Hindu, Linggam dan Bala.

'Aduan Raja Petra, yang mengaitkan nama Khairy, hanya memberi kesempatan kepada Khairy untuk menyatakan ianya tidak terlibat, sebagaimana Khairy telah melibatkan dirinya dengan campur tangan dalam kes Saiful dengan menyatakan Dato' Seri Anwar berhasrat mencari publisiti dengan menimbulkan isu tersebut.

Dalam satu perjumpaan di Istana seorang Sultan, yang turut hadir, beberapa waktu yang lalu, untuk membincangkan nasib bangsa Melayu dan masa depan negara Malaysia, saorang Jenderal Angkatan Bersenjata, yang telah bersara, menyatakan bahawa untuk memenangkan kembali BN dan UMNO dalam pilihanraya pada tahun 2013 dapatlah dibandingkan dengan perancangan untuk berperang.

Masa yang diperlukan untuk mendapat kemenangan ialah sekurang-kurangnya 5 tahun.

Semakin kurang jangkamasanya semakin sukar untuk berjaya.

Berasaskan pengalaman 30 tahun sebagai wakil rakyat dari tahun 1974 hingga tahun 2004 saya bersetuju dengan pendapat Jenderal tersebut.

Oleh itu menunggu hingga tahun 2010 terlalu lama dan memendekkan masa untuk persiapan bagi mencapai kemenangan pada tahun 2013.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu sedar atas kemampuannya.

Beliau telah mendapat kemenangan yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada tahun 2004.

Dari tahun 2004 hingga tahun 2008 beliau telah berjaya merosakkan imejnya dari seorang Perdana Menteri yang paling popular dalam sejarah Malaysia kepada Perdana Menteri yang paling dibenci oleh rakyat.

Tun Dr. Mahathir telah menegur Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelum pilihanraya, atas kesalahan-kesalahannya, untuk mengelak dari kekalahan di dalam pilihananraya 2008.

Tetapi Dato' Seri Abdullah lebih bergantung kepada anak, menantu dan rakan-rakan menantunya. Ternyata teori-teori dari Oxford, Cambridge dan lain-lain universiti, gagal dalam menghadapi realiti politik di Malaysia.

Ramalan Tun Dr. Mahathir terbukti betul.

Kini Tun Dr. Mahathir menegur terus.

Selain usaha Dato' Seri Abdullah, atas nasihat dan bantuan kuncu-kuncunya, untuk merosakkan nama Tun tetapi Tun Dr. Mahathir tidak bosan dan terus menegur.

Dato' Seri Abdullah leka dengan propaganda medianya dan orang-orangnya sendiri. Rakyat terus susah, UMNO dan BN semakin parah.

Cukuplah Dollah, sudah sampai masanya saudara memecat diri saudara sendiri.


kzso - coming from one of umno strategist ~ sanusi junid (umno members fpr more than 30 years and was one of umno top leader), ydp pm (dollah) should take note and notice on this.....

No comments: