NUFFNANG

Wednesday 11 February 2015

EKSKLUSIF: PENDAKWA RAYA, SHAFEE ABDULLAH DEDAH MUSLIHAT ANWAR ELAK DISABITKAN BERSALAH

EKSKLUSIF: PENDAKWA RAYA, SHAFEE ABDULLAH DEDAH MUSLIHAT ANWAR ELAK DISABITKAN BERSALAH


Kenyataan Pendakwa Raya berhubung keputusan kes liwat  Datuk Seri Anwar Ibrahim:

1. Penghakiman ini membawa kepada suatu pengakhiran bagi tujuh tahun masa
mahkamah di mana sembilan Hakim, dan pasukan Pembelaan (Anwar sendiri telah
melantik 14 orang peguambela di Mahkamah Persekutuan, namun secara keseluruhannya
seramai lebih kurang 20 orang peguambela telah dilantik pada kesemua peringkat kes)
mengambil masa beribu-ribu jam, telah mempertimbangkan setiap keterangan didalam
 kes ini dengan terperinci dari awal sehingga akhir. Kesemua sembilan Hakim tersebut
adalah tidak termasuk Hakim-Hakim yang mendengar rayuan interlokutori.

2. Saya tahu bahawa keadilan akhirnya ditegakkan, jadi saya secara profesional berpuas
hati dengan keputusan pada hari ini. Tetapi ianya tidak memberikan saya kegembiraan
- kehidupan seorang pemuda telah dimusnahkan, berubah selama-lamanya. Lebih buruk
lagi, tanpa berselindung, mangsa telah berhadapan dengan sesi Pemeriksaan Balas 
selama tujuh hari dan kesemua pasukan peguambela Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh 
menyoal balas beliau. Jadi, proses keadilan juga telah memburukkan lagi penderitaan 
beliau.

3. Namun Anwar Ibrahim dengan sendirinya telah memilih untuk tidak memberikan lebih
daripada secebis kenyataan dari kandang tertuduh. Tidak seperti mangsa, beliau enggan berhadapan dengan pemeriksaan balas. Ianya adalah hak beliau dibawah undang-undang,
namun hak yang beliau telah gunakan untuk menyerang pihak Pendakwaan, Yang Arif-Yang
Arif Hakim, serta bekas rakan-rakannya dalam kerajaan. Beliau telah menjejaskan reputasi
negara beliau sendiri.

4. Saya telah dilantik pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga peringkat akhir bagi
rayuan kes ini di Mahkamah Persekutuan, bagi mempertahankan keputusan Mahkamah
Rayuan terhadap rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara
ini. Ianya merupakan suatu tugas yang sangat sukar, kerana apa yang menjadi kebiasaan 
bagi suatu kes biasa serangan seksual oleh majikan terhadap pekerjanya telah digunakan 
sebagai medan untuk menyerang reputasi badan kehakiman. Jadi saya menyeru kepada 
semua yang berfikiran adil di Malaysia dan di luar negara untuk mempertimbangkan 
dengan teliti sebelum membuat sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan 
sebenar didalam kes ini.

5. Yang paling penting, sila baca penghakiman pada hari ini dan yang sebelumnya pada
setiap patah perkataan. Ianya memberikan fakta-fakta - sebagaimana buruk pun – bagi
kes ini.

6. Sebagai contoh, bagi keterangan DNA, Malaysia mempunyai dua ciri utama dalam
aspek penyiasatan DNA. Pertama, kita memerlukan 16 bacaan daripada 16 bacaan
yang sepadan. Tiada negara yang menuntut keperluan yang lebih tinggi – yang tertinggi,
seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, membenarkan keperluan bacaan yang
lebih rendah. Kesemua bacaan DNA yang menyokong kes ini adalah berpadanan
dengan bacaan 16 daripada 16 - dalam erti kata lain, padanan sempurna ('full flush').
Dan kesemua DNA adalah didapati daripada semen, yang mana lebih dipercayai
berbanding DNA yang didapati daripada peluh. Anda tidak boleh sesekali mencuri,
memalsukan atau mencemarinya.

7. Kedua, di Malaysia tidak ada undang-undang yang mewajibkan seseorang untuk
memberikan sampel DNA. Apabila Anwar Ibrahim mencabar sampel pihak Pendakwaan
di mahkamah, beliau mempunyai peluang untuk menawarkan sampel beliau sendiri,
sebagai suatu keterangan baru. Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh berbuat
demikian dan menutup kes ini serta-merta. Namun beliau telah memilih untuk tidak
berbuat demikian.

8. Berkenaan dengan Notis Alibi Anwar Ibrahim, beliau pada mulanya telah
mengemukakan suatu Notis Alibi yang menyeluruh. Namun beliau telah mengabaikan
sepenuhnya apabila ianya telah dibuktikan palsu melalui rakaman CCTV yang ditayangkan
kepada mahkamah. Kesemua ini telah dibuktikan lama dahulu.

9. Anwar Ibrahim juga enggan bersumpah dengan nama Al-Quran mengenai kejadian tersebut. Sebaliknya mangsa telah bersumpah dengan nama Al-Quran mengenai butir-butir kejadian tersebut, di Malaysia dan juga di Mekah yang merupakan tanah suci Islam.

10. Kes seperti ini, di mahkamah tertinggi di Malaysia, adalah terlalu teknikal: dalam
semua proses undang-undang yang sedia ada, dan dalam semua aspek keterangan,
terdapatkah kemungkinan di mana proses sewajarnya tidak diikuti? Terdapatkah
sebarang teknikaliti? Pada hari ini, jawapan daripada Hakim- hakim adalah tidak. Pada
hari ini, mereka memutuskan pada keputusan yang telah dibuat, serta keterangan yang
 telah lama diuji dan dibentangkan.

11. Tuduhan besar yang sering diulangi oleh Anwar Ibrahim bahawa kes ini mempunyai
motif politik. Berdasarkan keputusan hari ini, tuduhan tersebut adalah palsu.

12. Kebebasan badan kehakiman Malaysia termaktub di dalam perlembagaan. Kes ini
telah di bawa oleh seorang individu, iaitu pekerja Anwar Ibrahim, yang telah membuat satu
aduan polis yang mana beliau telah menuduh Anwar Ibrahim memberi tekanan yang tidak
wajar sebagai majikannya untuk memaksa beliau melakukan hubungan SEKSdengannya.

13. Tiada sesiapapun yang boleh menetapkan, mengolah dan memutar belit suatu
proses perundangan yang mantap dan menyeluruh, termasuklah keputusan-keputusan
yang memihak kepada Anwar Ibrahim. Untuk mendakwa sedemikian, adalah keterlaluan
terhadap Yang Arif-Yang Arif Hakim, dan ianya adalah tidak mapan kepada mereka yang membaca apa yang telah diputuskan oleh Yang Arif-Yang Arif Hakim pada hari ini dan
mengapa.

14. Tindakan bermotifkan politik di sini hanyalah melihat kepada Anwar Ibrahim dan
penyokongnya yang menuntut agar kes ini digugurkan.

15. Harus dipertimbangkan bagaimana perkara ini mulanya berbangkit. Sebagaimana kita
imbas kembali Hansard (tarikh 22 Oktober dan 18 Disember 1997) , buat pertama kali
seorang MP berdiri memegang akuan bersumpah yang menuduh Anwar Ibrahim terlibat
dalam kegiatan seksual – homoseksual – assault, Anwar Ibrahim pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan pihak yang menuduh beliau bukanlah daripada kalangan
ahli kerajaan tetapi sebaliknya MP pembangkang daripada parti DAP. Dan siapa pula
penuduh beliau yang sebenarnya? Arwah Karpal Singh, peguam yang hebat. Mana-mana pengakuan penglibatan jenayah Anwar Ibrahim dan kejatuhan politik beliau perlu dilihat
kepada siapa yang memulakannya.

16. Tetapi bagi mangsa dan juga Malaysia, perkara ini telah menjadi sesuatu yang
mengerikan dan berpanjangan. Di pengakhiran kes ini, saya minta pihak media yang ada
untuk melihat kepada fakta kes ini dengan adil, menganalisis penghakiman dengan teliti
serta menjalankan perkara-perkara ini dengan sebaik yang mungkin demi masyarakat.

17. Saya risau dengan segelintir pihak media yang menganggap mahkamah-mahkamah
di Malaysia bertindak dengan adil hanya apabila keputusan mahkamah memihak
kepada Anwar Ibrahim dan mendakwa sistem kehakiman kita telah dikompromi apabila
mahkamah memberikan keputusan yang sebaliknya.

18. Kita semua mempunyai tanggungjawab kepada mangsa, lelaki muda yang
merupakan pembantu peribadi Anwar Ibrahim, yang mendapat perhatian negara dan
antarabangsa disebabkan kesilapan yang bukan dilakukannya olehnya. Sepertimana
kesemua mangsa-mangsa jenayah berat, beliau mempunyai hak untuk melihat aduannya
disiasat dengan teratur oleh pihak polis dan mahkamah.

19. Jadi, ini bukannya cerita tentang politik, ini sebenarnya adalah cerita tentang
manusia - dan dari perspektif badan kehakiman, ia adalah peranan sistem keadilan
negara kita bagi membolehkan kedua-dua belah cerita untuk didengar di mahkamah.

20. Yang paling penting sekali, semua ini adalah cerita tentang semua manusia, tanpa
mengira kuasa, mereka adalah  sama rata di sisi undang-undang. 

No comments: