NUFFNANG

Monday 6 October 2014

PANASSS!!! ... SIAPA SAARI MOHON MAAF UNTUK PAS, TANYA DEWAN ULAMA

PANASSS!!! ...SIAPA SAARI MOHON MAAF UNTUK PAS, TANYA DEWAN ULAMA

Dewan Ulama PAS mempertikaikan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib yang memohon maaf bagi pihak parti Islam itu berhubung isu kemelut menteri besar Selangor.

Naib ketuanya Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata Saari bukanlah orang yang layak mengemukakan permohonan maaf kerana beliau tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam PAS.

“Siapa Saari mahu memohon maaf bagi pihak PAS? Adakah dia sebahagian dari kepimpinan parti? Tidak.

"Dia tidak patut berbuat demikian. Tidak mengapa jika dia dalam liga sama yang terdiri daripada pemimpin atasan parti," katanya kepada akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times.
Saari dalam satu majlis makan malam anjuran DAP pada Sabtu meminta orang ramai memaafkan PAS meskipun partinya menganggap dirinya sebagai pembelot dan kini sedang dalam proses untuk pemecatan.

"Saya tahu sesetengah dari anda masih marah kepada PAS. Jadi, mewakili PAS, saya mohon maaf kerana lambat membuat keputusan dalam isu calon menteri besar Selangor," katanya.

Mahfodz berkata tiada keperluan bagi PAS menyatakan permohonan maaf dalam isu menteri besar Selangor kerana ia sudah dibincangkan terlebih dahulu oleh pimpinan parti.

Katanya PAS tidak terburu-buru memutuskan siapa calon yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan segala keputusan dibuat dengan memerhatikan keadaan politik semasa.

"Dia akan menerima tindak balas daripada permohonan maaf itu. Mengapa PAS perlu memohon maaf atas apa yang dilakukan?

"Ia keputusan betul parti dengan memerhati perkembangan isu daripada membuat pertimbangan terburu-buru," katanya kepada akhbar berkenaan.

Mahfodz berkata keterujaan DAP atas keputusan Saari menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor tidak sesekali memberikannya kuasa membuat keputusan bagi pihak PAS.

Katanya biarpun DAP menggelar Saari sebagai hero kerana sokongannya kepada Dr Wan Azizah, keputusan penting tetap dibuat pemimpin tertinggi PAS.

"Mereka gelar dia hero. Dia boleh jadi hero di mata mereka tetapi Saari tiada hak meminta maaf bagi pihak parti," katanya kepada NST.

Saari pada majlis makan malam DAP pada Sabtu meraih populariti di kalangan hadirin bukan PAS dan ucapannya seringkali mendapat tepukan gemuruh.

Beliau juga turut menerima pujian daripada pemimpin DAP pada malam itu atas tindakannya bersama 28 Adun PKR dan DAP untuk menyingkirkan Khalid dan memberi sokongan majoriti kepada Dr Wan Azizah bagi jawatan menteri besar Selangor.

Malah Naib Presiden DAP Teresa Kok turut dilihat menghadiahkan Saari dengan pokok buluh sebagai penghargaan atas keputusan menyokong Pakatan Rakyat meskipun menerima tentangan hebat daripada PAS.

"Dalam tradisi Cina, buluh simbolik kepada kelembutan dan integriti. Bagaimana tekanan pun, buluh hanya akan bengkok tetapi tidak patah," katanya sebelum memberikan pokok tersebut kepada Saari yang mendapat tepukan gemuruh dari orang ramai.

Saari dan dan Adun Morib Hasnul Baharuddin berdepan kemungkinan dipecat daripada PAS kerana menyokong DAP dan PKR sebelum pendirian rasmi parti Islam itu sama ada mahu menyokong atau menolak pemecatan Khalid.

Nasib mereka bersama parti Islam itu hanya akan diputuskan parti pada 12 Oktober ini. 

Source : pilihan anda

No comments: