NUFFNANG

Saturday 4 October 2014

Dr Zuhdi : Krisis Selangor Uji Kesetiaan Ahli PAS Terhadap Abdul Hadi

Dr Zuhdi : Krisis Selangor Uji Kesetiaan Ahli PAS Terhadap Abdul Hadi

SABAK BERNAM: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki memberi peringatan kepada ahli-ahli PAS untuk tetap patuh dengan kepimpinan parti.
Bukan itu sahaja, beliau turut menegur beberapa pihak dalam parti itu yang sering bertindak gopoh dan tidak menghormati keputusan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Apatah lagi sebelum ini keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama juga sengaja ‘dilanggari’ semata-mata mahu memenuhi misi politik sesetengah pihak, tambahnya.
“Ada beberapa perkara yang kita tidak tahu, tetapi pemimpin tahu. Beliau tidak boleh menjelaskan secara terbuka kerana ada perkara yang sensitif.
“Kadangkala tidak boleh dijelaskan sampai bila-bila, atau hanya boleh dijelaskan sehinggalah hal itu berlalu. Maka ahli-ahli kena sabar, ini tidak bertindak memburu presiden ketika krisis berlaku.
“Suasana (krisis di Selangor) adalah amali untuk kita pelajari. Iaitu wajib taat kepada pemimpin dan ia bukan teori. Peristiwa yang berlaku ini adalah amali kepada sesiapa yang boleh taat kepada pemimpin dalam perkara yang presiden setuju.
“Atau siapa yang boleh beri kepercayaan kepada Presiden untuk buat keputusan terbaik. Atau siapa antara kita yang boleh bersabar hingga dijelaskan nanti. Maka merekalah yang layak meneruskan perjuangan,” beliau berkata demikian pada ceramah di Tebuk Pulai, Sabak Bernam.
PAS yakin Khalid wakil rakyat amanah
Walaupun suhu politik di Selangor tidak memuncak seperti beberapa bulan yang lalu, Zuhdi tetap mempertahankan keputusan yang dibuat kepimpinan PAS dalam isu jawatan Menteri Besar ini.
Katanya, PAS berpegang kepada sikap amanah yang ditunjukkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini ketika mentadbir negeri selama lebih enam tahun.
Malah PAS mengambil pendirian untuk memberi kepercayaan kepada yang layak untuk mentadbir atas kelebihan yang ada di negeri itu.
Umum mengetahui pendirian PAS menolak Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menggantikan Khalid, meskipun wujud golongan profesional parti itu mengikut hasrat PKR dan DAP.
Mengambil contoh Langkah Kajang dan cadangan pembentukan kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat selepas PRU-13 lalu, Zuhdi turut mendedahkan tindakan rakan-rakan PAS, terutamanya PKR seolah-olah mahu ‘mematikan’ peranan Hadi sebagai orang penting dalam membuat keputusan bersama.
“Langkah Kajang, PAS dan presiden sendiri tidak setuju. Apabila membaca jawapan Rafizi Ramli terhadap pertanyaan S. Ambiga mengapa perlu letak jawatan kerana akan membazir duit rakyat, memanipulasikan demokrasi.
“Rafizi kata ia disebabkan Umno di dalam keadaan tergugat, Najib makin lemah dan boleh disingkir oleh kumpulan Ultra Melayu yang juga kumpulan Tun M. Masalahnya apa kaitan Langkah Kajang dengan Umno? Mereka nak bergaduh terpulanglah.
“(Kerajaan gabungan) kononnya diberitahu Anwar tandatangani satu dokumen di Jakarta berkaitan konsensus nasional. Kami tidak tahu butirannya namun ada didedahkan sedikit oleh seorang rakan Anwar yang juga orang PAS.
“Antara kandungannya adalah ‘give and take’. Yang mana Anwar diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 dan Selangor diberikan kepada Umno.
“Ini yang menyebabkan Hadi tidak setuju dengan Langkah Kajang tetapi beliau tidak dapat buat kenyataan terbuka kerana gusar akan merenggangkan hubungan di dalam Pakatan,” katanya sebagai merujuk kepada cadangan kerajaan gabungan yang menjadi topik hangat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu – Antarapos

Source : aidc

No comments: