NUFFNANG

Thursday 9 October 2014

Azmin Cuba Mengelak Jawab Isu Festival Arak – Oktoberfest

Azmin Cuba Mengelak Jawab Isu Festival Arak – Oktoberfest

AIDCNews – 9/10/14 – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali terus mengelak apabila diminta mengulas isu penganjuran pesta arak secara besar-besaran atau lebih dikenali sebagai Oktoberfest.
Utusan Malaysia melaporkan pihak media yang ‘mengejarnya’ sejak pagi semalam gagal mendapatkan sebarang komen daripadanya dan beliau dilihat cuba melarikan diri daripada wartawan
Terdahulu, ketika ditemui dalam program ibadah korban anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada pukul 8 pagi, Azmin berjanji kepada wartawan akan mengeluarkan kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri selepas itu.
Bagaimanapun, sejak menunggu dari pukul 10 pagi di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sehingga 1 petang, pihak media belum mendapat kenyataan akhbar seperti dijanjikan Azmin.
Pada Selasa, Utusan Malaysia bertanya adakah benar Azmin merupakan individu yang bertanggungjawab meluluskan Oktoberfest.
Memetik kenyataan daripada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad, beliau mendedahkan bahawa kerajaan negeri semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar bersama empat Exco PAS tidak pernah meluluskan permohonan penganjuran Oktoberfest.
“Terdapat tuduhan Octoberfest diluluskan ketika pentadbiran Abdul Khalid dan empat Exco Pas. Ini adalah tidak benar.
“Ia tidak pernah dibawa kepada mesyuarat Exco,” katanya dalam akaun Twitter miliknya.
Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor merupakan salah seorang daripada empat Exco daripada parti itu yang terus setia bersama Abdul Khalid selepas pemecatan enam Exco DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan kemelut jawatan Menteri Besar sebelum ini.
Tiga lagi Exco Pas terbabit ialah Sallehen Mukhyi, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Dr. Halimah Ali.
Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu pada 23 September lalu bagi menggantikan Abdul Khalid.
Pesta arak tersebut bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi di Selangor dan kemuncak acara itu akan diadakan dari 10 hingga 12 Oktober ini di tempat letak kereta pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya.
Utusan Malaysia turut melaporkan kenyataan Dewan Ulama PAS Selangor yang mendesak Azmin menggunakan kuasanya untuk membatalkan penganjuran pesta arak, Oktoberfest mengikut undang-undang kerajaan negeri sedia ada.
“Kami mencadangkan PBT dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar yang baharu, (mengambil tindakan tegas) berdasarkan peruntukan Bahagian XIII Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) khususnya Seksyen 102 dan 103.
“Kedua-dua seksyen tersebut dengan serius menjadikan peruntukan Seksyen 18 Enakmen 9 Tahun 1995, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai syarat utama sesuatu kelulusan dan kebenaran dalam Undang-undang Kecil PBT khususnya Undang-undang Kecil Pelesenan PBT bagi perkara-perkara yang melibatkan arak dan minuman keras,”kenyataan Dewan Ulama PAS Selangor dipetik.
Turut dilapor Dewan Ulama Pas Pusat turut menghantar memorandum kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datin Alinah Ahmad sebagai memprotes festival arak tersebut.
“Menurut Alinah, pihaknya bertindak menurunkan iklan di jalan raya selepas mendapati pihak penganjur pesta tersebut dengan tanpa kebenaran telah menaikkan iklan berkenaan,” katan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan selepas menyerahkan memorandum itu.
Turut hadir bersama-sama menyerahkan memorandum adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad.
Nasrudin berkata, tindakan penganjur untuk mengadakan pesta tersebut secara terbuka telah mencabar sensitiviti umat Islam terutama sewaktu rakyat Islam di negara ini meraikan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban.
Beliau seterusnya mempersoalkan motif penganjur mengadakan pesta itu secara terbuka berbeza dengan sebelum ini yang menganjurkan pesta seumpama itu di tempat tertutup.
Justeru itu, katanya, Dewan Ulama PAS mendesak pihak pengurusan One Utama dan penganjur memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran telah mempromosikan festival arak itu secara besar-besaran tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Selain itu, jelasnya, PAS juga mahu semua aktiviti promosi festival dihentikan serta merta kerana tindakan itu memberi implikasi buruk yang tidak bermoral dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Kita menghormati agama lain, begitu juga agama lain perlu menghormati Islam apatah lagi Islam itu agama Persekutuan negara ini. Oleh itu mengapa tidak pesta ini dilakukan secara tertutup supaya tidak mengganggu sensitiviti umat Islam,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Khairudin menjawab kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan berkata, pesta yang diadakan secara terbuka pasti tiada jaminan bahawa tidak akan ada orang Islam yang lalai dalam Islam turut serta.
source : aidc

No comments: