NUFFNANG

Wednesday 8 October 2014

Pelantikan Azmin Sebagai MB, Tidak Selesaikan Krisis Dalaman PAS

Pelantikan Azmin Sebagai MB, Tidak Selesaikan Krisis Dalaman PAS

Yusof Harun – Cabaran menimpa Pas pada masa sekarang dilalui Umno suatu ketika dulu gara-gara berlaku perebutan kuasa dalam parti. Semuanya bermula apabila terdapat ahli-ahli parti itu kecewa dengan kepimpinan yang dipamer Presidennya Dr Mahathir Mohamad.
Bagi mengubah dasar parti dan memperbaiki kerosakan yang mereka dakwa dilakukan presidennya maka dalam Perhimpunan Agung pada 1987 berlaku perebutan jawatan membabitkan pertandingan bagi jawatan Presiden Umno.
Pasukan yang menentang Dr Mahathir diketuai Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Kewangan yang juga dilihat sebagai arkitek kewangan negara. Kumpulan ini dinamakan oleh media arus perdana sebagai Team B manakala, kumpulan Dr Mahathir, Team A. Anwar Ibrahim salah seorang panglimanya.
Kegagalan menyelesaikan sengketa di meja rundingan menyebabkan kes keahlian haram dalam Umno dibawa ke mahkamah. Seperti umum sudah maklum, Mahkamah Tinggi mendapati perhimpunan itu tidak sah menyebabkan Umno diharamkan.
Ketika ini Pas belum diheret ke mahkamah pengadilan. Ia hanya dibicara dan dijatuh hukum oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang tidak puas hati dengan dasar u-turn Pas berhubung isu MB Selangor.
Bagi DAP dan PKR, keputusan Pas menentang pencalonan Wan Azizah tidak munasabah serta bercanggah dengan prinsip perkongsian kuasa dalam PR. Mereka kecewa Presiden Pas Haji Hadi Awang menentang keputusan PR.
Bagi rakyat jelata apabila Sultan Selangor beri perkenan dan melantik Azmin sebagai MB baharu menggantikan Khalid Ibrahim maka selesailah krisis politik. Inilah doa rakyat. Malangnya yang selesai isu jawatan MB tetapi hubungan dengan Pas terus tegang.
Lebih menyedihkan DAP mengulangi dakwaan, empat Exco Pas yang menyokong Khalid tempoh hari sebagai pengkhianat. Kenyataan ini dilihat satu amaran pada Azmin agar mencantas keempat-empatnya dalam susunan Kabinet negeri.
DAP tidak ada hak untuk menghentam empat wakil rakyat Pas itu kerana mereka diarah Pas Pusat menyokong Khalid. Tak tahulah kalau kenyataan DAP itu sebenarnya dituju pada Haji Hadi yang instrumental dalam membuat u-turn dengan menolak pencalonan Wan Azizah.
Isunya sekarang bukanlah soal hubungan Pas dengan PR. Yang lebih mengecewakan terdapat ahli-ahli dalaman seperti musuh dalam selimut. Kesetiaan mereka bukannya pada Pas, sebaliknya pada pihak luar. Buktinya mereka bukannya menyokong pendirian Haji Hadi berhubung isu MB.
Sama ada secara terbuka atau senyap-senyap, mereka menyindir secara berkias. Sering kedengaran anjuran agar Presiden Pas dipecat atau digantikan. Agak ironi seolah-olah gerakan mereka tidak dapat dihidu penyokong Haji Hadi. Justeru konon kenyataan bahawa mereka masih setia pada Pas agak janggal.
Bagi rakyat biasa amalan puak ini bertentangan sama sekali dengan semangat berjemaah yang menjadi teras perjuangan parti itu. Pas mementingkan semangat jemaah daripada individu. Maknanya keputusan parti merujuk pada suara ramai atau disokong secara beramai-ramai.
Bantahan Timbalan Presidennya Mat Sabu tidak dikira sebagai suara majoriti. Sebab itu walaupun dia mendesak bosnya kembali akur dengan keputusan dicapai Jawatankuasa Pas Pusat, Haji Hadi ada kuasa veto selaku presiden. Pendirian Presiden mendapat sokongan jemaah.
Kita melihat sebagai parti ditubuhkan pada 1951, ia ada identiti dengan ciri-ciri tersendiri. Sejak dulu lagi ia diterajui puak ulama yang asas perjuangan adalah Islam. Hakikatnya mereka mahu melaksanakan undang-undang hudud dan melihat tertegaknya negara Islam.
Orang Melayu yang menjadi ahli dan menyokong Pas kerana parti itu merupakan sebuah parti Islam dan berjuang demi agama. Kalau Pas mengubah dasarnya mengikut acuan Umno atau menjadi mirip macam PKR, apatah lagi macam DAP, sudah tentu ramai yang keluar meninggalkan parti.
Pernah berlaku ahli-ahli Pas yang tidak berpuas hati keluar menubuhkan pelbagai parti politik. Lazim parti-parti ini tidak kekal atau tidak popular apabila pengasasnya meninggal atau keluar dari parti diasaskan.
Kini yang dibimbangi ialah tanpa disedari Pas diresapi oleh golongan bukan ulama yang lebih mirip pada Anwar dari parti sendiri. Atau mereka memakai topeng Pas tetapi tak ubah seperti musuh dalam selimut.
Keadaan ini berlaku kerana Pas membenarkan tanpa terlebih dahulu menapis dan memperinci soal keahlian. Lebih-lebih lagi puak ini terdiri daripada golongan profesional, termasuk usahawan dan profesor, agar setanding dengan Umno.
Pas dikenali dahulu tidak mementingkan keduniaan seperti kuasa atau jawatan dan kebendaan. Sebab itu Pas terus kekal dan pada masa sama relevan di hati umat Islam.
Yang dilihat memudaratkan perjuangan Islam Pas hari ini ialah kumpulan non ulama yang berfikiran moden masuk dan mencatur hala tuju parti itu. Melalui logo profesionalisme mereka diterima di peringkat tertinggi. Secara tidak langsung memaksa Pas menerima pemikiran dan konsep Politik Baru mengikut acuan dan tuan mereka.
Sementara Pas belum berpecah dua macam mana pernah menimpa Umno suatu masa dulu, parti itu harus menyelesaikan masalah musuh dalam selimut pada kadar segera. Masa Haji Hadi menikmati bulan madu jauh berlalu.
Kerana puak ini tidak sekadar berdiam. Dalam tidur pun mereka mencongak agenda utama untuk mengubah Pas. Matlamat menghalalkan cara bukan baru semalam dicipta. Ia sudah lama bersarang.
Bagi rakyat pula puak non ulama ini, Pas bukanlah tempat mereka. Tidak ada faedah berselindung lebih lama lagi kerana wajah dan watak mereka sudah pun dikenali. Daripada pada kekal menjadi musuh dalaman lebih baik mereka secara gentlemen keluar parti dengan sama ada menyertai PKR ataupun DAP. Ia jauh lebih sesuai dengan selera politik mereka.

source : aidc

No comments: