NUFFNANG

Monday 30 December 2013

Paderi Kristian Cuba Cetuskan Provokasi Agama – PERKASA

Paderi Kristian Cuba Cetuskan Provokasi Agama – PERKASA

SHAH ALAM 29 Dis. – Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew didesak menarik balik serta memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya supaya gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah danbahasa Melayu dalam perhimpunan mingguan.
Desakan itu dikemukakan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya yang menyifatkan kenyataan Lawrence itu bukan sahaja mencabar sensitiviti umat Islam malah turut memperlekehkan undang-undang yang telah termaktub mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.
Beliau berkata, larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negeri ini telah terkandung dalam Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 yang telah digubal selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Jika benar Paderi Lawrence mengeluarkan kenyataan sedemikian, beliau jelas telah mencabar undang-undang selain cuba menghidupkan api kemarahan umat Islam. Kita bimbang kenyataannya boleh menyebabkan ketidakharmonian antara penganut Islam dan Kristian di negara ini.
“Justeru kita mahu paderi ini menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pukul 2 petang ini.
Yang turut hadir, kira-kira 70 orang ahli pertubuhan itu yang turut sama membantah kenyataan Lawrence yang disiarkan dalam portal berita themalaysianinsider.com kelmarin.
Memetik laporan portal berkenaan, Lawrence menyatakan gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.
Berdasarkan laporan itu, Lawrence memberikan alasan kononnya setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri.
Abu Bakar turut menyelar kenyataan Lawrence itu dan menganggap usaha JAIS mengemukakan notis larangan pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan bukannya mahu mencampuri urusan agama Kristian di negeri ini.
“Kami berpandangan jika benar apa yang dilaporkan portal itu, kenyataan Lawrence ini seolah-olah cuba melakukan provokasi bersifat melaga-lagakan perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.
“Sebagai pemimpin agama Kristian, beliau sepatutnya membawa pengikut agamanya ke arah mewujudkan keharmonian antara para penganut agama lain termasuk menghormati undang-undang yang telah termaktub,” katanya – Utusan

source : aidc

No comments: