NUFFNANG

Sunday 28 July 2013

SYA : Ada Sebab Anwar Gagal Tembusi DAP

SYA : Ada Sebab Anwar Gagal Tembusi DAP 



Bekas aktivis DAP, Shen Yee Aun (SYA) berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dapat menyusup masuk ke dalam parti Pas yang kini dikenali sebagai kumpulan ‘Anwarinas’, namun tidak mungkin saama sekali Ketua Umum PKR dapat menembusi DAP.
“Anwar mungkin boleh melakukan perkara ini terhadap Pas tapi saya rasa dia tidak dapat menembusi Lim Kit Siang. Sebab cengkaman dan pengaruh Lim Kit Siang dalam DAP sangat kuat.
“Segala posisi dan turun naik seseorang dalam DAP adalah dalam tangan Lim Kit Siang.
“Saya rasa, Anwar tidak ada banyak pengaruh dalam DAP, “katanya.
Menurut SYA, DAP telah mencapai kejayaan paling maksima pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13), maka parti cauvanis Cina itu tidak mampu lagi melebihi daripada tahap itu.
“Mana-mana parti politik atau syarikat ada graf pencapaian mereka yang mana graf itu sudah sampai ke satu tahap keuntungan maksimum.
“Jadi, DAP sudah sampai satu tahap yang paling maksimum, masyarakat Cina dah penuh dah, India dapat separuh.
“Sekiranya DAP tidak cuba untuk mendapatkan undi Melayu, mereka tidak akan dapat selama-lamanya memerintah negara ini. Daripada matematik mereka tahu, itu yang pertama,”katanya lagi.
Ikutilah wawancara SYA bersama AIDC bahagian akhir, di Petaling Jaya, 6 Julai 2013.
AIDC :Boleh ulas sedikit tentang tulisan saudara yang mengatakan Anwar melucukan apabila menuduh bermacam-macam, tapi apabila lapor polis hanya tentang isu dakwat kekal ?
Memang sangat melucukan. Bukan sahaja beliau mengangkat sumpah menjadi Ahli Parlimen, kita juga jangan lupa Anwar pernah membuat laporan polis dalam isu penipuan pilihanraya.
Tapi tiada satu pun yang dia laporkan. Dia tak buat laporan polis tentang blackout, tidak buat laporan tentang isu undi popular, tidak buat laporan polis tentang Bangladesh. Dia hanya buat laporan polis hanya tentang isu dakwat kekal yang sebenarnya mereka sendiri minta. Itu memang lucu dan kelakar.
AIDC : Mereka yang minta supaya dakwat kekal itu digunakan?
Sedangkan Malaysia tidak perlu sistem dakwat kekal, sebab kalau dikaji dalam sejarah demokrasi dunia hari ini, negara-negara yang tidak maju sahaja menggunakan dakwat kekal ini. Negara yang sudah maju guna biometrik.
Mereka nak perangkap BN guna dakwat kekal supaya ada isu macam ini yang boleh mereka politikkan.
Mana boleh mereka nak suruh kita ikut macam negara tidak maju. Takkan kita undi hari ini, dakwat itu nak hilang dalam masa 2 bulan.
Sebab itulah saya kata, inilah permainan Anwar yang kita asyik terperangkap. Saya bukan nak kata, ini jujur, BN pun lemah juga. Anwar minta dakwat kekal, bagi dakwat kekal. Terperangkap. Sebab Anwar sudah tahu permainan sedemikian.
Dakwat kekal yang mereka sendiri minta. Tapi dakwaan yang kat luar mereka buat, blackout, Bangladesh, isu popular vote, penipuan pilihanraya, undi hantu..kesemua tuduhan mereka tak pernah buat laporan polis. Itu yang kelakar.
AIDC : Seperti ada persamaan antara Anwar dengan DAP. Misalnya badan pemikir Penang Institute, Nurul Izzah dan fikiran-fikiran Anwar ada di situ. Seolah-olah macam selari ?
Sememangnya selari. Politik Pas pada hari ini, dihancurkan, ada orang mengatakan disebabkan Anwar. Mengapa Pas tidak menjadi selantang dahulu memperjuangkan Islam. Kita lihat Pas pun sudah banyak berubah.
Sebenarnya, Pas nak kata berubah pun ya. Yang berubah itu adalah pemimpin-pemimpin yang dicaturkan oleh Anwar dalam Pas. Pas sudah terbahagi kepada kumpulan yang pro-Anwar dan anti-Anwar. Kumpulan-kumpulan yang pro-Anwar itulah yang membawa fahaman-fahaman liberal itu.
Fahaman-fahaman liberal inilah yang cuba mencuci golongan ekstrem atau golongan ulama dalam Pas supaya mengikuti perjalanan orang-orang ini. Nak kata persamaan itu memang ada sehinggalah mereka menyamakan Pas itu sehaluan dengan mereka.
Saya melihat Anwar begitu yakin nak undi Melayu. Sebab itu mereka banyak bermain tentang isu Cina dan sebelum itu isu India.
AIDC : Anwar beralih isu dari Melayu kepada India dan Cina ?
Saya rasalah. Tapi lepas ni saya rasa mereka dah tahu dah, kemungkinan besar orang Cina dan India akan ditinggalkan mereka.
Ini adalah kebenaran berlandaskan sejarah. Kalau kita lihat kepada PRU 12, mereka main isu India. Lepas menang, mereka tinggalkan India. Sekarang mereka menarik pula undi Cina. Anwar atau DAP akan terus memerlukan undi Cina atau tidak lagi, kita akan lihatlah selepas ini sebab masih awal lagi untuk membuat rumusan.
Tapi kalau ikut perangai mereka, biasanya kalau sudah dapat undi mereka akan tinggalkan. Sebab itu saya rasa, sasaran mereka yang seterusnya adalah pengundi-pengundi Melayu. Ini adalah analisis peribadi saya.
AIDC : DAP juga mahu undi Melayu ?
DAP nak undi Melayu.
AIDC : Kenapa DAP perlu undi Melayu sedangkan parti itu bertanding di kawasan Cina ?
Mana-mana parti politik atau syarikat ada graf pencapaian mereka yang mana graf itu sudah sampai ke satu tahap keuntungan maksimum.
Jadi, DAP sudah sampai satu tahap yang paling maksimum, masyarakat Cina dah penuh dah, India dapat separuh. Sekiranya DAP tidak cuba untuk mendapatkan undi Melayu, mereka tidak akan dapat selama-lamanya memerintah negara ini. Daripada matematik mereka tahu, itu yang pertama.
Yang kedua, jika mereka tidak dapat undi Melayu, mereka selama-lamanya tidak akan dapat menjadi Menteri Besar seperti mana yang berlaku di Perak.
Sebab itu, DAP akan lebih lagi mendekati masyarakat Melayu. Selepas ini, kemungkinan besar itu adalah strategi yang akan mereka akan buat. Bukan untuk Melayu tapi untuk diri mereka sendiri.
Sebab itu saya beri amaran kepada masyarakat Melayu janganlah terjerat.
Mereka sangat bijak dalam politik yang jijik, licik dan keji.
AIDC : kembali soal pemilihan DAP. Saudara katakan tadi, pengundian ‘top 20′ bukan penentu jawatan dalam parti itu. Jadi siapa pencatur sebenar jawatan-jawatan DAP ?
Kalau tidak silap saya, Pas ada campur tangan Anwar. Kalau tidak silap saya lah. Tapi dalam DAP, tidak ada campur tangan (Anwar), memang diri sendiri.
DAP ini cengkaman dan pengaruh Lim Kit Siang adalah terlalu kuat. Bermakna Lim Kit Siang adalah segala-galanya.
AIDC : Bermakna Anwar tidak boleh campur tangan dalam DAP ?
Tidak. Anwar mungkin boleh melakukan perkara ini terhadap Pas tapi saya rasa dia tidak dapat menembusi Lim Kit Siang. Sebab cengkaman dan pengaruh Lim Kit Siang dalam DAP sangat kuat.
Segala posisi dan turun naik seseorang dalam DAP adalah dalam tangan Lim Kit Siang.
Saya rasa, Anwar tidak ada banyak pengaruh dalam DAP.
AIDC : Bermakna, pengundian dan pemilihan dalam DAP bukan penentuan jawatan dalam parti ?
Ya, betul, itu pandangan peribadi saya. Tapi tidak ada campur tangan luar, kalau tidak silap saya lah.
Dalam sejarah DAP lebih daripada 60 orang terkenal ataupun pahlawan DAP yang telah dipancung oleh Lim Kit Siang. Contoh Wee Chee Keong, Lee Lam Thye, Fan Siu Tien, dan yang paling terbaharu, Tunku Abdul Aziz .
Jadi, sesiapa yang menentang, dia dah ‘bunuh’ dah. Sesiapa yang menentang Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng akan ‘dibunuh’ karier politiknya dalam DAP.
Sebab itu, saya meramalkan keputusan Lim Kit Siang untuk bertanding di Johor sebenarnya bukan untuk menembusi kubu kuat BN di situ.
Pada analisis peribadi saya, dia lebih kepada mahu menghancurkan karier politik Boo Cheng Hau (Pengerusi DAP Johor). Boo Cheng Hau ini sudah lama tidak sehaluan dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
AIDC : Bermakna, kalau Karpal Singh sendiri menentang Lim Kit Siang, dia juga akan ‘dibunuh’?
Betul. Sesiapa sahaja. Kita lihat Tang Siew Gaw tiba-tiba kalah. Dia kan Naib Pengerusi DAP. Apa yang berlaku? Itu juga yang saya nak tahu, apa sebenarnya yang berlaku.
Jenice Lee ‘dipancung’. Jenice Lee dapat undi tertinggi di Selangor kena ‘pancung’ juga. Mana mungkin orang yang mendapat undi tertinggi DAP kat Selangor tak dapat bertanding di Teratai. Sedangkan Jenice menang pada tahun 2008, mengapa Jenice ‘dipancung’?
Jadi, sesiapa sahaja menentang Lim Kit Siang, Lim Guan Eng ‘dipancung’. Sesiapa sahaja menyebelahi atau membodek atau menyokong Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, mereka akan ‘hidup’ dan mereka akan naik dalam politik DAP.
Tony Pua naik, Hannah Yeoh naik, Ong Kian Ming naik, Liew Chin Tong naik..semua orang itu adalah penyokong Lim Guan Eng.
Sampaikan pemimpin DAP yang tidak berkualiti, yang bermasalah, yang paling gangster, Ng Wei Aik kat Penang itu masih lagi diberi kuasa. Hanya kerana mendapat restu daripada Lim Guan Eng. Hanya kerana mereka berada dalam satu barisan yang sehaluan dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.
Itu cara DAP dan mereka kata mereka demokrasi. Kalau DAP kata mereka demokrasi, saya cabar mana-mana ahli DAP supaya cabar Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, mana mereka boleh naik ? Tak mungkin akan naik.
Tapi, kalau ikut kualiti, Teng Chang Kim dan Nga Kor Ming, sepatutnya Teng yang patut naik. Apa kurangnya Nga Kor Ming dengan Teng Chan Kim kualitinya dalam DAP ?
Mereka fasih pelbagai bahasa, berkepimpinan, berkarisma, boleh bertutur dengan baik, tapi mereka tidak ada peluang.
AIDC : Adakah ini sistem Godfather?
DAP tak boleh pakai sistem godfather lah, saya ingat ini adalah sistem “Lim family”. Semua Lim..Lim Kit Siang… Lim Guan Eng.. menjaga DAP seolah-olah parti itu hak milik mereka. Seolah-olah mereka memiliki hak monopoli dan hak eksklusif dalam DAP. Itulah cara mereka, anak-bapa memerintah DAP. Jauh lebih teruk daripada Anwar dan Nurul Izzah mencengkam PKR. Sebab Anwar dan Nurul Izzah pun tidak begitu kuat cengkaman mereka. DAP itu lebih kuat cengkamannya.
AIDC : Saya begitu hairan kenapa DAP, Lim Kit Siang bermati-matian mahu Anwar menjadi Ketua Pembangkang, sedangkan kedudukan kerusi di Parlimen, DAP – 38, PKR – 30 ?
Pakatan Rakyat ini sangat bijak bersandiwara. Ia mungkin banyak faktor, saya tidak pastilah. Tapi ada beberapa indikator yang boleh dijelaskan.
Pertama, kemungkinan besar seperti yang saya katakan tadi, DAP ataupun Pakatan Rakyat sekarang mahu undi Melayu. Kalaulah DAP, Lim Kit Siang itu Cina jadi Ketua Pembangkang, kemungkinan jadi liabiliti kepada pembangkang.
Kalau Anwar menjadi Perdana Menteri (PM), Anwar Melayu lagi. Anwar juga mungkin masih ada pengaruh di kalangan masyarakat Melayu. Yang mungkin boleh mencaturkan masa depan Pakatan Rakyat untuk mencaturkan masa depan BN dalam pilihan-pilihan yang akan datang. Itu mungkin muslihatnya.
Kedua, mungkin sandiwara Anwar, kita pun tidak tahu. Anwar begitu bijak bersandiwara. Jangan lupa, Anwar pernah membuat janji bahawa jika dia kalah dalam PRU 13, dia akan bersara.
Sebab itu mereka buat seperti gentleman, bersara dan mahu beri tempat itu kepada Lim Kit Siang. Tapi mungkin mereka dah berbincang di belakang dah. Kita tidak pasti.
Tapi yang paling penting, apa sahaja jawapannya..jawapan ini paling penting, Anwar ke, Lim Kit Siang ke, Haji Hadi ke, Pas ke, DAP ke, PKR ke, Pakatan Rakyat ke, mereka saling mempergunakan di antara satu sama lain demi untuk mencapai agenda dan motif individu. Itu sahaja.
AIDC : Motif individu?
Saling mempergunakan antara satu sama lain demi kepentingan diri sendiri. Tidak kiralah Anwar ke, Lim Kit Siang ke. Itu yang paling penting.
Saya rasa jawapan itu lebih tepat, tidak kiralah siapa Ketua Pembangkang, tidak kisah apa sebab mereka, kita tahulah, mereka saling mempergunakan antara satu sama lain.
AIDC : Saudara katakan tadi, Anwar tidak boleh tembusi DAP kerana parti itu dikuasai oleh Lim Kit Siang. Kit Siang pula mahukan Anwar menjadi Ketua Pembangkang dan Ketua PR. Adakah bermaksud Kit Siang cuba membonekakan Anwar ?
Kemungkinan besar, tapi saya tidak pasti. Kita kena faham juga, Lim Kit Siang ini bukan calang-calang orang. Tapi kita kena sedar juga, Anwar juga bukan calang-calang orang.
Sama ada Lim Kit Siang boleh mengawal Anwar ataupun Anwar mengawal Lim Kit Siang, itu yang menjadi satu persoalan yang menarik.
Tapi yang menarik saya lihat, DAP lebih mahu “menampar” Pas.
“Menampar” itu orang kata satu metafora atau perlambangan. Mengapa? Sebab dari dahulu lagi, terdapat suara mahukan PM datangnya daripada Pas.
Dalam muktamar, mereka (Pas) mahu jawatan PM. Ada satu ketika juga, Haji Hadi Awang juga nak jadi PM. Tapi DAP tidak menyokong, DAP mahu Anwar. Kemungkinan besar, DAP juga risau kalau Pas menjadi PM.
Mungkin juga soal kompromi. Sebab kalau kita lihat di negeri Selangor, sepatutnya kalau ikut sistem merit pun, PKR..Khalid Ibrahim tidak layak menjadi Menteri Besar kerana kerusi DAP dan Pas lebih banyak daripada PKR.
AIDC : Apa implikasi penolakan masyarakat Cina terhadap BN pada PRU 13 ?
Ini analisis peribadi saya, mungkin masyarakat Cina akan menjadi jauh lebih susah daripada dahulu. Sebab ikut analisis saya, tidak ada Perdana Menteri di Malaysia yang paling berjasa, berkhidmat kepada masyarakat Cina selain YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Kita lihat banyak benda dilakukan selepas beliau menjadi PM, sekolah Cina mendapat RM 100 juta peruntukan, pembinaan sekolah Cina, tanah diberikan kepada orang Cina untuk pembangunan di negeri Johor, pelajar Cina dapat biasaiswa JPA, kemasukan ke IPTA 80 hingga 90 peratus yang dahulunya nak dapat 60 peratus pun susah.
PM sendiri meliberalisasikan ekonomi, memansuhkan DEB dan sebagainya. banyak..banyak sumbangan dan jasa PM terhadap masyarakat Cina tapi tidak dihargai.
AIDC : Akhirnya tidak dihargai?
Tidak dihargai. Saya tidak mahu menyalahkan masyarakat Cina sebab kita tahu mereka adalah pengundi, orang biasa, bukan orang politik dan minda mereka mudah dipengaruhi.
Yang saya persalahkan adalah ahli-ahli politik DAP yang meracuni pemikiran masyarakat Cina demi kuasa mereka tanpa memikirkan masa depan masyarakat Cina. Bermakna, mereka merisikokan orang Cina sehingga lebih 95 peratus (Cina) menentang kerajaan. Akhirnya masyarakat Cina sekarang terhimpit dan terjerat dalam situasi yang begitu susah hendak dijelaskan. Mengapa ?
Apa yang hendak dibanggakan menjadi suara Ketua Pembangkang Cina yang paling hebat di Malaysia, sedangkan tiada lagi suara dalam kerajaan.
Kedua, dalam sejarah penubuhan Malaysia sehingga ke hari ini, walaupun DAP cuba memutarbelitkan bahawa masyarakat Cina ditindas dan sebagainya, namun statistik dan kebenaran adalah masyarakat Cina merupakan bangsa kedua yang memiliki kuasa politik di negara ini.
MCA memiliki kouta Menteri yang paling banyak. Suara Cina lebih didengari berbanding dengan masyarakat India dan Sabah-Sarawak. Ini realitinya.
Disebabkan permainan jijik dan kotor Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, DAP dan Red Bean Army meracuni pemikiran masyarakat Cina akhirnya dulu Cina nombor dua, sekarang sudah jadi nombor empat dah.
Melayu tetap nombor satu, Menteri yang paling banyak berada dalam Kabinet sekarang adalah Menteri daripada Sabah dan Sarawak (Pribumi) dan ketiga adalah masyarakat India dan keempat Cina. Hanya ada dua sahaja Cina.
Siapa yang hendak kita persalahkan. DAP? DAP yang memberitahu masyarakat Cina, ada atau tiadanya Cina dalam Kabinet, tiada bezanya. Sebenarnya bezanya sangat banyak.
AIDC : Apa perbezaannya ?
Banyak. Sebab seorang Menteri itu boleh memberi peruntukan yang banyak kepada tokong, organisasi Cina, pendidikan Cina..banyak. Beribu-ribu pelajar Cina yang dapat matrikulasi, biasiswa..ini semua MCA yang bantu.
Tanpa wakil Cina dalam Kabinet sekarang, apa lagi masa depan Cina, saya tidak lagi dapat bayangkan. Mereka merisikokan masa depan ini.
Sekarang masyarakat Cina dibenci pula oleh Melayu. Ada segolongan Melayu yang seolah-olah menyalahkan Cina. Tapi sepatutnya mereka menyalahkan ahli-ahli politik yang kat atas tu, Cina bawah ni pun minda mereka diracuni.
Sehingga sekarang ini ada kempen untuk memboikot barangan Cina. Sedangkan Cina yang biasa ini tidak memboikot barangan Melayu. Yang lancarkan boikot itu adalah Red Bean Army yang akhirnya membangkitkan kemarahan NGO Islam untuk membuat serangan hendap.
Ini akhirnya silap siapa? Ahli politik, Red Bean Army yang mengkambinghitamkan masyarakat Cina yang tidak berdosa.
AIDC : Dalam keadaan sekarang, adakah masyarakat Cina tidak gembira apabila DAP berjaya memenangi 38 kerusi di parlimen ?
Ya, terdapat beberapa kategori orang Cina yang tidak gembira. Yang pertama, mereka tidak gembira kerana BN-UMNO tetap berkuasa dan DAP kalah, tak dapat jadi kerajaan.
Yang kedua, yang tidak gembira adalah mereka yang sudah sedar akhirnya bahawa mereka ditipu oleh DAP. DAP kata mereka boleh ubah kerajaan, mereka boleh menang, ini kalilah dan akhirnya tidak menang yang mengkorbankan undi mereka menyebabkan orang lebih benci kepada masyarakat Cina.
Ada juga di kalangan masyarakat Cina yang tidak gembira dan ada yang gembira sebab menang. Ada juga yang tidak gembira sebab DAP menipu mereka.
AIDC : Walaupun masyarakat Cina tetap menang di Selangor dan Pulau Pinang, adakah itu tidak boleh menggembirakan mereka ?
Tidak. Sebab persepsi yang diberikan oleh DAP seolah-olah mereka boleh menakluk Putrajaya. Itulah persepsi yang mereka berikan. Itulah janji yang diberikan kepada penaja mereka, kepada masyarakata Cina, kepada penyokong mereka, mereka akan tawan Putrajaya dan akhirnya mereka gagal.

source : SYA. http://1sya.com/?p=7257

No comments: