Apabila Sisters In Islam pertikai mufti - Ku Seman Ku Hussain
MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengambil pendekatan tidak popular apabila dengan tegas melarang empat wanita Islam daripada menyertai pertandingan Miss Malaysia World baru-baru ini. Ketegasan Wan Zahidi telah menyelamatkan satu lagi percubaan memperlekehkan Islam di negara ini selepas beberapa pihak lebih menyelamatkan kuasa politik berbanding Islam.
Sebenarnya larangan terhadap wanita Islam menyertai Miss Malaysia World bukan perkara baharu. Pada 1996 sudah dikeluarkan fatwa yang melarang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu yang memakai pakaian mandi yang mendedahkan aurat.
Sepatutnya tanpa fatwa sekalipun, sudah tidak ada wanita Islam yang menyertai Miss Malaysia World di atas sebab yang disebutkan di atas tadi. Tidak perlu menunggu larangan dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam kerana menyertai pertandingan ratu bukanlah suatu yang dapat mempertingkatkan kesucian Islam malah merendah dan sekaligus menghina Islam. Empat peserta Islam itu ialah Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan.
Salah seorang peserta, Sara Amelia berhujah, selepas fatwa itu dikeluarkan, ada peserta Islam misalnya Rima Fakih pernah memenangi pertandingan itu di Amerika Syarikat (AS) pada 2010 dan Hammasa Kohistani yang beragama Islam memenangi Miss England pada 2006. Dia merujuk penyertaan peserta Islam di luar negara sebagai asas kukuh untuk mewajarkan menyertai Miss Malaysia World.
Dia perlu sedar bahawa ada juga orang Islam yang menjadi pembunuh dan penjahat, tetapi bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa perbuatan itu dibenarkan oleh Islam? Bagaimanapun biarlah kerana pandangan itu datang daripada orang yang berfikiran singkat dan bertujuan melepaskan diri.
Tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertenggek di atas nama Islam dianggotai pula oleh kelompok cerdik pandai, Sisters In Islam (SIS) bukan mempertahankan larangan itu sebaliknya mencabar di segi kesahihan undang-undang. Kenyataan SIS yang disiarkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini bukanlah suatu yang memeranjatkan kerana sejak lama dahulu SIS sentiasa memberikan kenyataan yang mencabar pihak berkuasa agama Islam.
Sepatutnya kenyataan SIS yang mempertikai bahawa fatwa melarang wanita Islam menyertai pertandingan itu kerana tidak diwartakan sebagai undang-undang tidak perlu dilayan. Tetapi memandangkan pertubuhan ini menggunakan nama Islam, masyarakat wajar dijelaskan bahawa isunya bukanlah larangan itu menjadi undang-undang atau tidak, tetapi untuk menyelamatkan wanita Islam terjerumus dalam agenda yang mencemarkan Islam.
SIS menganggap larangan atau fatwa yang dikeluarkan pada 1996 itu sebagai tidak Islamik, tidak demokratik dan melanggar hak asasi. SIS sudah tentu menjadi wira dalam isu ini kepada pihak yang mahu menjerumuskan Islam dalam acara yang tidak bertamadun ini. Pihak yang selalu melabelkan orang Islam sebagai konservatif dan anti kemajuan sudah pasti mengiktiraf SIS sebagai agen pembudayaan baharu terhadap Islam.
Untuk makluman SIS, tidak semua larangan dalam Islam itu diwartakan sebagai undang-undang. Apa yang dilakukan oleh seorang peserta Miss Malaysia World adalah perkara asas yang dilarang dalam Islam sekalipun kononnya penganjur berjanji peserta Islam hanya memperagakan pakaian sukan. Sekiranya berjaya ke peringkat Miss World, pernahkah kita melihat peserta akhir berpakaian sukan? Islamik sangatkah penganjur Miss World untuk mengasingkan peserta Islam dan bukan Islam?
SIS menganggap larangan ini sebagai tidak demokratik dan melanggar kebebasan hak asasi manusia. Adakah ini bermakna larangan ke atas orang Islam supaya jangan minum arak atau makan daging babi adalah melanggar hak asasi manusia?
Kalau begitu perbuatan sepasang remaja Cina yang mempromosi sup tulang babi sebagai menu berbuka puasa bukan satu kesalahan kerana makan sup tulang babi tidak diwartakan sebagai undang-undang di mana-mana negeri di negara ini.
Kebebasan
Agak malang kerana SIS memperjuangkan hak asasi keempat-empat wanita Islam kerana Mufti Wilayah Persekutuan telah menghalang kebebasan hak asasi mereka menyertai Miss Malaysia World. Tetapi pada masa yang sama SIS tidak memperjuangkan Islam kerana tidak melihat larangan mufti itu sebagai satu usaha pemurniaan Islam. Adakah bagi SIS empat wanita Islam itu sebagai golongan teraniaya kerana kebebasan mereka telah dihalang sekalipun membuat perkara yang boleh mencemarkan Islam?
Kontroversi ini juga boleh diambil iktibar oleh orang Islam sendiri yang menjadi penganjur pertandingan ratu di negara ini. Barangkali penganjur Miss Malaysia World melihat orang Islam sendiri kerap menganjurkan pertandingan ratu (walaupun bukan berpakaian mandi), jadi apa salahnya dia membuka penyertaan kepada wanita Islam.
Kita patut bertekad supaya perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada ketinggian Islam dan tamadun budaya tidak diteruskan lagi. Walaupun tidak ada larangan menganjurkan pertandingan ratu di negara ini, tetapi tidak usahlah diteruskan lagi. Kononnya menghargai kecantikan wanita tetapi caranya memperalatkan secara bertentangan dengan Islam.
Malah tidak ada pertandingan ratu tidak memundurkan masyarakat. Belum ada lagi pertandingan ratu yang dianjurkan di negara ini menyumbang kepada pembangunan manusia. Binalah kesedaran sendiri supaya apabila ada larangan oleh pihak berkuasa, ia tidak dianggap menghalang kebebasan hak asasi.
Kita jangan tunggu SIS kerana syor supaya orang Islam tidak menjadi penganjur ratu tidak diwartakan sebagai undang-undang. SIS tidak akan sokong syor ini kerana selagi tidak dijadikan undang-undang, ia satu pelanggaran terhadap hak asasi manusia. Nampaknya bagi SIS, kebebasan hak asasi lebih penting daripada melarang orang Islam supaya jangan menghina agamanya. - Utusan, 28 Julai, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
souce : themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment