Semua orang tahu urusan agama ialah dibawah bidang kuasa sesebuah negeri berkenaan.Taman Sri Ukay,Hulu Kelang dimana Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan Ahad malam terletak di Selangor.

Apa yang mencetuskan persoalan besar semasa sidang akhbar bekas Mufti Perlis itu selepas beliau dibebaskan dengan ikat jamin oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada jam 1 awal pagi Isnin kerana memberi ceramah tanpa tauliah ialah siapa yang mengarahkan penahanan itu.

Yang pasti Dr Asri sendiri mengakui beliau memang tidak ada tauliah untuk memberi ceramah di negeri Selangor.

Sidang akhbar selama kira-kira setengah jam itu diadakan di banglo dimana beliau ditahan kerana memberi ceramah itu sejurus lepas keluar dai Balai Polis Hulu Kelang.

Menariknya duduk di sebelah kiri Dr Asri dalam sidang akhbar itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Hulu Kelang Saari Sungip manakala di kanan ialah Ahli Parlimen PKR Ampang Dr Zuraida Kamarudin.

Kedua-dua mereka ialah orang kerajaan negeri Selangor yang sebelum itu turut sama menjadi antara hadirin ceramah Dr Asri.

Bekas mufti itu tidak dapat memberi sebarang kepastian samaada penahanannya itu ada kaitan dengan soal politik.

“Itu kena tanya JAIS,”katanya yang sebelum itu menilai penahanannya adalah ‘ tindakan terpilih’.

Dr Asri menjelaskan soal beliau tidak mendapat tauliah untuk memberi ceramah agama di Selangor bukanlah perkara baru.

Katanya semenjak menjadi Mufti Perlis dulu lagi (sewaktu Selangor di tadbir oleh BN) beliau satu-satunya mufti di negara ini yang tidak dapat tauliah untuk memberi ceramah di Selangor.

Beliau berpendapat hal ini perlu diperbetulkan kerana beliau mempunyai kelayakan akademik dari segi keagamaan yang cukup untuk memberi ceramah.

Apabila soalan mengenai arahan siapa menahan Dr Asri ditujukan pada Saari beliau mendakwa mungkin ada pihak yang ingin ‘sabotaj’.

Namun bila ditanya siapa yang dimaksudkannya secara spesifik,wakil rakyat PAS itu hanya mendakwa mungkin ada ‘ unsur-unsur’ rejim lama yakni para pegawai JAIS yang dilantik oleh kerajaan BN dulu.

Bagaimanapun apa yang menjadi kemuskilan kalangan para wartawan yang hadir dalam sidang akhbar itu bolehkah ‘ orang luar ’ mengarahkan para pegawai JAIS yang kini dibawah bidang kuasa kerajaan pakatan negeri Selangor buat kerja sabotaj seumpama itu.

Apapun Saari dan Dr Zuraida sama-sama sependapat Dr Asri mempunyai kelayakan untuk memberi ceramah agama di negeri itu.

Kata Ahli Parlimen Ampang itu beliau akan membawa hal penyelarasan dalam pemberian tauliah ini semasa perbahasa dalam sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.

Dalam pada itu ada seorang wartawan yang bertanya Dr Asri apakah beliau menduga tindakan JAIS itu ada kaitan dengan penulisan para blogger pro pembangkang yang banyak mengkritiknya.

Begitu juga ada yang bertanya mungkinkah kerana beliau didakwa cuba menyebarkan ajaran Wahabi.

Dr Asri menafikan samasekali beliau cuba memesongkan akidah mereka yang datang mendengar ceramahnya.

Menurutnya pegawai JAIS tidak menyebut soal Wahabi tetapi tentang tauliah.

Dr Asri turut mengucap terima kasih kepada Saari dan Dr Zuraida kerana membantunya dalam rundingan dengan pegawai JAIS.

Bagaimanapun beliau segera meminta agar kehadiran dua wakil rakyat itu disebelahnya dalam sidang akhbar itu dan bantuan mereka tidak disalah anggap beliau hendak menyertai mana-mana parti politik.

Sementara itu kalangan hadirin rata-rata tidak setuju tindakan JAIS menahan Dr Asri.

Tanpa mengambil kira soal tauliah,mereka merasakan semua mereka datang ke ceramah itu untuk mendalami ilmu agama menerusi Dr Asri.

Kata mereka tidak timbul samasekali Dr Asri memberi ceramah ajaran sesat pada mereka.

Sementara itu tuan rumah,Encik Yahaya Mokthar ketika ditemui memberi satu gambaran yang berlainan tentang kemungkinan mendorong pihak JAIS bertindak.

Beliau menduga ia ada kaitan dengan dari perasaan iri hati pihak tentu yakni dikalangan penduduk setempat di situ pada ceramah agama yang mendapat sambutan mengalakan yang dibuat di banglonya hingga melaporkannya pada pihak JAIS.

Katanya beliau sudah lama kenal Dr Asri dan ini bukanlah pertama kali bekas mufti itu datang memberi ceramah agama di banglonya.

“Sudah banyak kali Dr Asri datang beri ceramah di rumah saya….saya sendiri hairan mengapa kali ini beliau hendak ditahan oleh JAIS,”katanya.

source : agendadaily