Nilai Najib secara ikhlas
|
|
Sebagai tokoh politik yang sekaligus tokoh korporat, pandangan Daim tentang kedua-dua bidang ini sentiasa ditunggu-tunggu. Beliau tetap menjadi rujukan untuk mendapatkan reaksi perkembangan politik dan juga percaturan turun naik ekonomi dalam dan luar negara. Daim mempunyai pandangan tersendiri tentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kemelut politik semasa dan juga tentang dasar ekonomi negara.
“Beliau lebih peka dan sedia untuk mendengar dan memahami kehendak dan keutamaan masyarakat Malaysia moden.” Demikian tegas Daim apabila ditanya tentang Najib dalam wawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia ZIN MAHMUD, KU SEMAN KU HUSSAIN, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID di pejabatnya di Wisma YPR di Kuala Lumpur semalam.
Wawancara berlangsung selama sejam 30 minit dalam suasana santai di pejabat yang dipenuhi dengan lukisan karya pelukis-pelukis tersohor umpama galeri itu. Daim yang berpakaian ringkas menjawab semua soalan yang diajukan dengan jelas, bernas dan tidak berselindung. Mengenai gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak, Daim secara tegas berkata, “Saya melihat ini gagasan yang sesuai dan berlaku tepat pada waktunya. Asas-asas yang diperlukan untuk melaksanakan gagasan ini sudah siap.”
MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat corak pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang?
DAIM: Beliau menyambung corak pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan juga Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak iaitu corak pemerintahan yang boleh menyatukan sebuah negara bermasyarakat pelbagai etnik untuk melangkah ke masa hadapan yang makmur.
Bagaimanapun yang agak berbeza ialah gaya kepimpinan beliau. Walaupun berusaha untuk mencapai objektif dan matlamat yang sama, objektif dan matlamat yang diburu oleh Perdana Menteri sebelumnya - beliau mempunyai gaya kepimpinan yang boleh disikapkan sebagai lebih bersenang hati dan terbuka. Saya melihat beliau menonjolkan sikap lebih toleransi dan bertolak ansur terhadap pelbagai isu-isu sensitif termasuk yang menyentuh perkara etnik dan agama.
Beliau saya lihat lebih peka dan sedia untuk mendengar dan memahami kehendak dan keutamaan masyarakat Malaysia moden. Barangkali ini adalah hasil daripada generasi beliau, generasi selepas merdeka yang mempunyai faedah dan hasil perjuangan pemimpin sebelumnya. Pandangan beliau yang populis dan kontemporari, termasuk gagasan 1Malaysia - iaitu konsep kebangsaan dan kesatuan di bawah satu bendera tanpa mengira soal etnik adalah pandangan moden yang serasi dengan tahap kemajuan yang telah dicapai kini, kemajuan yang diperolehi setelah infrastruktur sosial, kebudayaan dan asas-asas ekonomi moden dibina oleh Tunku dan Tun Razak, dan dijana dengan bersungguh- sungguh oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
1Malaysia bermula dengan baik. Ia tiba ketika negara dibelenggu dengan kemelut politik dan ekonomi. Lebih setahun rakyat dibebani krisis politik berpanjangan, membangkitkan keresahan dan kekecewaan terhadap sistem politik.
Telah banyak pembaharuan dilakukan beliau antaranya dasar liberalisasi dan pemansuhan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), apa pandangan Tun?
DAIM: Beliau jelas menunjukkan wawasan yang dibentangkan dan dimulakan oleh Dr. Mahathir. Apabila Dr. Mahathir memperkenalkan polisi untuk membuka dan mengembangkan ekonomi negara ini, perkara yang tidak difahami dengan jelas oleh ramai rakyat Malaysia, terutama golongan Melayu-adalah tujuan sebenar polisi tersebut, iaitu untuk membangun dan membaharui ekonomi negara dari sebuah ekonomi berdasarkan pertanian dan komoditi ke sebuah ekonomi moden yang berteraskan perindustrian.
Dan pada masa itu ekonomi pertanian negara ini diterokai dan diterajui terutamanya oleh golongan Melayu. Jadi semestinya golongan yang memerlukan pertolongan terbanyak untuk mengharungi perubahan paradigma ini adalah golongan Melayu. Oleh itu polisi diskriminasi positif (affirmative action) terhadap golongan Melayu yang dilaksanakan itu adalah suatu kebetulan (incidental) dan bukan polisi berasaskan prinsip pemeliharaan hak khusus sesuatu golongan etnik. Matlamat sebenar polisi tersebut adalah untuk meningkatkan pendapatan dan perseimbangan taraf hidup keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan untuk mana-mana golongan sahaja. Keseimbangan pendapatan individu adalah faktor penting bagi mencapai harmoni dalam masyarakat pelbagai etnik seperti yang terdapat di negara ini.
Tetapi strategi yang perlu difikirkan dan dilaksanakan untuk mencapai matlamat itu tentulah sangat mencabar. Untuk menghasilkan sebuah ekonomi moden berasaskan perindustrian dari latar belakang agrarian atau pertanian memerlukan sektor kewangan dan kredit yang luas dan kukuh. Keperluan ini memang perkara asing kepada golongan Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan. Skim Amanah Saham Nasional adalah sebuah daripada beberapa institusi kewangan yang diperkenalkan untuk melibatkan dan mendidik golongan Melayu di dalam industri ini. Jawatankuasa pelaburan asing (FIC) digunakan dalam semangat begini juga, untuk membantu golongan Melayu menyertai aktiviti ekonomi moden. Saya percaya ramai rakyat Malaysia tidak tahu tentang FIC. Orang luar bandar mungkin tidak pernah dengar.
Dengan peningkatan penglibatan golongan Melayu dalam industri kewangan, generasi muda golongan Melayu dapat dilahirkan - golongan Melayu yang terdidik dan berupaya dalam hal-hal kewangan. Situasi masa kini telah jelas berubah dari situasi golongan Melayu selepas kemerdekaan dan seterusnya pada masa Dr. Mahathir, di mana pembaharuan ekonomi yang dimulai dengan hebat berdasarkan pembangunan ekonomi sebagai satu faktor amat penting untuk menyatupadukan rakyat.
Pada masa ini perubahan tersebut amat jelas. Rakyat Malaysia yang dihadapi oleh Najib adalah rakyat yang terdidik dan terbuka kepada konsep tidak ortodoks. Konsep-konsep tidak ortodoks termasuk yang membelakangkan faktor etnik tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat Malaysia 40 tahun dahulu.
Di kalangan orang Melayu tindakan sebegini dilihat sebagai langkah untuk mengurangkan penguasaan mereka dan di pihak orang bukan Melayu pula mereka lihat ia tidak mencukupi?
DAIM: Di kalangan orang Melayu hanya individu Melayu yang tidak berfikiran moden dan tidak berfikiran global akan berpendapat begitu. Mereka adalah kumpulan kecil. Dari era Tunku dan Tun Razak, dasar pembangunan sumber manusia di kalangan golongan Melayu melalui pendidikan menjadi keutamaan kerana majoriti orang Melayu ketika itu tidak terdedah kepada pendidikan moden. Jadi penekanan begitu adalah kewajaran pada waktu itu. Dan kerana usaha begitu kebanyakan pekerja sektor awam kita kini berpelajaran dan dapat menduduki status sosial yang tinggi dan berpengaruh. Jelas bahawa kuasa atau pengaruh yang dinikmati orang Melayu bukan kerana ia etnik Melayu semata-mata tetapi juga kerana ada pelajaran moden.
Kumpulan kecil yang tidak dapat lihat perkara ini tidak mengerti bagaimana sesuatu negara dilahirkan dan definasi sebenar perkataan “negara” atau “nation”. Sebuah negara adalah suatu kesatuan yang mantap yang dipupuk dan dibina bukan dilahirkan.
Sebenarnya saya lihat kebanyakan orang Melayu yang berjaya dalam perniagaan mereka hari ini berjaya kerana kerjasama erat dengan kaum Cina dan India juga. Begitu juga ramai orang Cina dan India berjaya kerana bergabung atau bekerjasama dengan orang Melayu. Jadi bagai aur dengan tebing saling menguatkan.
Hari ini orang Melayu mempunyai pengaruh lebih bermakna dalam aktiviti ekonomi negara berbanding 50 tahun dahulu. Untuk berjaya dan kekal bersaing dalam ekonomi global orang Melayu tidak boleh terus bertongkat kepada hak istimewa tetapi kena bekerja keras, banyak ilmu dan sentiasa kompetitif. Jika tidak mereka bukan sahaja akan kembali ketinggalan tetapi akan dihanyutkan oleh arus deras globalisasi yang tidak mungkin dibendung oleh sesiapa pun.
Golongan bukan Melayu yang anggap perubahan yang dilakukan itu kecil dan mahukan perubahan yang lebih besar itu pun bukan jumlah besar. Kita sebaliknya perlu memberi perhatian kepada golongan bukan Melayu yang berpendapatan kecil dan membantu mereka secara khusus.
Apakah Tun melihat usaha-usaha untuk merapatkan jurang di kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera masih relevan?
DAIM: Dalam setiap golongan etnik masih ada kumpulan kaya dan miskin. Ketidaksamaan pendapatan dan taraf hidup boleh dilihat di dalam semua golongan etnik sama ada Bumiputera atau tidak. Kerajaan semasa harus mengecilkan jurang pendapatan dan jurang kemakmuran di antara rakyat Malaysia secara keseluruhan, di antara golongan Melayu yang kaya dan miskin, di antara Cina yang kaya dan miskin, di antara golongan India yang kaya dan miskin.
Usaha mempertingkatkan taraf hidup seseorang adalah perkara yang relevan buat selama-lamanya bagi semua warga kita. Soalannya ialah apakah cara yang terbaik untuk memperbaiki dengan secara berterusan taraf hidup rakyat Malaysia? Memang ada pelbagai aspek hidup rakyat yang perlu diberi perhatian utama seperti soal kesihatan, taraf kualiti udara dan pencemaran alam sekitar. Perkara-perkara seperti ini adalah kepentingan yang relevan buat semua rakyat Malaysia. Yang berbeza ialah caranya. Cara sekarang perlu relevan dan diterima oleh semua warga terutama generasi muda. Generasi muda dari semua etnik perlu mendapat pekerjaan sesuai dengan pendidikan yang mereka terima dan di dalam pasaran guna tenaga yang sempurna. Sebarang manipulasi dan campur tangan politik akan menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada kerajaan.
Bagaimanakah Tun melihat gagasan 1Malaysia
DAIM: Saya melihat ini gagasan yang sesuai dan berlaku tepat pada masanya. Dari segi sifat kesatuan dan kenegaraan yang dihasratkan di bawah gagasan ini, Republik Indonesia adalah contoh utama.
Rakyat Malaysia seharusnya mengerti dan menerima apa itu yang menubuhkan suatu “negara”. Kita akan mencapai taraf sebuah negara tulen apabila rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa Malaysia yang diduduki mereka adalah negara pelbagai golongan etnik, suatu negara dengan kekuatan dan juga kekurangan tertentu dan suatu negara yang mempunyai perlembagaan dan rukun negara tersendiri. Sebuah negara mencapai taraf sebuah negara sebenar apabila ia tidak mengidentifikasi rakyatnya menurut golongan etnik serta mempunyai satu bahasa nasional yang tidak diperkotak-katikkan lagi.
Jika tiada prinsip penerimaan, kesaksamaan, perkongsian - seperti yang dimaktubkan di dalam perlembagaan kita sebagai rakyat Malaysia tidak akan mencapai kenegaraan yang sebenarnya. Jadi yang lebih penting daripada slogan 1Malaysia itu ialah kesungguhan kita dan upaya kita untuk merealisasikannya. Apakah kita berupaya untuk menghapuskan benteng-benteng yang menghalang terhayatnya gagasan itu? Misalnya kita harus gugurkan semua pernyataan identiti mengikut etnik yang ada pada semua borang rasmi kerajaan. Dalam kad pengenalan kita misalnya soal bangsa perlu digugurkan dan diganti hanya dengan warganegara. Jika kita serius perkara ini perlu dilaksanakan segera.
Apa komen Tun mengenai Indeks Pencapai Utama (KPI)?
DAIM: Ini suatu inisiatif yang bagus, jika ia boleh dilaksanakan dan dipantau dengan sempurna. Sebenarnya inisiatif ini tidak perlu jika menteri-menteri dan wakil rakyat memiliki hati nurani (conscience) dan melaksanakan tugas mereka dengan tujuan murni yakni berkhidmat untuk rakyat dan negeri dengan jujur dan ikhlas.
Apa yang mendorong mereka untuk menjadi menteri atau timbalan menteri? Jika mereka bermaruah dan pendorong mereka adalah conscience mereka yang ikhlas dan tulus mereka akan memberikan khidmat yang terbaik tanpa perlu sebarang indeks.
Jika menteri-menteri dan wakil rakyat kita sebegitu, kita akan mempunyai sebuah negara Malaysia yang lebih baik. Rakyat negara Malaysia juga akan hidup lebih baik. Harapan saya adalah individu yang membabitkan diri mereka dalam kepimpinan politik tidak melihat ‘KPI’ mereka sahaja untuk meningkat prestasi, tetapi melihat hati nurani untuk mendorong peningkatan prestasi mereka.
Mereka harus ingat tugas sebenar mereka - iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia dengan penuh amanah. Melihat ke dalam hati nurani boleh menolong dan membantu bukan sahaja mereka tetapi semua pengikut yang dipimpin, untuk mengelakkan diri mereka daripada kejahatan serius termasuk rasuah.
source : mingguan
No comments:
Post a Comment