Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak dapatkan dokumen-dokumen kes liwatnya gagal.

Ini bila Mahkamah Rayuan di Putrajaya petang Jumaat membenarkan pihak pendakwa kes liwatnya supaya tidak menyerahkanya.

Ia diputuskan sebulat suara oleh Hakim Datuk Hasan lah, Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Sulaiman Daud.

Keputusan itu mengetepikan keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada 16 Julai lalu yang mengarahkan pendakwa menyerahkan salinan dokumen dan bukti berkaitan kes itu kepada peguam Anwar.

Dokumen-dokumen itu ialah rakaman keterangan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan,pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, tiga keterangan saksi lain, laporan Dr Osman Abdul Hamid dari Pusrawi ,nota tiga doktor dari Hospital Besar Kuala Lumpur,nota ahli kimia,slaid dan gambar.

Bagaimanapun mahkamah itu menolak permohonan Anwar mendapatkan sampel spesimen Mohd Saiful.

Mahkamah Rayuan itu juga menolak rayuan balas Anwar bagi mendapatkan sampel spesimen itu.

Pada 24 Julai ,mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan bagi perintah itu kepada pihak pendakwaan, sehingga penyelesaian rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

Namun sekalipun sudah lewat , ding dong kes ini tidak berhenti di sini.Peguam Anwar, Karpal Singh berkata, mereka akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan, Isnin depan.

“Tanpa dokumen-dokumen ini mana boleh kami dapatkan perbicaraan yang adil,” katanya.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara,Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas. - 6/11/2009