NUFFNANG

Sunday 22 November 2009

Anwar akan tetap bela Azmin selamanya?... Akuan Berkanun : Anwar kawal akaun RM3b -- Pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia

Anwar akan tetap bela Azmin selamanya

Hari ini seperti yang diduga Anwar akan mempertahankan habis-habisan Azmin Ali apabila didakwa terlibat dalam pembelian saham mencecah RM8 juta dengan dua individu lain yang dibangkitkan pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S.A. Vickneswaran. Dua individu lain itu adalah isteri Azmin, Shamsida Taharin dan iparnya Jamal Taharin.

Meskipun Anwar mengakui tidak tahu secara terperinci dan tidak melihat dokumen-dokumen itu tetapi dia dengan pantas membela Azmin dengan mengatakan itu merupakan tuduhan fitnah yang mahu membunuh kredibiliti orang kesayangannya.

Tindakan Anwar dan Azmin yang dilihat terlalu pantas memberi respon terhadap isu ini juga menimbulkan tanda tanya. Satu sifat Azmin adalah dia amat takut dengan polis dan SPRM. Dia memang phobia mendengar nama dua agensi itu.

Anwar pula seolah-olah sudah dapat meneka episod itu, walaupun tidak melihat dokumen, katanya, "Saya tidak tengok dokumen itu tapi saya tahu sebab siasatan telah dibuat sejak awal (1998) dan tidak ada tindakan, bahkan dilepaskan"

Kenyataan Anwar, walaupun tidak diulas panjang, tetapi mengandungi maksud yang sangat mendalam. Pertama Anwar sendiri mengakui bahawa Azmin Ali pernah disiasat oleh polis dan BPR pada tahun 1998, tetapi tiada bukti dan dilepaskan. Tetapi itu cerita 1998, cerita ketika Anwar mempunyai saki baki pengaruh dalam BPR dan polis ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimana pula dengan cerita sekarang (2009), ketika Anwar sudah tiada pengaruh lagi mengawal semua agensi kerajaan, selepas sebelas tahun dilucutkan daripada menjadi TPM ?

Azmin 'anak angkat' Dr Mahathir, tetapi 'dicuri' Anwar

Azmin Ali adalah pelajar pelajar lulusan Universiti Minnesota, Amerika Syarikat. Di universiti itu juga dia berkenalan dengan Shamsida Taharin. Sekembalinya ke Malaysia, dalam usia 23 tahun, Dr Mahathir telah mengambil Azmin menjadi 'anak angkatnya' dan diletakkan di pejabat Perdana Menteri sebagai pembantu khas.

Ketika Azmin menjalani pembedahan buah pinggang, Dr Mahathir antara tetamu penting yang datang melawatnya dan semasa Azmin melangsungkan perkahwinan dengan Shamsida Dr Mahathir sanggup duduk di lantai meraikan pasangan pengantin itu. Begitulah prihatinnya seorang Perdana Menteri kepada pembantu khasnya.

Setelah berkhidmat selama 6 bulan di Jabatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selaku Menteri Pendidikan memohon kepada Dr Mahathir untuk 'meminjam' Azmin Ali bekerja sebagai pegawai khas di pejabatnya.

Alasan Anwar kepada Dr Mahathir kerana dia kekurang tenaga kerja, apabila Nasaruddin Jalil, Setiausaha Sulitnya memohon cuti untuk melanjutkan pelajaran ke London. Katanya mahu 'pinjam' sekejap sahaja. Dr Mahathir mengizinkan.

Memang sifat Anwar, suka mengambil pegawai-pegawai muda yang berpakaian segak dan berkulit cerah. Ketika itu Azmin masih muda, berusia 23 tahun, cute dan berkulit cerah.

Kali pertama menerima hadiah duit RM300,000

Setelah bekerja bersama Anwar, Azmin selalu diberi perhatian istimewa oleh Anwar. Anwar menawarkan kelebihan wang ringgit yang tidak pernah ditawarkan oleh Dr Mahathir semasa menjadi pegawai khas di pejabat PM. Ini menyebabkan Azmin tidak berminat untuk kembali ke pejabat PM dan lebih selesa bekerja dengan Anwar.

Anwar pula berusaha mempromote Azmin sebagai pegawai khasnya di Kementerian Pendidikan dan diluluskan bermula 1 Oktober 1987-3 April 1989. Kemudian pada 4 April 1989, Azmin dilantik sebagai Setiausaha Sulit di Kementerian Pendidikan sehingga 14 Mac 1991. Apabila Anwar dilantik sebagai Menteri Kewangan, Azmin juga mengekalkan jawatan Azmin sebagai Setiausaha Sulit dari 15 Mac 1991- Februari 1996. Seterusnya mengekalkan jawatan yang sama setelah Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dari 1 Disember 1993, sehingga ke tarikh Anwar dipecat pada 2 September 1998.

ketika Azmin menjadi Setiausaha Sulit di Kementerian Kewangan, tugasnya semakin penting. Dia merupakan 'orang yang paling penting' sebagai perantara untuk individu-individu berjumpa dengan Menteri Kewangan. Kerusi Menteri Kewangan merupakan kerusi yang paling diminati oleh peniaga-peniaga dan tauke-taukeh Cina yang menjalankan perniagaan judi.

Semasa isteri Azmin (Shamsida) melahirkan anak, terlalu banyak hadiah-hadiah yang amat bernilai disumbangkan oleh taukeh-taukeh Cina. Begitulah budaya lobi, bodek dan rasuah yang dilakukan oleh tauke-taukeh Cina untuk menghampiri Anwar.

Kali pertama Azmin disogokkan dengan wang 'hadiah' berjumlah RM300,000 dari seorang taukeh balak (Cina) Sarawak. Ketika itu, Azmin belum 'pandai' menerima wang tersebut dan menelefon iparnya yang bekerja dengan salah sebuah bank tempatan untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Iparnya telah menasihatkan Azmin supaya tidak memasukkan wang tersebut ke dalam akuan peribadinya, kerana dibimbangi akan dapat dibuktikan terlibat dengan salah laku rasuah. harus dicari penama lain sama ada isteri atau adik beradik isteri atau orang-orang yang dipercayai.

Jadi pada hari ini, jika kes adik beradik Shamsida Taharin kaya raya, itu sesuatu yang tidak mengejutkan. Johan Taharin (abang sulong), Jamal Taharin dan Jamil Taharin, kini menjadi kaya raya, walhal keluarga mereka bukan keturunan hartawan. Bapa Shamsida, berasal dari Perak adalah seorang guru, manakala ibunya adalah adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Arwah Nasaruddin Jalil (bekas Setiuasaha Anwar) pernah memberitahu seseorang, ketika meletusnya isu liwat Anwar, Sukma dan Azizan bahawa Azmin tidak akan tinggalkan Anwar untuk selama-lamanya dan begitu juga dengan Anwar, dia akan tetap membela Azmin walaupun terbukti melakukan kesalahan.

Ditanya kenapa ? Arwah terdiam seketika. "Mereka ada kenangan manis yang pertama semasa di New York", katanya tidak mengulas mendalam maksud kata-kata itu.

Anwar kawal akaun RM3b -- Pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia


ANWAR...kawal 20 akaun.


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid, mendedahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal sebanyak 20 Akaun Induk (Master Accounts) yang diuruskan oleh kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.

Abdul Murad dalam Akuan Berkanun yang diikrarkan di depan Pesuruhjaya Sumpah di sini pada 26 Oktober lalu mendakwa Anwar menggunakan wang akaun induk itu untuk memajukan cita-cita politiknya termasuk membayar hutang-hutang para penyokong.

Sebahagian daripada mereka yang mendapat bantuan Anwar sekarang merupakan aktivis parti pembangkang.

Beliau juga mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu memperalatkan pengaruh BNM untuk keuntungan perniagaan kawan-kawan, kroni dan elemen-elemen asing.

Menurut beliau, Anwar memberikan sekurang-kurangnya AS$10 juta (RM38 juta) kepada sebuah agensi kumpulan pemikir Amerika Syarikat yang berpusat di Washington untuk menaikkan imejnya di negara-negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain negara Eropah.

Katanya, beliau bertanggungjawab mengatur sumbangan AS$10 juta kepada agensi itu yang diketuai oleh seorang bekas pengarah kanan Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Douglas H. Paal.

Abdul Murad, 46, membacakan Akuan Berkanun beliau itu pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Grand Olimpic di sini hari ini. Dalam nada kesal beliau mengakui bahawa beliau juga ialah salah seorang kroni yang menguruskan akaun induk milik Anwar.

Bagaimanapun, beliau mendakwa terpaksa melaksanakan arahan-arahan Anwar seperti mengatur pinjaman-pinjaman bank dalam jumlah beratus-ratus juta ringgit untuk kroni-kroni lain walaupun ini bertentangan dengan undang-undang ''kerana sebagai Menteri Kewangan dia akan cincang saya jika arahan-arahan tersebut tidak dilaksanakan.''

''Saya percaya terdapat sekurang-kurangnya 20 akaun induk lain yang diwujudkan untuk Anwar oleh pelbagai kroninya. Saya percaya bahawa jumlah dana-dana dalam 20 akaun induk itu mencapai lebih daripada RM3 bilion.

''Modus Operandi Anwar ialah pecah dan perintah dan operator setiap akaun induk tidak menyedari kewujudan akaun induk lain. Saya yakin kerajaan tahu siapa kroni-kroni itu,'' katanya dalam kenyataan bersumpah tersebut.

''Setakat yang saya tahu dan melalui penglibatan saya sendiri, lebih RM120 juta telah dibayar kepada Anwar, kroni-kroninya dan organisasi yang digunakan untuk memajukan cita-cita politiknya.

''Sebagai contoh, adalah dalam pengetahuan saya bahawa atas arahan Anwar, dana-dana daripada Akaun Induk dibayar kepada dirinya (Anwar), individu-individu dan organisasi yang dikaitkan dan terlibat dengannya antara 1992 dan 1997,'' kata Abdul Murad.

Menurut beliau, secara peribadi beliau mengetahui bahawa bayaran-bayaran dibuat daripada Akuan Induk kepada pihak-pihak berikut:

(1) Anwar Ibrahim sendiri RM50 juta

(2) Tan Sri Abdullah Ahmad RM 5 juta

(3) Datuk Nasaruddin Jalil RM10 juta

(4) Asia Pacific Policy Centre RM38 juta dan Douglas H. Paal (US$10 juta)

(5) Institut Kajian Dasar (IKD) RM5 juta

(6) Aliran & Dr. Chandra Muzaffar RM5 juta

(7) ABIM RM5 juta

(8) International Institute of Islamic Thought (IIIT) RM2 juta

(9) Sebuah Yayasan Islam di UK RM1 juta

Abdul Murad pada 16 September lalu didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mendedahkan maklumat sebenar saham-saham Ben Harta Sdn. Bhd. (BHSB) dan 51 hartanya.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Penolong Gabenor Bank Negara beberapa bulan selepas Anwar disingkirkan daripada kerajaan pada September 1998. Ketika didakwa pada 16 September lalu, beliau ialah Pengarah Eksekutif RHB Bank.

''Sebagai seorang eksekutif tertinggi di BNM, saya sering berhubungan dengan Anwar yang sukakan saya dan ekoran itu mengamanahkan saya untuk melaksanakan arahan-arahannya, yang baru kini saya percayai digunakan untuk memajukan cita-cita politiknya,'' kata Abdul Murad.

Menurutnya, bagi meneruskan rancangan politik, Anwar mengarahkannya melaksanakan eksesais korporat tertentu untuk keuntungan kawan-kawan dan kroninya.

''Hutang-hutang kawan-kawannya dilangsaikan/diselesaikan melalui keuntungan daripada urus niaga menggunakan pengaruh BNM.

''Antara eksesais korporat yang paling signifikan ialah pengambilalihan Sikap Power, pemegang konsesi Independent Power Project (IPP) di Lumut, Perak,'' kata beliau.

Konsesi itu dijual kepada MRCB atas arahan Anwar. MRCB kemudian menyuntik konsesi itu ke dalam Malakof Berhad yang merupakan anak syarikat MRCB.

Kata Abdul Murad: ''Saya percaya keuntungan kira-kira RM50 juta daripada urus niaga ini jatuh ke salah satu tabung politik Anwar.''

Beliau juga mengaku memperkenalkan seorang lelaki Cina bernama Tong Kooi Ong juga terlibat dalam memberi bantuan kewangan kepada Anwar.

Tong ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Phileo Allied Berhad, sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama BSKL. Phileo Allied Bank berada di bawah kawalan Tong.

Anwar mengarahkan Tong supaya mengambil Shamsidar Taharin dan seorang lagi yang bernama Rahman bekerja dengan banknya.

Shamsidar ialah isteri kepada Azmin Ali, bekas Setiausaha Sulit kepada Anwar.

Kata Abdul Murad: ''Adalah diketahui dengan meluas bahawa Shamsidar dibayar gaji yang tinggi dan disediakan dengan sebuah kereta dan pemandu dan pada kebanyakan masa dia tidak perlu pergi bekerja.''

Abdul Murad juga mendedahkan beberapa urus niaga lain yang melibatkan arahan Anwar, antaranya mengatur pinjaman-pinjaman bank untuk kawan-kawan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Individu-individu yang terlibat ialah:

* Menyelesaikan hutang Tan Sri Abdullah Ahmad (Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebanyak RM10 juta dengan Bank Bumiputra. Beliau membantu merundingkan jumlah penyelesaian sebanyak RM7 juta.

Sejumlah RM5 juta diambil daripada Akuan Induk untuk membayar hutang itu. Bakinya RM2 juta diperoleh daripada Abdullah yang mendapat wang daripada penjualan tanahnya.

* Anwar mengarahkan beliau membantu menyelesaikan hutang Marina Yusof dengan bank-bank tempatan yang berjumlah lebih daripada RM20 juta.

Abdul Murad menyerahkan permohonan itu kepada Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) untuk bantuan membangunkan sebidang tanah di Jalan Tun Razak, yang sekarang merupakan Kompleks Marinara yang telah siap.

Dalam kes itu beliau berkata, panel TPU meluluskan permohonannya. Marina Yusof benar-benar terhutang budi kepada Anwar.

* Sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang, Mercury Securities berhutang dengan MUI Bank lebih RM10 juta yang diperoleh melalui cagaran tanah pihak ketiga.

Pemegang saham majoriti ialah Chew Seng Guan dan seorang bernama Ahmad Kamal yang dididik oleh Anwar untuk menjadi bakal ahli perniagaan bumiputera dan ahli politik.

* Anwar mengarahkan Abdul Murad membantu kumpulan bekas Ketua Pengarang Berita Harian, Datuk Nazri Abdullah untuk mengambil alih Kumpulan New Straits Times daripada Renong.

''Saya mendapatkan Kumpulan Hong Leong untuk menstrukturkan urus niaga itu. Saya bercakap dengan Seow Lun Hoo dan Quek Leng Chan dari Hong Leong. Mereka mencadangkan supaya kumpulan Datuk Nazri menggunakan MRCB sebagai saluran untuk mengambil alih saham New Straits Times.

''Saya kemudian bercakap dengan Maybank untuk mengatur pinjaman kepada Nazri bagi membeli MRCB dan satu lagi pinjaman untuk membeli NST.''

* Beliau juga telah diarahkan oleh Anwar untuk membantu Faiz Abdullah, seorang penulis teks ucapan Anwar yang juga salah seorang peguam bekas Timbalan Perdana Menteri itu, untuk mendapatkan pinjaman bank berjumlah lebih RM400 juta untuk membeli Kewangan Usaha Bersatu Berhad (KUBB).

''Pada masa itu KUBB dimiliki oleh Idris Hydraulic Berhad. Skim itu melibatkan penggunaan Arus Murni Berhad yang sebelum itu dikenali sebagai Timuran Berhad, sebuah syarikat yang disenaraikan di papan utama BSKL sebagai syarikat pemegang.

''Saya menemui bank-bank berikut untuk membantu mendapatkan pinjaman untuk membeli saham KUBB bernilai lebih RM400 juta: 1. Hong Leong Bank, 2. Hong Leong Finance, 3. Sime Bank, 4. RHB Bank, 5. Southern Bank, 6. BSN Commercial Bank,'' katanya.

Kenyataan bersumpah Abdul Murad menyifatkan Faiz ''seorang penulis hantu yang bijak dan operator politik untuk Anwar. Beliau juga seorang peguam, bekas wartawan dan bekas pegawai Cawangan Khas polis.''

Oleh: BAHAROM MAHUSIN dan NAZERI NONG SAMAH

source : utusan

No comments: