NUFFNANG

Sunday 7 December 2014

Pelantikan Christop R Mueller Bukti Khazanah Nasional Gagal –Syed Ali Alhabshee


KUALA LUMPUR, 6, DISEMBER : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pelantikan Christop R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airline System Berhad (MAS) berkuatkuasa 1 Januari ini menjadi bukti kegagalan Khazanah Nasional dalam mencari solusi terbaik menangani masalah kerugian yang membelenggu syarikat penerbangan nasional negara.

Dalam satu kenyataan semalam Khazanah Nasional mengumumkan pelantikan Christop R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS yang baru. Mueller yang kini CEO Aer Lingus iaitu satu syarikat penerbangan Kebangsaan Ireland turut dinamakan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.

Menurut Syed Ali, sudah 57 tahun negara merdeka, tetapi kita masih bergantung kepada orang asing untuk menentukan ke arah mana hala tuju syarikat penerbangan negara kita.

“Apakah pelantikan CEO warganegara asing ini merupakan jalan terbaik untuk membawa MAS maju ke hadapan? Apakah negara kita sudah ketandusan mereka yang berbakat dan berkelayakan untuk memulihkan MAS? Sekian lama kita merdeka apakah kita masih meragui akan kebolehan dan kemampuan rakyat kita?” Soal beliau turut melahirkan rasa kesal dengan perkembangan yang berlaku dalam MAS.

Tegasnya, negara kita tidak kurang mempunyai tokoh yang berkelayakan dalam strategi memulihkan syarikat penerbangan negara antaranya, bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) sendiri iaitu Nasution Mohamed kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Strategi Maxis Berhad.

Bahkan katanya, kemampuan rakyat kita dalam menjalankan perniagaan mega turut diiktiraf oleh negara-negara dunia.

“Lihat sahaja bagaimana kerajaan Singapura mengiktiraf fikiran dan bakat rakyat kita dengan melantik Tan Sri Hassan Merican, bekas CEO Petronas sebagai Pengarah Bukan Eksekutif SembCorp yang dikendalikan oleh syarikat milik Singapura iaitu Temasek Holdings.’ Jangan kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan’?’’ katanya.

Kata Syed Ali lagi, ironinya MAS bukanlah syarikat penerbangan komersial, sebaliknya MAS adalah syarikat penerbangan nasional yang membawa wajah dan identiti negara Malaysia. 

Dalam nada tegas, Syed Ali mendesak supaya Tan Sri Azman Mokhtar mengambil tanggungjawab di atas kegagalan itu dengan meletak jawatan sebagai CEO Khazanah Nasional.

Sementara itu dalam perkembangan yang lain pula, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed turut melontarkan kenyataan sinis kepada syarikat penerbangan negara MAS. Katanya, MAS mengalami kerugian kerana rakyat Malaysia tidak pandai menguruskannya.

“Orang Malaysia ini bodoh, tidak tahu hendak uruskan syarikat penerbangannya, sebab itu MAS rugi,’’ kata Dr Mahathir yang dipetik dari The Malaysiainsider.

No comments: