NUFFNANG

Friday, 11 July 2014

WAJIB BACA - ARTIKEL MENARIK SEMPENA HARI LAHIR KE 89 AYAHANDA TUN DR MAHATHIR -

ARTIKEL MENARIK SEMPENA HARI LAHIR KE 89 AYAHANDA TUN DR MAHATHIR - WAJIB BACA


Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin boleh dikatakan sebagai antara figur dunia yang paling 
banyak diperkatakan. Meskipun dia tidak memimpin bala tentera dan berperang seperti Stalin, 
Kar Marx, Hitler, Churcill mahupun Patton atau Arthur, malah banyak pula pihak yang mempertikaikan 
agama dan amalannya, namun lelaki yang dilahirkan dari kalangan keluarga bekas Menteri Besar 
Kedah yang terkenal dengan pembinaan Terusan Wan Mat Saman selain hubung kait dengan 
keluarga Mahsuri, tetap terkenal di seluruh dunia walaupun dia telah lama meninggalkan perkhidmatan dan pentadbiran awam.

Walaupun pemujanya meletakkan namanya begitu sayup tinggi mencecah awan, namun sepanjang 
pentadbirannya, Mahathir sama seperti manusia yang lain tidak lepas daripada melakukan kesilapan. 
Namun kesilapan tersebut ditebusnya dengan banyak kaedah bagi menambahbaik keadaan 
dalam negara ini.

Daripada orang Melayu bertangga gaji puratanya RM180 sebulan, hanya dalam tempoh 1981-1984, 
tangga gaji RM450 sudah mula dikecapi. Dan pada penghujung pentadbirannya, kebanyakan 
orang Melayu sudah terlupa tentang menjala ikan, bersembang dengan rokok daun dan tembakau 
cap kerengga, berjalan kaki keluar ke pekan, malah kebanyakan orang Melayu yang dahulunya totok jumud, semakin terbuka dan berasakan pemimpin-pemimpin negara tidak lebih bijak daripada 
mereka sendiri.

Hasil dan dasar pentadbirannya jugalah yang membuatkan anak-anak muda Melayu mempunyai 
lebih banyak masa lapang untuk merungut dan melihat keburukan orang lain tanpa menilai pencapaian 
diri hasil daripada pelbagai peluang yang diwujudkan. Hasil dan dasar pentadbirannya jugalah 
membuatkan kebanyakan anak muda Melayu yang tidak pernah hidup dalam kesusahan seperti
 ibu bapa dan datuk nenek mereka sebelum 1984, menganggap mereka sekarang tertekan dan 
dizalimi.

Katalah apa pun, yang pasti dunia mengiktirafnya. Walau seburuk manapun kesilapan yang pernah 
dilakukan sepanjang pentadbirannya, Malaysia tidak akan berada pada takah sekarang kalau dia mendengar bantahan, rungutan atau momokan daripada Lim Kit Siang dan konco-konconya. 
Malah Malaysia tidak akan berdiri di atas kaki sendiri jikalau dia terus lemah dengan penghinaan 
demi penghinaan yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew di seberang tambak sana dan tidak 
mewujudkan kemandirian seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas, KLIA dan sebagainya selain giat 
membawa masuk pelabur dari luar untuk meningkatkan tangga gaji dan status sosial rakyat 
Malaysia.

Dan sekarang, rata-rata rakyat Malaysia tidak lagi bercakap tentang gaji RM300 atau berpusu-pusu 
ke seberang tambak untuk membeli limau oren atau laici dalam tin lagi.

Permusuhannya dengan Zionis ketara menerusi serangan demi serangan yang dilakukan oleh 
Zionis dan konco-konco mereka kepada Mahathir. Dan Mahathir tidak menggunakan kelancangannya 
semata-mata tetapi sebaliknya memberikan 'bantuan sewajarnya' sehinggakan 
Allahyarham Yasser Arafat, Allahyarham Alija Izetbegovic, Haris Silajdzic dan beberapa orang tokoh pemimpin dari negara Islam yang bergolak, datang ke negara ini untuk 
berterima kasih kepada Malaysia.

Palestin, Bosnia, Kosovo, Chechnya, Selatan Thailand, Selatan Filipina bahkan Afghanistan 
dan Farrah Aidid Ethiopia mempunyai thumb-print Mahathir. Kebanyakan anggota-anggota 
PENGAMAN PBB dari Malaysia seringkali menceritakan perkara berkenaan, terutama sekali 
selepas kargo yang dibawa menggunakan sebuah kapal yang didaftarkan di Greece, dijarah oleh
 tentera Israel beberapa tahun dahulu kerana disyaki membawa bantuan senjata dan peluru untuk 
Gaza dan Tebing Barat.

Tetapi si tua yang menyambut harijadinya yang ke-89 hari ini (secara rasmi), tidak pernah mendabik 
dada tentang hal tersebut biarpun dia terus diberikan pelbagai cop dan status.

Ramai juga yang masih ingat kisah dia berjalan kaki dari Seri Perdana lama ke Parlimen yang 
kemudian cuba ditiru oleh Ahli-Ahli Parlimen yang bersikap mengampu dan membodek. Ramai 
juga yang masih ingat bagaimana dia menutup mulut Lim Kit Siang dengan membawa Lim Kit Siang 
menyaksikan pelancaran Satelit pertama Malaysia. Ramai yang masih ingat, dia berjalan kaki seorang 
diri atau ditemani oleh pengawal yang tidak kelihatan di jalan raya sekitarKuala Lumpur. Dan ramai
 juga yang masih ingat tentang 'kegemarannya' meninjau projek-projek besar seperti PLUS, 
LRT Putra dan STAR, kenaikan harga dan barangan di pasaran secara peribadi tanpa banyak 
publisiti.

Kita tidak menyamakan Mahathir dengan Umar Abdul Aziz. Taraf kedua-duanya jauh berbeza. 
Tetapi sebaik-baik pemerintahan Umar Abdul Aziz, kebaikannya yang berganda-ganda itu akhirnya 
dibalas dengan pembunuhan khalifah Bani Umaiyyah itu.

Walau apa pun yang pernah dilakukan oleh Mahathir sama ada disukai atau tidak disukai oleh rakyat negara ini, sememangnya dia adalah seorang NEGARAWAN.

SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-89, TUN!!!

HOUSE PK: Aku nak cakap benda yang sama, tapi Flying Kick dah tulis maka aku pun kopipes 
la dari blog dia buat Ayahanda tercinta Tun Dr Mahathir

No comments: