NUFFNANG

Saturday 26 July 2014

Lebih kejam daripada Nazi - Tun Dr Mahathir

Lebih kejam daripada Nazi


PENUNJUK perasaan melontar bom api dan batu ke arah tentera Israel dalam satu demonstrasi di Tebing Barat membantah serangan rejim Zionis itu di Gaza, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR 25 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan rejim Zionis yang kini bermaharajalela membunuh rakyat Palestin tidak berdosa, tanpa dihukum dunia antarabangsa, sebagai lebih kejam daripada tentera Nazi.

Menurut beliau, Yahudi adalah penjenayah dalam semua perundangan manusia bertamadun kerana segala apa yang dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, berlawanan dengan moral serta menyalahi hak asasi manusia.

"Semasa Yahudi dilayan dengan teruk oleh Nazi di Jerman, mereka menagih simpati dan sokongan dunia tetapi penderitaan tidak mengajar apa-apa dan tidak membantu mereka memahami erti kesengsaraan. Malah, kini mereka berkelakuan lebih teruk daripada Nazi.

"Sepatutnya Yahudi menyalurkan kemarahan mereka terhadap Nazi di Jerman dan Eropah. Mungkin mereka terlampau pintar atau mungkin juga bagi mereka membunuh Arab adalah lebih mudah dan menyeronokkan," kata Dr. Mahathir menerusi blognya, chedet.cc, hari ini.

Sehingga kini angka kematian rakyat Palestin mencecah 695 dengan majoriti adalah wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 4,100 lagi cedera selepas rejim Zionis menggempur Gaza dalam operasi ketenteraan yang dinamakan Operasi Perlindungan Sempadan sejak 8 Julai lalu.

Serangan tidak berperikemanusiaan sejak bermulanya Ramadan itu turut memusnahkan sekurang-kurangnya 475 buah rumah dengan 2,644 buah lagi rosak teruk manakala 46 buah sekolah, 56 buah masjid serta tujuh buah hospital turut dibedil rejim Zionis.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, rejim Zionis menjadi besar kepala setiap kali melakukan jenayah kemanusiaan kerana mereka sedar tiada mana-mana pihak berani menghukum Yahudi disebabkan sokongan tidak berbelah-bahagi Amerika Syarikat dan Eropah.

Katanya, mesej yang ingin ditonjolkan oleh Israel melalui perbuatan kejamnya terhadap bangsa Arab dan penduduk Palestin ialah kononnya Yahudi bangsa mulia dan sesiapa sahaja yang mengganggu mereka terpaksa membayar dengan harga berlipat kali ganda kesakitan.

"Sebab itu sekiranya Palestin menghantar pengebom berani mati atau melancarkan serangan roket, Israel menyerang balas secara keterlaluan dengan menghantar kumpulan tentera untuk memusnahkan Palestin dan membunuh lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua," katanya.

source : utusan

No comments: