NUFFNANG

Friday, 23 August 2013

Zul Noordin : Paling Penting Adalah Keputusan Mahkamah Rayuan 10 September

Zul Noordin : Paling Penting Adalah Keputusan Mahkamah Rayuan 10 September

AIDCNews – 23/08/13 – Datuk Zulkifli Noordin, peguam yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam telah membuka ruang untuk pihak kerajaan untuk mengemukakan rayuan penuh di mahkamah yang cuba ditutup oleh pihak Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur (Titular Gereja) berkaitan dengan isu kalimah Allah dalam akhbar mingguan Katolik ‘The Herald’.
“Mahkamah (Rayuan) telah membuat keputusan menolak permohonan daripada Titular gereja untuk membatalkan rayuan yang difailkan oleh pihak kita berkaitan dengan penggunaan isu kalimah Allah yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada sidang yang lepas.
“Bermakna dengan penolakan ini, rayuan penuh berkaitan dengan isu kalimah Allah akan didengar pada 10 September 2013 sama ada mahkamah membenarkan penggunaan kalimah tersebut atau menolak.
“Jadi yang penting adalah keputusan 10 September, sama ada Kristian boleh guna kalimah Allah atau tidak,” katanya.
Mahkamah Rayuan petang semalam menolak permohonan Titular Gereja untuk menghalang kerajaan Persekutuan membuat rayuan bagi menghalang kalimah Allah digunakan dalam penerbitan mereka.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Hakim Datuk Rohana Yusuf.
Kronologi kes :
1. Pada 22 Ogos 2013 – Mahkamah Rayuan menolak permohonan Titular Gereja untuk menghalang pihak kerajaan membuat rayuan bagi menghalang kalimah Allah digunakan dalam penerbitan The Herald.
Mahkamah memutuskan kes ini perlu diselesaikan dengan membenarkan pihak perayu (kerajaan) mengemukakan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan The Herald.
Pihak perayu terdiri daripada; Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), enam pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri-negeri (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Johor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Selangor) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).
Rayuan pihak kerajaan untuk menghalang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald itu ditetapkan pada 10 September 2013.
Keputusan Mahkamah Rayuan 22 Ogos itu berdasarkan pemohonan pihak Titular Gereja pada 8 Julai 2013 yang memohon untuk membatalkan rayuan kerajaan yang diputuskan pada 10 September 2010 terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah digunakan The Herald.
2. Pada 16 Februari 2010, pihak Titular Gereja yang diketuai oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon satu deklarasi daripada mahkamah bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Jan 2009, yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh The Herald, sebagai tidak sah dan batal.
Menteri KDN ketika itu adalah Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar (Mac 2008 – April 2009) dan diganti oleh Datuk Seri Hishammuddin bin Tun Hussein (April 2009 – Mei 2013).
Murphy Pakiam mendakwa arahan Menteri KDN tidak sah kerana perkataan ‘Allah’ bukanlah eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.
Keputusan Titular Gereja membuat permohonan itu berdasarkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan yang membuat keputusan dalam kamar pada 6 Januari 2010 membenarkan permohonan KDN untuk menangguhkan keputusan membenarkan mingguan The Herald menggunakan kalimah Allah.
3. Pada 6 Januari 2010, Hakim Lau Bee Lan membenarkan permohonan KDN yang meminta penangguhan penggunaan kalimah itu sementara menunggu rayuan daripada pihak kerajaan berhubung dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang membenarkan kalimah ‘Allah’ boleh digunakan dalam The Herald.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mewakili KDN manakala Derek Fernandez dan Benjamin Dawson mewakili The Herald.
Turut hadir juga adalah Father Lawrence Andrew, Ketua Pengarang The Herald.
“Kami membuat permohonan dan peguam yang mewakili Gereja Katolik bersetuju dengan penangguhan tersebut, atas kepentingan negara,” kata Abdul Gani.
Keputusan Hakim Lau dibuat berdasarkan permohonan KDN pada 4 Januari 2010 yang mahu keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 ditangguhkan.
4. Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan memutuskan larangan KDN pada 7 Jan 2009 terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam The Herald adalah ‘tidak sah dan batal‘.
Keputusan ini membawa maksud Gereja boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.
Keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 berdasarkan permohonan Titular Gereja pada 16 Februari 2009 yang memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan “Allah” dalam penerbitan The Herald, dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.
Keputusan Titular Gereja memohon kes itu dibicarakan di mahkamah berdasarkan larangan KDN melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald.
5. Pada 7 Januari 2009, KDN meluluskan permit penerbitan Herald bagi tempoh 1 Jan sehingga 31 Dis 2009, dengan syarat kalimah “Allah” tidak digunakan di dalamnya dan perkataan “Terhad” mesti dicetak pada muka depan The Herald serta hanya boleh diedarkan kepada penganut Kristian di gereja sahaja.
6. Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan The Herald.
7. Pada 19 Mac 2008, selepas 11 hari Pakatan pembangkang berjaya menafikan kemenangan 2/3 kerajaan Barisan Nasional di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12), Titular Gereja telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah “Allah”.
8. Pada 31 Januari 2008, 13 hari sebelum Parlimen dibubarkan untuk membolehkan PRU 12 diadakan,sekumpulan paderi-paderi Kristian telah berjumpa secara tertutup dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di gereja ST. Francis Xavier, Jalan Gasing, Petaling Jaya menuntut komitmennya tentang Kalimah Allah sekiranya pakatan pembangkang berjaya memenangi PRU itu. Anwar dilaporkan telah berpihak kepada mereka dengan tuntutan itu.

No comments: