Kelesuan Hari Merdeka: Terima kasih Rais Yatim (atau Najib?)
- Shahbudin Husin
Di sana-sini sekarang orang bercakap tentang sambutan Hari Merdeka tahun ini yang kelihatan lesu dan tidak bermaya.
Bukan saja semakin kurang percakapan orangranai mengenai merdeka dan sambutannya, bahkan kibaran bendera Malaysia di kenderaan, rumah dan pejabat juga hampir tidak kelihatan. Pemasangan bendera di jalan-jalan utama di sekitar Kuala Lumpur juga belum kelihatan sehingga ini.
Apa tema Hari Merdeka tahun ini pun ramai yang tidak mengetahuinya.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Merdeka tahun ini paling lesu dalam sejarah 56 tahun kemerdekaan negara.
Hanya beberapa hari saja lagi menjelang tanggal 31 Ogos, suasana sambutan dan kemeriahan sama-sekali tidak dirasakan.
Tarikh kemerdekaan seolah-olah tiada istimewanya dan tidak berbeza dengan hari-hari biasa.
Tidak seperti negara lain yang ghairah dan meriah setiap kali tibanya ulangtahun hari kemerdekaan, negara kita seperti sudah hilang semangat seperti itu.
Tiga negara yang menyambut hari kemerdekaan di bulan Ogos ini iaitu Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan pada 15 Ogos dan Indonesia ada 17 Ogos dikatakan tidak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya dan rakyat ketiga-tiga negara itu tetap teruja menanti ketibaan detik bersejarah itu.
Kenapa hanya di Malaysia ia menjadi lesu dan kurang ghairah?
Jika diimbas kembali, sebenarnya sambutan hari kemerdekaan dan menjelang tibanya detik 31 Ogos setiap tahun tidak pernah ada cacat-celanya dan setiap rakyat ghairah menanti serta merayakan detik pembebasan negara dari penjajahan negara asing.
Semua orang bercakap tentang merdeka, jalan-jalan dipenuhi bendera manakala tv, radio dan akhbar pula tidak henti-henti menyiarkan rencana atau lagu yang bertemakan kemerdekaan.
Keadaan itu bagaimanapun tercemar pada tahun lalu iaitu 2012 apabila kerajaan melalui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Rais Yatim telah merompak sambutan Hari Merdeka tahun itu untuk kepentingan politik UMNO dan BN.
Oleh kerana 31 Ogos 2012 dianggap detik paling dekat dengan tarikh pilihanraya umum, sambutan pada tahun tersebut telah dimanipulasikan semahu-mahunya untuk kepentingan kempen UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya.
Buat pertama kali tema Hari Merdeka 2012 bersamaan dengan tema kempen politik UMNO dan BN iaitu Janji Ditepati.
Walaupun banyak bantahan mengenai tema itu, Rais berkeras mahu menggunakannya dan berjaya meyakinkan Najib dan kerajaan untuk turut bersetuju dengannya.
Tidak cukup dengan itu, pada malam 31 Ogos tahun lalu juga telah diadakan perhimpunan besar-besaran yang majoritinya dihadiri oleh ahli UMNO dan komponen BN Stadium Bukit Jalil di mana Najib selaku Perdana Menteri telah berucap dengan intipati yang jelas bermotifkan politik dan keinginan untuk memenangi pilihanraya.
Akhbar dan tv pula digunakan untuk mengaitkan sambutan hari kemerdekaan dan kaitan dengan UMNO dan akhirnya sambutan Hari Merdeka 2012 telah menjadi milik UMNO dan BN sepenuhnya.
Rakyat yang menganuti fahaman politik yang lain atau tidak terikat dengan mana-mana fahaman politik jadi tersisih dan hilang selera untuk turut sama meraikannya sedangkan sepatutnya Hari Merdeka adalah milik semua rakyat tanpa mengira ideologi dan fahaman politiknya.
Semua ini tidak lain adalah kerana idea cetek Rais Yatim selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Merdeka yang ketika itu terlihat amat ghairah mahu mempromosi kepimpinan Najib sambil mengharapkan agar beliau terus dipilih sebagai calon pilihanraya dan dikekalkan lagi sebagai menteri kabinet.
Walaupun Rais juga melahirkan rasa kesal atas kelesuan sambutan tahun ini dengan mengatakan harga bendera lebih murah daripada harga sekotak rokok tetapi sebenarnya beliaulah juga yang menurunkan harga, bahkan melelong sambutan merdeka tahun lalu.
Kelesuan dan ketidakghaiarahan rakyat meraikan sambutan Hari Merdeka tahun ini tidak lain adalah kesan daripada tindakan Rais Yatim itu.
Jika perayaan merdeka 2012 tidak dirompak untuk kepentingan politik UMNO dan BN serta tidak dilelong dengan harga yang murah, sambutan pada tahun ini mungkin tetap sama meriahnya seperti tahun-tahun sebelumnya.
Hari ini Ahmad Shabery Cheek yang mengambil alih tugas selaku Menteri Penerangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Merdeka, terpaksa memikul beban yang ditinggalkan Rais itu.
Beliau juga mungkin lambat menyedari kesan daripada tindakan Rais itu, lalu tidak pula melakukan sesuatu yang agersif untuk sambutan merdeka tahun ini.
Jika kesan daripada apa yang dilakukan Rais itu dapat disedari lebih awal, mungkin kelesuannya tidaklah begitu dirasakan seperti sekarang ini.
Walaupun sambutan hari kemerdekaan tahun ini seperti ingin dikembalikan semula kepada rakyat dengan temanya juga lebih rasional iaitu Malaysia berdaulat: Tanah tumpahnya darahku tetapi keghairahan yang telah hilang itu bukanlah mudah untuk dikembalikan.
Mungkin ada segolongan rakyat yang memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Untuk tahun ini dan mungkin beberapa tahun lagi, kita haruslah mengakui bahawa kerana kesilapan dan salah percaturan yang dilakukan oleh Rais Yatim itu maka kita terpaksalah meraikan hari kemerdekaan ini dalam suasana yang lesu dan tidak bermaya.
Terima kasih Rais Yatim!! – shahbudindotcom.blogspot.com, 28 Ogos, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
source : The Malaysian Insider
kzso - or is it due to Najib's factor?
No comments:
Post a Comment