Calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar dengan majoriti di luar jangkaan.

BN memperolehi majoriti 5,435. Mohd Isa memperolehi 8,013 undi manakala calon PAS Zulkefly mendapat 2,578 undi. Undi yang ditolak pula 223.

Pengumuman dibuat oleh Pengurus pilihan raya tepat 8.02 malam.

Keputusan itu disambut dengan sorakan penyokong-penyokong BN yang berada di dalam dan luar dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, calon BN ketika itu Allahyarham Azman Mohd Nor memperolehi undi sebanyak 6,430 manakala calon PAS Ramli Ismail (4,097) dan BN menang dengan majoriti 2,333.

Berdasarkan keputusan tersebut, PAS kehilangan hampir separuh daripada undi yang diperolehinya pada pilihan raya umum 2008.

Terdahulu, sejurus pusat pengundian ditutup jam 5.00 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 11,157 atau 81.65 peratus daripada 13,664 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat bagi DUN Bagan Pinang.

Sementara itu Mohd Isa ketika mengulas kejayaan beliau menghargai kepercayaan para pengundi terhadap beliau dan BN.

Sambil melahirkan rasa syukur, beliau menyifatkan keputusan pengundi tersebut membuktikan rakyat pelbagi kaum kini sudah kembali menyokong BN dan ia adalah kesan daripada gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tuan Abdul Razak.

“Saya sudah menjangkakan akan menang tetapi jumlah majoriti yang diperolehi adalah di luar jangkaan. Saya amat menghargai kepercayaan pengundi dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. InsyaAllah saya melaksanakan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin sesuai dengan janji saya dan BN,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, kemenangan BN itu membuktikan rakyat sudah muak dengan cerita-cerita sama yang penuh dengan dakyah dan fitnah yang dibawa oleh pembangkang.

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga berharap pemimpin-pemimpin pembangkang menasihat penyokong mahupun jentera pilihan raya mereka menghormati hak pengundi dan bukan menimbulkan keadaan cuba menakutkan mereka dengan kejadian provokasi serta keganasan pada hari mengun

Mengulas mengulas mengenai isu undi pos, Mohd Isa berkata, jumlah undi yang besar diperolehi BN menunjukkan anggota tentera bijak menggunakan kuasa mereka tambahan pula setelah pembangkang memperlekeh mereka dengan pelbagai isu sepanjang tempoh kempen.

Isu pengundi pos dimanipulasi pembangkang yang dikatakan tidak telus dan SPR turut disalahkan pembangkang.

Pada pilihan raya kecil ini, undi pos diperoelhi Mohd Isa sebanyak 3,521 manakala PAS hanya 601 daripada 4,604 pengundi pos berdaftar dalam DUN Bagan Pinang.

source : agendadaily.com