Najib – Dr Mahathir berjaya pengaruhi perasaan perwakilan
KUALA LUMPUR , Okt 16- Dua episod penting adalah pengalaman menarik sepanjang perhimpunan agung Umno yang pernah diadakan. Pertama adalah tahun 2002 apabila para perwakilan dan ahli Umno secara spontan menitiskan air mata ketika Tun Dr Mahathir Muhamad membuat kenyataan mahu melepaskan jawatan.
Ketika itu, para perwakilan dan ahli Umno yang hadir berada di dalam situasi penuh emosi dan kesedihan agar Dr Mahathir tidak akan melepaskan jawatan ini.
Episod kedua pula adalah semasa buat pertama kalinya Datuk Seri Najib Tun Razak berucap semalam sebagai Presiden dan dan Perdana Menteri Malaysia yang baru. Beliau berjaya mengajak perwakilan dan ahli Umno yang hadir di luar dewan secara spontan dan tiba-tiba untuk berdiri dengan penuh semangat sebaik mendengar kata-kata presiden ini.
“Meremang bulu roma aku apabila mendengar Najib begitu semangat,” kata seorang perwakilan Umno dari Wilayah Persekutuan, Abdul Hamid, 46 sebaik sahaja mendengar ucapan dasar presiden parti.
Dia mengakui sentiasa mendengar ceramah mahupun ucapan Najib ini tetapi `mood’ yang dibawa dalam ucapan dasar adalah berbeza samasekali.
Begitu juga dari veteran Umno bahagian Bentung Pahang, haji Hamzah yang mengakui dia juga bersemangat apabila mendengar ucapan Presiden ini.
“Ini lah pertama kali saya mendengar Najib berucap dengan penuh semangat sehingga mempengaruhi perwakilan dan ahli Umno yang hadir di Perhimpunan Agung Umno ini,” kata haji Hamzah yang pernah mengenali rapat Allahyarham Tun Abdul Razak satu ketika dahulu.
Ucapan Najib yang penuh semangat itu apabila beliau menyebut berkali-kali perkataan bangkitlah semua ahli Umno yang secara sepontan majoriti perwakilan di dalam dan ahli Umno di luar dewan bangun secara tiba-tiba.
Dengan nada lantang dan tegas , Presiden Umno ini menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.
“Bangkitlah semua bersama-sama saya,” seru Najib sambil para perwakilan dan tetamu spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberi tepukan gemuruh.
“Saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas,
pejuang-pejuang Umno di bawah, pejuang Umno di bahagian dan seluruh warga Umno yang baru dan lama , di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya”.
Seruan Presiden Umno ini disambut dengan laungan `ya’ oleh para perwakilan yang bergema memenuhi Dewan Merdeka.
Sementara itu, Dr Mahathir turut memberi peringatan kepada Najib bahawa membuat ucapan yang menarik dan menjanjikan perubahan adalah sesuatu yang mudah untuk dilakukan berbanding melaksanakannya.
“Selepas ini saya pasti rakyat akan memerhatikan sama ada ia dipenuhi atau tidak, bukan hanya di kalangan ahli Umno bahkan seluruh negara akan memerhatikan. Jadi kerajaan dan parti mesti mengotakannya,” katanya.
www.themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment