NUFFNANG

Monday, 8 June 2009

KRISIS PERLEMBAGAAN PERAK: APA SEBENARNYA YANG BERLAKU.

KRISIS PERLEMBAGAAN PERAK: APA SEBENARNYA YANG BERLAKU.

Umum mengetahui kemelut politik hasil ciptaan pembangkang di Perak cukup memenatkan rakyat Perak, pembangunan terhenti dan rakyat sudah mula 'pening' dengan siapa yang benar. UMNO bertanggungjawab menerangkan dan menjelaskan apa sebenarnya berlaku di Perak.

Untuk senang difahami, artikel ini ditulis dalam bentuk kronologi krisi di Perak sambil menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Kronologi politik di Perak


Bermula dengan ADUN UMNO melompat parti ke PKR, sambutan besar-besaran oleh PKR di Parit, perhimpunan besar-besaran diadakan oleh Pengerusi PR mengalu-alukan kemasukan ADUN UMNO yang melompat parti dan berkata 'inilah demokrasi'. PKR terus-menerus berbangga dengan cerita dongengnya bahawa akan ada lagi ADUN BN melompat parti. Amalan melompat parti dicipta dan diagung-agungkan oleh PR semenjak pilihanraya kecil DUN Permatang Pauh, dengan motto 'dari Permatang Pauh ke Putrajaya'

Sebab-sebab ADUN tersebut melompat parti, sudah tidak boleh dilindung lagi iaitu ADUN tersebut merasakan bahawa beliau tidak mampu berkhidmat dengan baik di dalam UMNO dan tidak dihargai apabila mereka tidak mendapat sokongan akar umbi diperingkat bahagian. Sindrom ADUN bukan ketua bahagian dan kemelut kuasa dalaman peringkat bahagian. UMNO Perak sudah mengambil pengajaran dari keadaan ini.

BN dan UMNO menerima dengan tenang, apa yang berlaku dan berharap ADUN tersebut kembali ke pangkuan UMNO.

28 Januari 2009: Desas-desus 'kehilangan' 2 ADUN PKR Perak.


Dalam keadaan ADUN UMNO tersebut masih di pihak PR, tiba-tiba desas-desus 2 ADUN PKR akan melompat parti pula kedengaran akibat ketidakpuasan hati cara pentadbiran kerajaan PR. 'Apa yang kamu rancang, Apa yang ALLAH rancang, sesungguhnya ALLAH adalah sebaik-baik Perancang', senjata kini sudah memakan tuan, taktik kotor PKR memancing ADUN melompat parti kini memakan dirinyannya sendiri.

30 Januari 2009: Nizar menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri akan menyertai BN.


Sebab-sebab mereka tidak berpuas hati: rujuk agenda daily, hal bangsa, agama dan tanahair. Isu tanah 999, isu setiap kawasan perumahan akan dibina gereja dan kuil dan lain-lain lagi.

31 Januari 2009: desas-desus 'kehilangan' ADUN DAP


1 Februari 2009: sepaker DUN Perak berkata, beliau menerima surat perletakan jawatan ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering yang dihantar ke rumahnya pada 5.45 petang. Kedua-kedua ADUN PKR menafikan meletakkan jawatan.


2 Februari 2009: YB Nizar (bekas MB Perak) mengadap Sultan Perak di Istana Kinta. Speaker memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah SPR Perak.


Soalan: apakah yang dimaklumkan oleh YB Nizar kepada Paduka Sultan? Adakah YB Nizar sudah pasti kerusi-kerusi 2 ADUN tersebut benar-benar kosong? Atau YB Nizar cuba menggaburi pertimbangan Paduka Sultan?

Soalan: Apakah yang dimaklumkan oleh Speaker pada masa itu kepada SPR Perak benar-benar sah bahawa 2 ADUN telah meletak jawatan? Benarkah surat-surat perletakkan jawatan itu sah, jika 'si pembuat surat-surat itu' sendiri tidak mengakuinya atau berkata mereka membuat surat kerana dipaksa? Apakah SPR Perak perlu menjalankan siasatannya sendiri?

3 Februari 2009: SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil.


SPR sebagai suruhanjaya yang bertanggungjawab di bawah kuasa perlembagaan Malaysia, telah menjalankan siasatan dan menurut budibicaranya tidak berlaku kekosongan kerusi-kerusi ADUN tersebut. Ini kerana ADUN-ADUN tersebut sendiri tidak mengesahkan dan menafikan perletakkan jawatan mereka.

Secara logiknya, jika PR tidak berpuas hati mereka boleh membawa perkara ini ke Mahkamah untuk pengesahan (bukankah ini permainan mereka?) dan SPR hanya menurut perintah Mahkamah. Namun kenapa PR tidak membawa isu ini ke Mahkamah? Kerana mereka sendiri tahu bahawa surat-surat itu sebenarnya tidak sah.

Secara perbandingan: semasa seorang ADUN UMNO melompat parti ke PKR, kenapa BN atau UMNO tidak meminta diadakan pilihanraya kecil semula? Dan hanya bertenang menerima keputusan ADUN tersebut. Bukankah ini sebenarnya yang telah berlaku dan dimainkan oleh PR, kini senjata sudah memakan tuan, dan mereka terperangkap dengan permainan politik mereka sendiri.

Kini tempo salakkan ceramah politik mereka sudah ke arah ketidak adilan dan tidak demokrasi, berlainan benar dengan tempo sorakkan mereka semasa ADUN UMNO melompat ke PKR.

4 Februari 2009: Timbalan Perdana Menteri mengumumkan 3 ADUN Bebas kini memberi sokongan kepada BN. Oleh itu BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan. BN 31 (28 + 3 Bebas) dan PR 28 kerusi.


Kini YB Nizar dan PR mula tersepit dan dengan tergesa-gesa membuat pengumuman membubarkan Dewan Undangan Negeri sebelum mengadap Paduka Sultan Perak untuk meminta pekenan. Beliau membuat kenyataan '...terpulang kepada Tuanku'.

Soalan: kenapa perlu membubarkan DUN? Apa dosa rakyat di kawasan yang tidak terlibat dengan isu melompat parti ini? Kenapa tidak terus berusaha untuk membuat deklarasi bahawa kerusi 3 DUN telah dikosongkan di Mahkamah, maka hanya 3 kawasan DUN ini sahaja yang di buat pilihanraya kecil semula? Bukankah segala tindakan ini sesuatu yang tidak munasabah dan hanya mengaburi mata rakyat atas kononnya kepentingan rakyat? Apakah 'kepentingan rakyat' yang mereka maksudkan? Hanya kepentingan mereka sendiri.

Dan kini, akibat daripada 'tertikam senjata sendiri' mereka terus-menerus mengalihkan perhatian dan fokus kepada isu membubar DUN dan pilihanraya semula Perak. Yang nyata isu ini hanya timbul setelah mereka tersepit dengan ketentuan Illahi. Ditimbulkan bagi meraih simpati rakyat dan ditimbulkan dalam keadaan yang tiada punca sebab yang sah. Sehinggakan Paduka Sultan pula diheret bersama dalam kemelut politik ciptaan mereka ini.

Benar, perlembagaan Perak memperuntukkan bahawa; 'jika Menteri Besar hilang kepercayaan sebahagian besar ahli DUN, maka Menteri Besar: (a) hendaklah mempersembahkan letak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), ATAU (b) mohon DYMM Tuanku bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)'

Nota: membubarkan DUN bermakna pihanraya semula seluruh negeri Perak

Namun, mari kita lihat siapa sebenarnya menjaga kepentingan rakyat dan siapa yang menjaga kepentingan diri sendiri. Persoalannya kenapa YB Nizar tidak memilihan untuk mempersembahkan kepada Paduka Sultan meletakkan jawatan? Dan memilih untuk memohon membubarkan DUN dan menjejaskan kepentingan rakyat (kawasan yang tidak terlibat) demi kepentingan dirinya sendiri dan pemimpin-peminpin MMK dari DAP.

Paduka Sultan telah membuat pertimbangan dan menolak permohonan membubarkan DUN, bukankah Paduka Sultan lebih mengutamakan kepentingan Rakyat terbanyak? Artikel ini seterusnya akan menjelaskan kuasa Paduka Sultan di bawah perlembagaan Perak untuk menolak permohonan membubarkan DUN mengikut budibicaranya.

5 Februari 2009: YB Nizar dititah mengadap dan memaklumkan Tuanku tidak perkenan membubarkan dewan. Sebaliknya beliau dititah meletakkan jawatan bersama ahli MMK. Jika ingkar, jawatan itu dianggap telah dikosongkan.


Sebagai Sultan yang mempunyai pengetahuan yang penuh tentang perundangan, baginda Sultan terlebih dahulu ingin memastikan bahawa adakah benar YB Nizar sudah hilang majoriti di dalam DUN. Baginda tidak mahu terus mempercayai sembah maklum daripada pihak BN atau pun PR, sebaliknya baginda telah menggunakan peruntukkan Perlembagaan Perak iaitu:- DYMM Tuanku boleh: (a) memanggil ADUN-ADUN untuk mendapatkan pengesahan jumlah/bilangan, ATAU (b) memanggil sidang DUN untuk usul undi tidak percaya terhadap MB.

Perkara inilah yang menjadi isu utama di dalam kes pengistiharan di mahkamah yang dibawa oleh PR.

Maka Paduka Sultan telah memanggil ADUN-ADUN untuk pengesahan jumlah / bilangan (dan pilihan baginda dalam menentukan jumlah bilangan sokongan ini telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan Malaysia dalam kes pengistiharan ketidaksahan MB Zambry, setakat ini).

Pada pendapat penulis, kenapa baginda Sultan memilih untuk memanggil ADUN-ADUN dan bukannya untuk memanggil sidang DUN adalah kerana sidang DUN Perak telah kesuntukkan masa (hampir tamat tempoh 6 bulan bersidang) dan jika tidak bersidang maka DUN dianggap dibubarkan, maka pilihanraya seluruh negeri Perak akan berlaku. Jika ini berlaku, maka rakyat akan disusahkan, oleh itu suatu tindakkan segera harus diambil bagi mengelakkan perkara yang bakal menyusahkan rakyatnya.

Di sini timbul pula persoalan tentang mestikah Paduka Sultan mengikut nasihat YB Nizar (MB pada masa itu) untuk membubarkan dewan?


Benar, YB Nizar telah memohon pembubaran dewan menurut fasal 16(6) perlembagaan Perak, yang memperuntukkan '...jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah dia mempersembahkan letak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu dikecualikan dengan permohonannya Duli Yang Maha Mulia membubarkan Dewan Negeri itu'

(nota: adakah pada peringkat ini YB Nizar akur bahawa beliua telah hilang majoriti dan oleh itu beliau ingin membubarkan dewan?)

Menurut fasal 18(2)(b) Perlembagaan Perak, Baginda Sultan tidak semestinya menerima sembah permohonan YB Nizar untuk membubarkan dewan. Teks asal fasal 18(2)(b) berbunyi: 'Duli Yang Maha Mulia bolehlah memutuskan mengikut timbangannya sendiri pada menjalankan kuasa-kuasa yang tersebut di bawah (sebagai tambahan kepada kuasa-kuasa yang pada menyempurnakannya dia boleh memutuskan mengikut timbangannya sendiri di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu –(a) Lantikan seorang Menteri Besar (b) Keengganan memberi persetujuan kepada satu permohonan bagi pembubaran Dewan Negeri'

Maka disini jelas bahawa baginda Sultan mempunyai kuasa mutlak atas pertimbangannya sendiri untuk menolak 'permohonan' YB Nizar membubarkan DUN. Walaupun perlembagaan Perak tidak memperuntukkan baginda Sultan mesti memberi sebab-sebab keengganannya namun dapat kita fahami bahawa baginda bertindak demi kepentingan rakyat terbanyak bukannya berdasarkan kepentingan politik.

Sebaliknya baginda Sultan di bawah perlembagaan Perak mesti melantik seorang MB berdasarkan sokongan majoriti, menurut fasal 16(2)(a). Pada peringkat itu, majoriti ADUN menyokong MB Baru daripada BN, maka bolehkah baginda Sultan tidak melantik seorang MB Baru berdasarkan arahan perlembagaan Perak? Tidak.

Fasal 16(2)(a) memperuntukkan: 'Duli Yang Maha Mulia hendaklah mula-mula sekali melantik sebagai Menteri Besar pada mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan itu seseorang ahli Dewan Negeri yang pada pertimbangannya boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu'

(nota: perhatikan bahawa sokongan boleh datang daripada mana-mana ahli Dewan (ADUN) tidak kira daripada mana parti politiknya, termasuklah sokongan daripada ADUN bebas)

Seperti yang telah dijelaskan di atas, baginda telah menjalankan usahanya memastikan dengan sebenar-benarnya sokongan majoriti ADUN diberi kepada siapa. Dalam keadaan tersebut BN mempunyai 28 ADUN dan PR juga mempunyai 28 ADUN, namun 3 lagi ADUN telah dengan tegas memberi sokongan kepada BN, dengan itu membawa kepada majoriti mudah sebanyak 28(BN)+3(bebas) melawan 28(PR).

YB Nizar 'pohon derhaka' enggan meletak Jawatan MB


Mari kita teliti sekali lagi, pada peringkat ini YB Nizar dengan angkuh memohon derhaka enggan meletak jawatan sebagai MB, walaupun beliau sendiri faham dan sedia maklum ia menyalahi segala peruntukkan undang-undang perlembagaan Perak yang telah disebut di atas.

PR kini mula membuat propoganda jahat menghina institusi Raja, walaupun Sultan hanya menjalankan tanggungjawabnya seperti yang diarahkan oleh perlembagaan.

Apabila rakyat megutuk perbuatan dan pernyataannya tentang 'sembah derhaka' mereka berkata ianya cuma bahasa Istana, dan BN pula dituduh kurang arif dengan bahasa Istana. Itu bukan lagi isunya, isunya ialah bahasa Istana atau tidak, beliau masih ingkar perintah Sultan yang sah berdasarkan perlembagaan Perak. Bukankah itu suatu yang menderhaka?

Lupa atau tidak fahamkah beliau tentang fasal 16(7) yang menyatakan bahawa: 'Tertakluk kepada fasal 6 seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain daripada Menteri Besar itu hendaklah memegang jawatan selama keredaan Duli Yang Maha Mulia tetapi seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan itu bolehlah pada mana-mana ketika meletakkan jawatannya' seterusnya dibaca bersama fasal 18(2) tadi.

Maka, walaupun YB Nizar enggan meletak jawatan, berdasarkan peruntukkan perlembagaan sedia ada, jika Baginda Sultan melantik MB baru, maka secara automatik YB Nizar telah dianggap meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan. Ini adalah kerana di dalam perlembagaan negeri Perak hanya seorang MB boleh dilantik oleh Baginda Sultan berdasarkan sokongan majoriti. Dan jika YB Nizar telah dianggap meletakkan jawatan maka ahli-ahli exco (MMK) juga dianggap meletakkan jawatan masing-masing.

Perlantikan MB baru sah?


Seperti yang telah dijelaskan di atas perlantikan MB baru iaitu YAB Dr. Zamry adalah sah berdasarkan perlembagaan Perak iaitu seseorang yang pada masa kini mempunyai sokongan dan kepercayaan majoriti iaitu 28 ADUN BN dan 3 ADUN bebas.

Oleh yang demikian, usaha jahat PR untuk membatalkan perlantikan tersebut adalah tidak berasas dan sebenarnya hanya atas isu teknikal cara penentuan majoriti yang dibuat oleh baginda Sultan. Pada dasarnya mereka sedar mereka telah hilang majoriti dan mana mungkin Mahkamah membatalkan sokongan majoriti! Yang pasti, mereka kehilangan majoriti dan walau apapun yang bakal mereka buat, mereka tetap tidak boleh menubuhkan kerajaan di Perak.

Jadi usaha terakhir PR adalah semata-mata membuat propoganda jahat untuk membubarkan DUN.

Ingatlah, bahawa jika Allah ingin memberi kekuasaan kepada sesuatu kaum, maka hanya berdasarkan kepada iman dan takwa bukannya atas dasar kepentingan peribadi dan mengetepikan kepentingan rakyat terbanyak. Jika BN boleh bersabar selama 11 bulan pemerintahan PR tanpa timbul satu pun kemelut kekacauan politik, kenapa PR tidak boleh belajar bertindak secara rasional menurut lunas undang-undang dan moral? Tidakkah mereka mengambil pengajaran?

Tidak pernah berlaku di dalam politik Malaysia, seorang ADUN-ADUN bertindak liar menjerit-jerit sambil berdiri di atas meja di dalam DUN. Inikah akhlak pemimpin PR?

Kenapa adab buruk ini tidak ditempelak oleh pemimpin PR?

2 comments:

Anonymous said...

Bukan nak kutuk lah kan, tetapi para pemimpin di Perak seharusnya duduk bermuafakat dan berbincang dalam satu meja, bukannya bergaduh dan bercekau selama-selamanya. Sampai bila nak turun naik mahkamah, tak penat ke? Saya yang menengok pun jadi penat. Kita sama-sama orang Melayu, beragama Islam, rakyat Malaysia, takkan nak berpecah-belah hanya kerana inginkan kuasa dan jawatan. Cuba kalau kita bersatu-padu, sudah tentu negeri Perak akan lebih aman dan makmur dan tidak dimurkai ol;eh DYMM Sultan Perak. Betul tak?

Anonymous said...

BUBAR DUN JE....MAHKAMAH RAKYAT