Apa pula drama kali ini…
Sejurus timbul dakwaan liwat oleh bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan fokus orangramai terus jadi kabur dengan bom asap yang dilontar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Pilihanraya kecil itu dimana Datuk Seri Wan Azizah Ismail memberi laluan kepada suaminya itu dikira satu keputusan tiba-tiba.Ini kerana sebelum isu dakwaan Saiful tidak timbul satu petanda jelas Wan Azizah nak letak jawatan.
Sebab itu ramai yang beranggapan ia tidak lebih dari usaha untuk melarikan tumpuan dari isu yang sensasi itu.
Juga seperti diduga kempen pilihanraya itu telah dijadikan seolah ‘ mahkamah rakyat’ untuk menghakimkan kes dakwaan itu.
Permatang Pauh adalah kubu kuatnya dan kemenangan di situ nampak semacam rakyat menolak segala dakwaan Saiful dan menerimanya sesucinya.
Namun apa yang membuatkan ramai tertarik ialah drama yang bakal berlangsung semasa kes dakwaan liwat ini mula dibicarakan 8 Julai nanti.
Selain dari usaha-usaha terakhir untuk membatalkan kes itu menerusi proses mahkamah,Anwar sudahpun membawa cerita-cerita sayu beliau dalam ceramah-ceramah politik yang diadakan.
Ini dikatakan untuk mencetuskan simpati orangramai dan memberi persepsi seolah yang beliau sekali lagi ‘ dianiya’.
Berbagai desas desus sudah berlegar termasuk ada yang kata mungkin protes jalanan ala-reformasi akan dibuat semasa kesnya dibicarakan.
Malah ada yang bawa cerita beliau mungkin lari ke luar negara – seperti Raja Petra Kamaruddin – untuk mengelak dibicarakan.
Kata mereka ini bagi mencetuskan suasana ala bekas PM Thailand Thaksin yang terpaksa ‘ bertapa’ di luar negara.
Apapun ini semua hanya desas desus saja.
Pada ketika yang sama ramai tertunggu-tunggu untuk mendengar keterangan Saiful di mahkamah kelak.
Sebagai bekas pembantu peribadi yang pernah ke sana sini termasuk ke luar negara bersama Anwar pasti Saiful ada simpan ' banyak hal' dalam poketnya.
' Banyak hal ’ itu samaada ia ada kaitan dengan dakwaannya atau perkara-pekara sulit lain tentu menarik.
Saiful sendiri nampaknya sudah set untuk mengadap mahkamah pasal dakwaanya.
Apakah ini semua amat merisaukan Anwar?
Betul atau tidak dakwaan Saiful…itu adalah urusan mahkamah untuk tentukan.-24/6/2009
source : www.agendadaily.com
----------------------------------------------
Nasharudin…luka yang tak berdarah
Para wartawan yang bertugas di Parlimen tertunggu-tunggu sepanjang hari Selasa.Ada yang kelihatan mengintai di sana sini.Namum kelibat Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa tidak kelihatan.
Jarang Ahli Parlimen Bachok itu tidak hadir sidang Parlimen selama ini kalau tidak ada urusan rasmi atau parti di luar.Beliau tidak hadir di Parlimen sejak Khamis sehari selepas Datuk Nik Aziz Nik Mat ‘ meletup’ menghentamnya.
Nasharudin dikira antara Ahli Parlimen pembangkang yang disenangi oleh wartawan kerana mudah diminta komen sesuatu isu dan sebagainya.
Beliau juga tidak emosional dan sentiasa cool sekalipun dilontar soalan-soalan yang kritikal dan mencabar.
Sebab itu ada kalangan wartawan yang kata mereka terperanjat melihat cara Nik Aziz dan kalangan pimpinan parti membelasahnya semata-mata kerana terbuka memberi komen mengenai isu idea rundingan perpaduan dengan UMNO yang dibawa oleh Datuk Seri Haji Hadi Awang.
Sebagai ahli politik dan orang nombor dua dalam sebuah parti politik Nasharudin pasti tidak dapat lari bila para wartawan sudah set untuk mengejarnya bagi mendapat ulasan mengenai sesuatu isu.
Sejak beliau kelihatan bersalaman dan mencium tangan Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam pertemuan dengan Musyridul Am PAS yang turut disertai oleh pimpinan PAS lain di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur petang Isnin ,ulasannya sendiri mengenai ‘ perdamaian ‘ itu belum diperolehi.
Ini kerana sidang akhbar itu diadakan tanpa sesi soal jawab.Nik Aziz hanya baca kenyataan ringkas.Itu saja. Beliau pulang sejurus pertemuan itu selesai dan juga tidak hadir semasa mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat yang diadakan malam itu.
Bukan saja wartawan tetapi juga kalangan pemerhati politik merasa tindak tanduk Menteri Besar Kelantan membelasahnya sampai suruh letak jawatan Ahli Parlimen dan masuk UMNO agak terlalu ‘ over ’.
Kalangan penyokong Nasharuddin yang baru saja mempertahankan jawatan Timbalan Presidennya menewaskan orang kanan Nik Aziz iaitu Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu hanya memendam rasa kerana dikatakan malas nak berlaga dengan Tok Guru.
Puak Erdogan dalam parti itu yang menyokong Husam pula dikatakan senyap-senyap bertepuk tangan dan senyum sendiri bila mereka dapat menikmati ‘ balas dendam’ menerusi Nik Aziz.
Semua orang tahu Haji Hadi terpaksa buat seolah beliau tidak pernah cakap soal idea rundingan perpaduan dan sebaliknya tuduh UMNO punya angkara nak pecahkan pakatan pembangkang kerana tekanan hebat dari Nik Aziz,Erdogan dan pimpinan PKR dan DAP.
Media tidak tersilap petik cakap Haji Hadi maupun Nasharuddin.Mereka berdua sendiri tidak pernah kata PAS nak bergabung dengan UMNO dan begitu juga pemimpin UMNO tidak pernah kata bergabung dengan PAS.
Matlamat rundingan perpaduan itu hanya nak cari titik temu hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan Melayu.
Kebimbangan nampaknya begitu menghantui pihak-pihak yang tidak mahu melihat Melayu bersatu langsung.
Tindak tanduk politik mereka untuk memintas idea Presiden PAS itu seuatu yang dijangka.
Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali secara terbuka kata jika Melayu berpadu maka impian Datuk Seri Anwar Ibrahim nak jadi Perdana Menteri pasti berkecai.
Ini kerana PAS menjadi sandarannya untuk sokongan Melayu.
Beliau melihat PAS kini berpolitik bukan lagi berlandaskan agama yang sentiasa dilaungkan di sana sini sebaliknya berpolitik untuk kuasa.
Nasharudin mungkin boleh ‘ menutup ’ fiasco yang dihadapinya dengan orang dalam partinya dan dengan pimpinan PKR dan DAP bila para wartawan mengepungnya kelak namun dari sudut politik sekalipun - luka tidak berdarah - tapi parut polimek itu pasti akan terlihat diraut wajahnya. -24/6/2009
source : www.agendadaily.com
--------------------------------------------------------
PR tolak kerajaan perpaduan kerana takut Anwar: Isa
SHAH ALAM - Veteran UMNO, Tan Sri Isa Abdul Samad menyifatkan penolakan Pakatan Rakyat (PR) terhadap idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana takut kepada Anwar.
Menurutnya, Pas takut untuk menyuarakan dan mempertahankan cadangan mereka memandangkan mesyuarat antara PR itu dipengerusikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam mesyuarat tersebut, Anwar yang mempengerusikannya. Mereka takut untuk bersuara kepada Anwar,” katanya.
Beliau berkata, Pemimpin Pas walaupun merupakan Ahli Majlis Tertinggi dalam komponen PR tetapi dilihat telah dipergunakan oleh PKR dan DAP.
“Jelas, Pas tunduk pada tekanan PKR dan DAP,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan PR yang sebulat suara menolak idea kerajaan perpaduan biarpun hasrat mewujudkan kerajaan perpaduan pada mulanya dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa muktamar Pas ke-55, beberapa minggu lepas.
Dalam pada itu, Isa berkata, tindakan Pas menyalahkan UMNO dalam penolakan ini menggambarkan sikap Pas yang tidak pernah berubah dari mencari salah UMNO dalam setiap apa yang berlaku.
“Pas memang macam tu, dari dulu lagi...mereka tidak pernah akui kesilapan sendiri,” katanya.
Katanya, Pas merupakan parti yang tidak berprinsip dan mereka hanya berpegang kepada prinsip berjuang atas nama Islam dalam meraih sokongan rakyat.
“Mereka tiada prinsip tetapi, satu kelebihan pas...mereka bijak dalam mengelirukan penyokong mereka,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, UMNO sememangnya bersedia dan tidak boleh menolak dalam mengadakan perbincangan dengan Pas mengenai kerajaan perpaduan namun, sebaliknya apabila timbul masalah dalaman dalam Pas, UMNO pula dipersalahkan.
“Kenapa pula UMNO harus dipersalahkan? Bukan kita yang membuat tawaran itu. Inilah Pas. Mereka cari alasan baik dengan menuduh UMNO dan BN,” katanya.
Penolakan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu diumumkan oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas satu pertemuan pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang di Bangunan Parlimen, kelmarin.
source : www.sinarharian.com.my
----------------------------------------
No comments:
Post a Comment