NUFFNANG

Thursday 2 April 2015

Perang baru di Selangor... Khalid Ibrahim vs Azmin bahagian kedua

Perang baru di Selangor... Khalid Ibrahim vs Azmin bahagian kedua

Selangor memerlukan pemimpin baru sekiranya isu penstrukturan industri air di negeri itu masih belum dimuktamadkan, kata bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Khamis.
Ini merupakan serangan pertama yang besar sejak Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menang dalam pergaduhan pertama mereka enam bulan lalu yang menyaksikan Azmin menggantikan Khalid sebagai Dato Menteri Besar.
Sambil mengatakan tempoh "bulan madu"  Azminsudah berakhir, ADUN Pelabuhan Klang itu berkata, isu penstrukturan air perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat Selangor.
"Tempoh bulan madu sudah berakhir malah kita mesti berusaha untuk kita hentikan usaha politik dan menentukan bahawa rakyat mesti diutamakan. Kita tunjukkan pada mereka (rakyat) bahawa kesinambungaan dan usaha kita seperti dijanjikan pada pilihan raya lepas dapat dilakukan.
"Sekiranya masih gagal menyelesaikan perkara ini (penstrukturan industri air), kita kena menerima hakikat bahawa tindakan mesti diambil. Mesti cari kepimpinan yang dapat beri hasil dan kepuasan kepada rakyat. Saya tidak berminat dalam hal kepimpinan ini. Saya minta Dewan bersedia untuk membuat perubahan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan menjunjung titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Khamis.
Menurut Khalid, dakwaan songsang utama adalah kononnya Selangor akan hilang kedaulatan ke atas 26,000 kilometer jajaran tanah di mana terdapat aset berkaitan air seperti paip, loji dan sebagainya yang akan dipindahmilik secara mutlak kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), sebuah agensi Kerajaan Persekutuan sebagai timbal balas bagi dana Kerajaan Persekutuan untuk membiayai pampasan ekuiti bernilai RM2 billion kepada empat syarikat konsesi.
"Hakikatnya, aset berkaitan air termasuk tanah milik kerajaan negeri ini hanyalah akan dipajakkan selama 45 tahun kepada Kerajaan Persekutuan di mana dalam tempoh tersebut, aset air akan dipajak semula kepada Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor), pengendali perkhidmatan air anak syarikat kerajaan negeri dengan kadar sewa pajakan yang akan ditentukan secara sepakat di antara kerajaan negeri dan PAAB.
"Seusai tempoh pajakan tersebut, PAAB akan memulangkan semula semua aset berkaitan air kepada kerajaan negeri selaku pemilik yang sah. Perjanjian pajakgadai ini sebenarnya sama sebagaimana kita saksikan di negeri-negeri yang telah berjaya menyusun semula industri air mereka sebelum ini seperti Pulau Pinang, Perlis, Perak, Negri Sembilan, Melaka dan Johor." ujar beliau.

Kata Khalid, wujud dakwaan serong yang mempertikaikan keupayaan Kerajaan Persekutuan menyempurnakan penstrukturan semula industri air Selangor memandangkan kedudukan fiskalnya sekarang yang Dato' Menteri Besar sifatkan sebagai "hampir bankrap" dan juga cubaan mengaitkan dengan  timbunan hutang  yang dialami oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya menganggap dakwaan terbaharu ini agak melucukan kerana hakikatnya penstrukturan semula industri air negeri tiada kaitan sama sekali dengan semua ini kerana ia telah termaktub dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA atau Akta 655).
"Saya menyeru Dato' Menteri Besar agar menghentikan serta-merta sifat berdolak-dalik dan cubaan mempolitikkan semua isu berkaitan industri perkhidmatan air ini di samping memberi komitmen bahawa kerajaan negeri akan memenuhi kesemua terma dan syarat yang telah digariskan dalam Perjanjian Utama." katanya.


Azmin menggantikan Khalid sebagai MB enam bulan lalu selepas Khalid kehilangan majoriti sokongan ADUN berikutan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Kajang Move.-2/4/2015
Source : agenda daily

No comments: