NUFFNANG

Sunday 26 April 2009

YAB Dato Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir dan enam Exco lawan YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu

YAB Dato Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir dan enam Exco lawan YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu

KUALA LUMPUR, 22 April – Berikutan pelbagai spekulasi yang dibuat apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan penggantungan YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco Kerajaan Negeri Perak oleh Speakernya, V. Sivakumar adalah batal dan tidak sah, berikut adalah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Datuk Hafarizam Harun, selaku Penasihat Undang-undang UMNO/Ketua Pasukan Undang-undang.

Kenyataan Rasmi

A. Pengenalan

Sejak daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April 2009, banyak telah diperkatakan di dalam blog dan laman web tentang kesan atau impak terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam Notis Usul 06-04-2009 (A) antara YAB Dato Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir dan enam Exco lawan YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu (dituntut selaku Yang DiPertua, Dewan Negeri Perak) yang terbaru adalah di dalam laman http://www.harakahdaily.net/ oleh Saudara Hanipa Maidin, Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat pada April 20, 2009.

Justeru itu, saya selaku Ketua Pasukan Undang-undang yang bertanggungjawab di dalam kes di atas merasakan perlu saya berikan penjelasan sebaliknya dan menyerahkan kepada pembaca sekalian untuk membuat kesimpulan sewajarnya.

B. Latar Belakang Kes Mahkamah Tinggi Ipoh Saman Pemula No: 24-247-2009

Tindakan Saman Pemula ini telah difailkan pada 2hb Mac 2009 (tindakan pertama). Antara deklarasi yang dipohon adalah seperti yang tertera di dalam LAMPIRAN 1.

C. Kes Mahkamah Persekutuan Notis Usul No. 06-04-2009(A) di Putrajaya

Terdapat 11 permohonan yang dipohon oleh YAB Menteri Besar Perak dan enam Exconya. Bagi mendapat kata putus kepada tindakan di atas, kami telah failkan suatu permohonan di bawah Artikel 63 Perlembagaan Negeri Perak yang bermaksud seperti di bawah:

“Without prejudice to any appelate or revisional jurisdiction of Federal Court, where in any proceedings before another Court, a question arises as to the effect of any Article in the Laws of tahe Constitution or any part thereof, the Federal Court may, on the application of either party to the proceedings, determine that question and either dispose of the case or remit it to the other Court to be disposed of in accordance with the determination.”

Ianya telah didengar oleh Mahkamah Persekutuan daripada 13hb hingga 14hb April dan keputusan diberikan pada 16hb April. Berikut adalah (LAMPIRAN 2) persoalan undang-undang yang telah dijawab secara positif oleh Mahkamah Persekutuan, iaitu soalan (i) dan (ii) Lampiran A kepada LAMPIRAN 2 di sini.
Pada hari yang sama juga, (16 April 2009) Mahkamah Persekutuan telah membuat perintah-perintah berikut terhadap tindakan pertama kami iaitu memberikan perisytiharan bahawa;

a. Keputusan Defendan Pertama (YB Sivakumar) menggantung dan melarang Plaintif Pertama hadir pada sidang Dewan Negeri selama 18 bulan adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah; dan

b. Keputusan Defendan Pertama (YB Sivakumar) menggantung dan melarang Plaintif ke-2 sehingga ke-7 menghadiri sidang Dewan Negeri selama 12 bulan adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.

Berdasarkan kepada perintah-perintah peristiharan di atas, saya menyatakan bahawa YAB MB Perak dan enam Exconya layak hadir ke sidang Dewan Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung pada 7hb Mei 2009 atas alasan-alasan berikut:

i. Perintah-perintah yang diperolehi adalah muktamad dan tiada lagi ruang untuk merayu.

ii. Jikalaupun tidak mendapat keseluruhan permohonan di dalam tindakan pertama, sila lihat Lampiran A kepada LAMPIRAN 2, yang pentingnya di sini ialah persoalan kesahihan penggantungan terhadap YAB MB Perak dan enam Exconya telah dijawab secara positif oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia ia tidak sah dan terbatal;

iii. Dalam ertikata lain, lain-lain permohonan (prayers) di dalam tindakan pertama hanyalah bersifat bersampingan (consequential). Yang pentingnya, seperti saya tegaskan tadi, adalah apa yang telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan.

Berkenaan pendapat Saudara Hanipa bahawa Peguam UMNO telah salah memilih prosedur, iaitu perlu melalui semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan bukannya Saman Pemula, ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam bantahan awal peguam YB Sivakumar bahawa tindakan pertama (iaitu melalui Saman Pemula) adalah betul dan wajar. Tambahan lagi, apa yang dipohon adalah deklarasi hak-hak (declaration of rights) oleh YAB MB Perak dan enam Exconya.

Isu keputusan YB Sivakumar selaku Yang DiPertua patut dipadam oleh Mahkamah (quasued by the court) tidak timbul (non-issue) kerana ianya dibuat secara berseorangan (unilateral) dan bukannya di dalam sidang sah Dewan Negeri Perak. Sila lihat LAMPIRAN 3 iaitu kenyataan akhbar YB Sivakumar. Jelas perkataan yang dibuat adalah “Saya telah membuat keputusan....”

Begitu juga surat-surat pemberitahuan di dalam LAMPIRAN 4, semuanya jelas menggunakan perkataan “...kuasa saya....” Ini pada hemat saya penggunaan kuasa secara berlebihan (excess use of powers) oleh YB Sivakumar dan tidak mengikuti lunas undang-undang.

D. Apakah yang dikatakan suatu penghinaan (contempt) yang kononnya dilakukan oleh YAB MB Perak dan Enam Exconya sehingga ianya digantung oleh YB Sivakumar?

Jikalau dilihat Saman untuk hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Kebebasan (Rights and Privileges Committee) yang dikeluarkan oleh YB Sivakumar, selaku Yang DiPertua Dewan Negeri Perak, iaitu LAMPIRAN 5 (untuk YAB MB Perak) dan LAMPIRAN 6 (untuk Enam Exconya), ianya dikatakan suatu penghinaan (contempt) kerana:

(a) Untuk YAB MB Perak (LAMPIRAN 5)

“(i) Bahawa bertentangan dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak kamu telah dan masih secara salah menjawat diri kamu sebagai Menteri Besar;

(ii) Bahawa kamu telah menyalahi undang-undang dengan membentukkan suatu Majlis EXCO walaupun wujudnya sebuah EXCO yang dilantik secara sah, yang mana ahli-ahlinya tiada meletakkan jawatan ataupun dihentikan perlantikan mereka di bawah Undang-undang Tubuh Perak;

(iii) Bahawa kamu dan yang lain telah secara salah menduduki dan mengambil milikan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan oleh itu adalah penceroboh;

(iv) Bahawa tindakan kamu membentuk suatu penghinaan Dewan Negeri kita yang mulia dan menghalang perjalanan lancar dan fungsinya;

(v) Bahawa tindakan menghina oleh kamu telah memalukan YB Menteri Besar, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ahli-ahli Majlis EXCO dan membendung mereka daripada menjalankan dan melaksanakan tugas-tugas mereka;

(vi) Bahawa tindakan yang menghina oleh kamu adalah kelakuan tak senonoh sebagai seorang ahli Dewan Negeri kita yang mulia ini adalah bertentangan Perintah-Perintah Tetap, Undang-Undang Tubuh Perak dan Rukun Negara, khasnya, Rukun No. 5 Kesopanan Dan Kesusilaan;

(vii) Bahawa tindakan tak senonoh kamu telah mencemar nama baik Dewan Undangan kita yang mulia ini dan membawa kehinaan, cemuhan, kebencian dan keaiban kepada Dewan;

(viii) Bahawa tindakan tak senonoh kamu bermaksud suatu kelakuan rasuah, derhaka, pengaruh tak wajar, biadap dan pemerintahan buruk.”

(b) Untuk Enam Exco Perak (LAMPIRAN 6)

“ (i) Bahawa bertentangan dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kamu telah dan masih secara salah menjawat sebagai ahli EXCO;

(ii) Bahawa kamu telah menyalahi undang-undang dengan membentukkan suatu Majlis EXCO walaupun wujudnya sebuah EXCO yang dilantik secara sah, yang mana ahli-ahlinya tiada meletakkan jawatan ataupun dihentikan perlantikan mereka di bawah Undang-Undang Tubuh Perak;

(iii) Bahawa kamu dan yang lain telah secara salah menduduki dan mengambil milikan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan oleh itu adalah penceroboh;

(iv) Bahawa tindakan di atas membentuk suatu penghinaan Dewan Negeri kita yang mulia dan menghalang perjalanan lancar dan fungsinya;

(v) Bahawa tindakan menghina oleh kamu telah memalukan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ahli-ahli Majlis EXCO dan membendung mereka daripada menjalankan dan melaksanakan tugas-tugas mereka;

(vi) Bahawa tindakan yang menghina oleh kamu adalah kelakuan tak senonoh sebagai ahli Dewan Negeri kita yang mulia ini dan adalah bertentangan Perintah-Perintah Tetap, Undang-Undang Tubuh Perak dan Rukun Negara, khasnya, Rukun No. 5 Kesopanan Dan Kesusilaan;

(vii) Bahawa tindakan tak senonoh kamu telah mencemar nama baik Dewan Undangan kita yang mulia ini dan membawa kehinaan, cemuhan, kebencian dan keaiban kepada Dewan.”

Persoalan pokok di sini ialah bukankah DYMM Paduka Seri Sultan telah perkenan mengadap dan mengangkat sumpah jawatan YAB MB Perak pada 6hb Februari 2009 manakala enam Exco pada 10hb Februari 2009. Jika menerima perlantikan jawatan YAB MB Perak dan Exco adalah suatu penghinaan (contempt) kepada Dewan Negeri, tidak menerimanya pula adalah suatu penderhakaan (traitor) terhadap kuasa mutlak DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

Kesimpulan saya daripada di atas adalah berikut:

(i) Oleh kerana pihak pembangkang mengakui prinsip ketidakbolehan cabaran (non-justiciability) kuasa DYMM Paduka Seri Sultan melantik Menteri Besar dan barisan Exconya, YAB MB Perak dan Enam Exconya telah dijadikan mangsa serangan (obvious target);

(ii) Ianya adalah serangan secara pintu belakang (back door challenge) disebabkan prinsip ketidakbolehan cabaran (non-justiciability); dan

(iii) Suatu lagi contoh penggunaan kuasa secara keterlaluan oleh YB Sivakumar selaku Yang Dipertua Dewan Negeri Perak tanpa mengambil kira prinsip pecahan kuasa iaitu DYMM Paduka Seri Sultan Perak selaku Ketua Negeri dan di bawahnya adalah Badan Legislatif dan Eksekutif.

E. “Mesyuarat bawah pokok” – tidak sah

Adalah mengelirukan pada hemat saya, apabila Saudara Hanipa mengatakan bahawa penggantungan YAB MB dan Enam Exconya telah diterima (endorsed) di sidang bawah pokok kerana alasan-alasan berikut:

(i) Perintah Tetap 10, Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan (LAMPIRAN 7) jelas mewajibkan perisytiharan DYMM Paduka Seri Sultan di dalam warta;

(ii) Mesyuarat bawah pokok pada 3hb Mac 2009 tidak mendapat perkenan, tiada perisytiharan DYMM Paduka Seri Sultan dan diwartakan; dan

(iii) Ketiga-tiga mesyuarat di dalam Penggal yang terdahulu, yang terakhir berakhir pada 13hb November 2008, mempunyai perisytiharan DYMM Paduka Seri Sultan dan diwartakan. Ianya telah diikuti secara ketat oleh YB Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Ahmad Jamaludin sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Perak.

F. Kesimpulan

Adalah hujahan saya bahawa perintah Mahkamah Persekutuan yang diperolehi pada 16hb April 2009 adalah konklusif dan tidak boleh dipertikaikan. Ianya juga bukan akademik semata-mata tetapi menjawab persoalan kepada tindakan pertama dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

No comments: