NUFFNANG

Tuesday 4 March 2014

PKR Beri Amaran Supaya PAS Tidak Tuntut Jawatan MB Selangor

PKR Beri Amaran Supaya PAS Tidak Tuntut Jawatan MB Selangor

SHAH ALAM: PAS sepatutnya bertolak ansur serta memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Selangor seperti mana dilakukan PKR di Perak selepas pilihan raya umum 2008.
Ini kerana jelas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Shuhaimi Shafie, PKR tidak membantah sebaliknya bersetuju wakil PAS dilantik sebagai Menteri Besar Perak menambah perkara sama perlu dilakukan di Selangor.
Beliau menambah jumlah kerusi diperoleh komponen Pakatan Rakyat tidak sepatutnya menjadi kayu ukur dalam pelantikan jawatan Menteri Besar Selangor yang kini disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim buat penggal kedua.
“Kita juga boleh menamakan calon daripada PKR di Perak pada 2008 kalau sekiranya kita berhajat untuk mengambil alih jawatan menteri besar.
“Walaupun jumlah bilangan kerusi di Perak waktu itu PKR sepatutnya diberi ruang menjadi menteri besar tetapi kita tidak menuntut kerana kita yakin kepada kemenangan kita di negeri-negeri di Malaysia ini atas semangat berpasukan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
Polemik jawatan Menteri Besar Selangor timbul selepas dikatakan Abdul Khalid yang dikekalkan kerusi itu bagi penggal kedua sejak 2008 akan melepas jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar sekiranya Ahli Parliman Permatang Pauh itu memenangi kerusi DUN Kajang pada 23 Mac ini.
Namun PAS Selangor memberikan respons negatif apabila tidak bersetuju dengan perkara itu selain bersedia untuk menamakan wakil parti itu mengisi jawatan Menteri Besar sekiranya peralihan kuasa berlaku.
Konsensus Pakatan selepas mempertahankan kemenangan di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bersetuju mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar walaupun yang memperoleh 15 kerusi berhak menuntut jawatan itu.
PAS punca PKR gagal menang banyak kerusi
Jelas Shuhaimi lagi, PAS perlu menjadikan peristiwa di Perak sebagai panduan yang mana persetujuan diberikan kepada PAS yang memperoleh bilangan kerusi terendah berbanding PKR.
Selain itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda ini turut menegaskan PAS perlu dipersalahkan sambil menyifatkan parti berteraskan Islam itu sebagai punca PKR gagal memperoleh kemenangan lebih banyak.
“Jadi atas semangat itulah maka kita akan terus menerajui negeri Selangor kerana walaupun kekurangan kerusi sebanyak satu kerusi tetapi tanggungjawab harus diberikan kepada PAS bila mana kita kehilangan satu kerusi di Kota Damansara dan Semenyih.
“Perkara yang sama juga berlaku di Sungai Acheh dan perkara-perkara ini kita seru kepada rakan-rakan untuk kita istiqamah sedikit, tawaduk dalam perjuangan dan tidak semestinya berada di kedudukan selaku menteri besar PAS akan dihormati,” katanya.
Untuk rekod, keputusan pilihan raya umum 2008 menyaksikan kerjasama PAS-PKR-DAP berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Barisan Nasional (BN) apabila memperoleh 31 kerusi berbanding 28 yang dimenangi BN yang memperuntukkan sebanyak 59 kerusi negeri.
Pelantikan Menteri Besar Perak menyaksikan bekas Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik mengisi jawatan itu dengan persetujuan PKR dan DAP walaupun masing-masing mempunyai bilangan kerusi yang lebih banyak.
PAS berjaya sebab bantuan PKR dan Anwar
Menurut Shuhaimi yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor, PAS tidak akan memperoleh bilangan kerusi yang banyak tanpa bantuan komponen Pakatan selain dokongan daripada pengundi bukan berbangsa Melayu.
“Tidak semestinya, bahkan kalau mereka tidak menuntut kerusi itu dan jadi seperti PKR di Perak pada 2008 kita jauh lebih dihormati.
“Semangat tolak ansur ini perlu dalam politik Malaysia, kita kena terima hakikat bahawa PAS berjuang lebih daripada 50 tahun tetapi hanya mampu mengambangkan sayapnya di peringkat Pantai Timur.
“Apabila mereka bersama dalam Pakatan Rakyat khususnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gelombang itu telah mengembangkan pengaruh mereka bukan sahaja terhad di negeri-negeri Pantai Timur tapi juga sudah melebar sehinggalah ke pantai barat, utara dan selatan,” katanya.
Justeru beliau mengingatkan pimpinan PAS agar menghargai kerjasama yang terjalin sejak 2008 yang memperlihatkan parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang melebarkan sayapnya di seluruh pelosok negara.
“Inilah sebenarnya yang harus diterima dan diakui oleh PAS, kita tidak boleh mengambil pendirian atau pendekatan di Selangor bahawa kita ada 15 kerusi maka PAS selayaknyab diangkat sebagai menteri besar.
“Mungkin boleh dipertimbangkan dari sudut itu tetapi dari segi politiknya yang membantu berikan kemenangan kepada PAS di Selangor bukanlah kekuatan PAS semata-mata tapi kerana dokongan masyarakat Cina, India dan juga dokongan daripada PKR,” katanya.
Pada pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan, PKR yang meletakkan Anwar sebagai calon bakal berdepan cabaran daripada Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili BN dan kemungkinan besar bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding sebagai calon Bebas.
Kemenangan Anwar akan menyaksikan kemungkinan bekas timbalan perdana menteri itu pmenggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang dibantah beberapa pemimpin PAS.
PAS diingat belajar daripada kesilapan
Ujar wakil rakyat penggal kedua ini lagi, PAS perlu terus memberi mandat serta laluan kepada PKR untuk mentadbir Selangor walaupun peralihan kuasa berlaku.
“Kita tolong-menolong dan bantu-membantu untuk kemenangan bersama, PAS sudah ada Kelantan dan Pulau Pinang sudah dimiliki oleh DAP.
“…jadi tidak ada celanya sekiranya PAS berbesar hati meneruskan Selangor dipimpin oleh PKR dan terus diberikan mandat selaku menteri besar,” katanya.
Selain itu, Shuhaimi turut menasihatkan pemimpin PAS agar belajar daripada kesilapan yang berlaku di Kedah, Terengganu dan Perak yang gagal dipertahankan parti itu.
“Jadi dalam soal ini saya minta pemimpin PAS harus belajar daripada kesilapan yang berlaku di Kedah, Terengganu bahkan di Perak sendiri.
“Ini adalah kesilapan-kesilapan yang saya fikir cuba untuk diatasi oleh PKR kerana kita tidak mahu disebabkan satu dua perkara yang tidak dilihat selesai secara muktamad akhirnya menjadi barah dan menyebabkan kita kehilangan negeri seperti mana yang berlaku di Kedah,” katanya.
Pada pilihan raya kecil kali ini, Anwar dilihat sebagai calon bertaraf ‘menteri’ yang sukar ditumbangkan malah imejnya di kalangan penyokong Pakatan serta rakyat disegani.
Namun pemerhati melihat apa yang boleh menggugat keputusan pilihan raya kecil itu adalah tindakan Chin Cheh yang secara tiba-tiba meletakkan jawatan itu dianggap banyak pihak mengkhianati kepercayaan diberikan oleh rakyat bagi membolehkan beliau diberi mandat pada PRU13 lalu.
Seramai 38,297 orang pengundi akan terlibat dalam pilihan raya kecil DUN Kajang yang terdiri dari 38,055 pengundi biasa, 1,197 pengundi awal dan 26 orang pengundi tidak hadir luar negara -Antarapos

source : aidc

No comments: