NUFFNANG

Monday 3 March 2014

Nakhaie : Anwar & Kassim Ahmad Sama Sahaja

Nakhaie : Anwar & Kassim Ahmad Sama Sahaja

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh diibaratkan sebagai “mengata dulang paku serpih” apabila mengkritik bekas pemimpin sosialis, Dr Kassim Ahmad yang cuba mengembangkan fahaman anti-hadis, kata bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaei Ahmad.
Malah, katanya, Anwar yang mendokong ideologi liberalisme yang ‘mempromosikan’ falsafah semua tradisi keagamaan adalah setaraf, sebenarnya adalah sama dengan Kassim yang menyanjung ideologi Marxisme.
“Anwar Ibrahim sama saja dengan Kassim Ahmad, mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Bezanya Anwar dari golongan liberal, (manakala) Kassim dari golongan Marxisme,” kata beliau.

“Golongan Marxis apabila mereka kecundang iaitu (dengan) gagalnya empayar Soviet yang cuba menerapkan teori Marxis di kalangan orang Islam cuba beralih kepada agama dan mentafsirkan agama mengikut pandangan Marxis.
“Keduanya itu sama ada liberalisme atau Marxisme adalah anti-Islam dari dulu. Mereka cuba menggugat Islam dari dalam Islam sendiri setelah mereka tak berjaya membawa slogan masing-masing,” katanya kepada Antarapos.
Anwar dalam kempennya di Kajang baru-baru ini membidas kerajaan yang didakwanya sengaja melengahkan tindakan terhadap Kassim walaupun pandangannya bertentangan dengan Islam.
“Siapa yang jelas menentang prinsip Islam? Mana dia Ustaz Umno? Mana dia NGO pro Umno? Jelas ini adalah alat politik Umno. Orang seperti inilah dijaja dan diangkat Umno,” kata Anwar.
Mengulas perkara itu, Nakhaie berkata, ucapan Anwar yang cuba mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai menyokong Kassim, sebenarnya mmenghasut masyarakat supaya membenci mantan Perdana Menteri itu.
“Dia (Anwar) cuba nak menarik perhatian orang ramai supaya membenci Dr Mahathir, padahal Dr Mahathir tak mendokong pemikiran Kassim.
“Padahal dalam ucapan sewaktu di seminar itu, Dr Mahathir terang-terangan mengatakan banyak perkara yang beliau tak setuju dengan Kassim, dan Kassim pun ada yang tidak setuju dengannya. Tapi biarlah kita menghadapi perbedaan ini dengan hujah yang kuat, bukan dengan cara menggertak,” katanya mengimbas ucapan Dr Mahathir ketika itu.
Nakhaei menambah, dalam menghadapi situasi seperti ini, pihak berwajib khususnya badan agama sewajarnya mengambil pendekatan serius untuk membetulkan keadaan dan menyuburkan kefahaman di kalangan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan penyebaran ideologi sedemikian.
“Pejabat agama, ada banyak dana, suburkanlah budaya ilmu, suburkanlah budaya kajian dan penyelidikan.. keluarkanlah kajian di universiti, cetak dan kemudian sebarkan.. Duit zakat pun banyak.
“Hidupkanlah budaya ilmu. Ini salah saja mahu dipenjara.. bukan saya ini anti-penjara..tidak.. Tapi kenalah ikut keadaannya, kena ada wacana ilmu. Banyakkan buku ilmiah supaya apa-apa isu yang timbul, ada warisan ilmu yang kita tinggalkan kepada masyarakat,” katanya – Antarapos

source : aidc

No comments: