NUFFNANG

Friday, 11 April 2014

#MH370 MYSTERY ... Misteri MH370 : 30 Hari Selepas Musibah (Episod ke-4)

Misteri MH370 : 30 Hari Selepas Musibah (Episod ke-4)

Dunia terus dihimpit bagi mencari makna di sebalik makna - mengapa "mereka" mahu MH370 dihilangkan. Di sebalik takdir ini terdapat hujah sebab dan musababnya. Kebanyakan daripada kita, sama ada disedari atau pun tidak, sudah menjadikan diri kita sebahagian daripada plot konspirasi MH370. 

Golongan ini bersama-sama mengimarakkan plot misteri yang sedia, bahkan cuba menjadi pelengkap kepada plot yang sudah dihidangkan. Salah satu teknik bagi memperkukuhkan plot sesuatu konspirasi adalah dengan membiarkan orang ramai membina plot konspirasi mereka sendiri - untuk tujuan melalaikan mereka daripada memberi fokus kepada tujuan dan agenda utama mengapa konspirasi tersebut harus dilakukan. Agak lucu tatkala berita kehilangan MH370 disebarkan ke seluruh pelusuk dunia - maka secara tiba-tiba, berlumba-lumbalah sang pelipulara menghiasai tragedi tersebut dengan mitos dan dongeng - kononnya "signal" tragedi yang menimpa pesawat tersebut sudah ditemui seawal tahun 2009 lagi!

Wah! jika begitu hebat para penganalisis konspirasi tersebut menemui petandanya, mengapa tidak sahaja dikecoh dan didedahkan lebih awal bagi menyelamatkan keadaan? Ternyatalah bahawa salah satu lagi ciri konspirasi adalah - plot ceritanya akan dihamparkan kepada kita melalui sumber yang kita sendiri tidak ketahui asalnya dan siapakah pula yang mengaitkan dari satu plot ke satu plot yang lain? - dan kemudian disambung oleh masyarakat awam bagi menghangatkan lagi keadaan. Tanpa disedari - kita dilalaikan dengan "hiburan" plot-plot yang merapu kononnya semua itu adalah "alamat" awal sebelum berlakunya tragedi MH370. Dan akhirnya kita melupakan tanggungjawab asal kita untuk mencari mesej tersirat serta agenda jahat "mereka". Lantas kita pun dibuai mimpi harapan dengan lirik lagu 'GET IT STARTED' nyanyian Pitbull dan Shakira dengan bait-bait indah berbunyi, 

 “No Ali, no Frasier, but for now it's off to Malaysia”, 
“Two passports”, “Three cities”, 
“Two countries, one day” 
and “Now that’s worldwide”.

Kita pun bersama-sama terlopong dan percaya kononnya kita sudah mendapat petunjuk angkara siapakah yang menghilangkan MH370 ini. Kita pun terus hamparkan satu demi satu "petunjuk" konspirasi yang kononnya akan memberi jawapan apakah yang sebenarnya berlaku ke atas MH370. Namun demikian, lagi dicari dan ditemui, lagi banyak kekeliruan daripada jawapan dan akhirnya ia menjadi satu plot mengarut serta tidak ubah sekadar hiburan. 

Dan plot-plot konspirasi "hiburan" yang dihidangkan kepada kita saban hari ini tidak jauh bezanya dengan menonton sebuah filem yang melalaikan, tiada memberi faedah selain ia terus tergantung dan tiada arah - Nah, sekarang kita dihamparkan kononnya terdapat bukti bahawa MH370 sudah diklon oleh pihak Israel dan klon pesawat tersebut sudah lama berada di lapang terbang Tel Aviv - namun sehingga kini tiada sesiapa pun yang boleh mengesahkan bahawa cerita itu adalah sahih dan tindakan segera akan diambil ke atas Israel - soalnya siapakah yang sengaja mencipta plot ini? Dan kemudian kita sambung ceritanya dengan plot-plot hiburan yang lain? Kita dilalaikan dengan satu plot demi satu plot, sehingga kita lupa yang sepatutnya kita analisis adalah tujuan mengapa "mereka" melakukan konspirasi tersebut, agar kita tidak leka dan sentiasa berwaspada dengan gerak-geri mereka.

Belum pun habis plot klon MH370 sudah berada di Tel Aviv, kita disogokkan pula dengan plot kononnya MH370 sudah didaratkan di lapangan terbang rahsia tentera AS di Pulau Diego Gracia. Kemudian kita dihiburkan pula dengan plot bahawa klu kehilangan MH370 sudah tertera di dalam filem Transformers 2 : Revenge of The Fallen (2009) melalui gambar yang menunjukkan kehancuran di China tetapi terpampang logo MAS (Malaysia Airlines) dari arah bertentangan  dan yang terbaru di dalam filem Superman (Man of Steel) yang disiarkan pada tahun lalu. Kononnya klu yang mereka peroleh antaranya ialah pada atas bas yang tertera tulisan MIA6370, kemudian mesin 'world engine' yang terletak pada kedudukan MH370 mulai menghilang. Seterusnya, perihal simbol TRIDENT (tombak mata 3) yang ada pada logo MAS (jika di terbalikkan). 

Semua plot ini adalah mengarut - kalau benar mengapa mereka tidak menjumpai klu ini lebih awal dan mengapa selepas MH370 hilang baru berlambak-lambak plot hiburan ini keluar? Dan yang lebih penting apakah faedahnya yang kita peroleh daripada plot-plot tersebut - ia hanya sekadar mengesahkan sesuatu konspirasi sudah terjadi cuma matlamatnya belum tercapai, soalnya apakah agenda disebalik semua itu dan apakah langkah susulan yang patut kita ambil bagi menghalang agenda dan matlamat jahat mereka itu? Mengapa agenda jahat mereka tidak diperdebatkan secara tuntas? Sebaliknya kita dilalai pula dengan plot-plot hiburan yang akhirnya tidak memberi apa-apa makna? Sebenarnya tanpa kita sedar, kita telah "dilayarkan" begitu jauh bagi melupakan agenda sebenar mereka.

Lebih malang lagi, ada yang tergamak yang membuat plot-plot khurafat dengan menghitung-hitung nombor dan urutan peristiwa kononnya sudah terdapat "tanda" awal berkenaan kemalangan MH370 bilakah ia akan berlaku. Yang terkini - satu lagi plot konspirasi muncul, kali ini melalui lidah Daily Star sebuah akhbar dalam talian dengan berita yang lebih hebat berbunyi "Mereka masih hidup! MH370 telah dirampas dan dilarikan ke Afghanistan berhampiran sempadan Pakistan" Mereka mendakwa kononnya sumber tersebut datangnya daripada FSB (badan perisikan Rusia) dan yang lebih ajaib berita tersebut turut menyatakan bahawa semua penumpang masih hidup dan mereka telah dibahagikan kepada 7 kumpulan serta hidup dalam pondok tanah dengan hampir tiada makanan. Seperti yang saya jelaskan, plot-plot konspirasi hiburan ini tidak akan berhenti, sehinggalah kita menjadi muak dan akhirnya melupakan hakikat agenda sebenar mereka. Inilah yang mereka inginkan - dan jangan terkejut jika semua plot ini telah disediakan lebih awal dan hanya menanti masa untuk dikeluarkan sedikit demi sedikit bagi mengaburi mata kita semua.

Hal ini sebenarnya sama sahaja dengan konsep mati - kita tahu semua manusia akan mati, tetapi kita tidak tahu bila, namun demikian "signal" mati akan sampai kepada sesiapa yang dipilih oleh Allah, umpamanya kita disedarkan oleh Allah dengan usia yang semakin meningkat atau uban di rambut yang semakin lebat - itu semua signal untuk mengingatkan kita terhadap kematian yang pasti tiba - kita diminta untuk banyak mengingati mati agar kita menyediakan sebanyak mungkin bekalan amalan dan bukan untuk membincangkan bagaimana dan "tanda-tanda" sebelum seseorang itu mati. Yang seharusnya kita fikir dan bincangkan adalah apakah pengajaran yang sepatutnya kita ambil daripada setiap kematian yang kita dengari?

Dalam kesibukan kita membaca plot-plot konspirasi yang penuh dengan hiburan, di sana kita terlupa bahawa sejarah telah mula berulang. Jika Kerajaan Melayu Melaka menjadi lebih kuat selepas mendapat naungan China. Kini, kitaran sejarah silam itu, seolah-olah mula menarik perhatian para pengkaji. China telah menjadi  rakan dagang yang terbesar bagi Malaysia dalam tempoh empat tahun berturut-turut. Malaysia pula merupakan rakan dagang yang terbesar bagi China dalam kalangan ASEAN bagi tempoh lima tahun berturut-turut. Manakala jumlah perdagangan dua hala mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu AS$106 bilion pada tahun 2013. Malaysia menjadi negara ketiga di Asia yang jumlah perdagangan tahunannya dengan China mencecah AS$100 bilion selepas Jepun dan Republik Korea. 

China dan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Pertukaran Mata Wang yang bernilai 180 bilion yuan RMB, sekali gus meletakkan jaminan yang kukuh kepada kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Di samping itu, jumlah pertukaran lawatan antara warga China dan Malaysia telah mencecah dua juta orang dalam tempoh tiga tahun berturut-turut. Kini, jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran antara satu sama lain pula mencecah 15,000 orang. Kerjasama antara China dengan Malaysia telah mencapai permuafakatan bestari.

Inilah sebahagian kecil plot yang sahih bagi mencari punca mengapa MH370 hilang di Samudera Hindi - ada pihak yang sudah lama menghidu bahawa sejarah dan realiti semakin bersatu. Sesuatu harus dilakukan bagi mengganggu proses kebangkitan sejarah lama yang boleh mengubah iklim ekonomi dan ketenteraan di rantau Asia Tenggara - sekiranya penaung sudah muncul, maka yang dinaung akan mula bangkit dan di sana ada Selat Melaka - pintu lama kejayaan silam yang mungkin menjadi senjata baharu kepada sesiapa yang tahu menggunakannnya.

Ikuti sambungan kisah ini dalam episod akan datang, Misteri MH370 : Ronin Lautan Hindi
source : azli shukri

No comments: