NUFFNANG

Monday 7 April 2014

#MH370 MYSTERY ... MH370 : Anwar Ibrahim Sembunyikan Maklumat ?

MH370 : Anwar Ibrahim Sembunyikan Maklumat ?

Abdul Rahman Malik – Sudah tentu banyak yang diketahui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahimberhubung misteri kehilangan pesawat MAS MH370 sejak sebulan lalu sehingga berani memberitahu media asing bahawa masih ada lagi maklumat yang disorok oleh kerajaan.
Justeru demi ketelusan, sebagai seorang pembangkang yang bertanggungjawab, sewajarnya Anwar tidak perlu gusar dan tidak perlu teragak-agak untuk menghebahkan apakah maklumat-maklumat yang diketahuinya sudah dan sedang disembunyikan pemerintah Malaysia.
Ini kerana, bukan sahaja rakyat Malaysia, malah semua warga dunia ingin tahu apakah yang sebenarnya berlaku kepada pesawat malang berkenaan. Jika tidak nanti pihak akan dituduh menyembunyikan maklumat ialah Anwar sendiri.
Jika hanya menebarkan dakwaan bahawa sepatutnya sistem radar jenis Marconi yang dibeli ketika beliau menjadi Menteri Kewangan hampir dua puluh tahun lalu itu adalah mampu mencerap dan mengesan apa terjadi pada MH370 adalah tidak memadai.
Apakah yang hendak dibidas Anwar itu ialah kegagalan sistem radar yang dia sendiri luluskan pembeliannya mencerap maklumat MH370 pada hari malang 8 Mac lalu kerana peralatan berkenaan gagal berfungsi?
Atau, adakah kegagalan Anwar mahu mengatakan bahawa ini berpunca daripada kelalaian manusia? Maka atas sebab itu, Anwar mahu meletakkan kelemahan itu bulat-bulat ke atas bahu kerajaan?
Jika demikian apakah sudah jadi dengan penyenggaraan sistem radar yang beliau sendiri luluskan pembelian dahulu? Apakah dalam kontrak jual-belinya dengan syarikat Marconi tidak ada perjanjian penyenggaraan yang perlu dibuat terhadap peralatan radar berkenaan?
Jika sebaliknya ia berpunca daripada kelalaian atau ketidakcekapan pengendali sistem radar berkenaan, adakah Anwar sebenarnya mengalamatkan kesalahan kehilangan MH130 ke atas pihak penguasa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)?
Sebagai seorang yang mendakwa pejuang kebenaran, Anwar perlu bersikap jujur. Beliau juga perlu ikhlas memberitahu umum, maklumat apakah yang cuba disorok oleh kerajaan? Oleh kerana ini membabitkan kepentingan awam, maka Anwar wajib berkongsi maklumat apa yang diketahuinya dengan rakyat.
Anwar tidak boleh bersikap “lempar batu sembunyi tangan” dengan membuat tuduhan melalui media antarabangsa tanpa menjelaskan perkara apa dan maklumat apa yang cuba disembunyikan kerajaan.
Jika Anwar jujur dan bersikap intelek, tentu beliau tahu bahawa rakyat sudah bijak menilai. Bila berlaku tragedi ini, baru rakyat Malaysia sedar bahawa negara mempunyai ramai pakar penerbangan, teknologi satelit, kajian kelautan, aeroangkasa dan sebagainya.
Lantas jika Anwar boleh membantu rakyat dengan menjuruskan tuduhannya kepada maklumat mana dan apa yang menyebabkan kehilangan MH370 yang disorokkan kerajaan, sudah rakyat boleh berikhtiar sendiri untuk menimba pengetahuan pakar-pakar pelbagai ilmu penerbangan tempatan.
Selepas itu izinkanlah rakyat sendiri memutuskan sama ada dakwaan Anwar itu berasas atau tidak. Jika terbukti ada “kecurangan” di pihak kerajaan dalam menangani misteri MH370 ini, tentu Anwar maklum rakyat mampu menghukum kerajaan yang tidak telus begini.
Setidak-tidaknya jika Anwar benar-benar ada maklumat yang hanya beliau tahu berhubung isu ini, beliau patut berkongsi dengan pihak berkuasa untuk meleraikan misteri kehilangan pesawat yang menakjubkan dunia ini.
Dengan cara itu tentu auranya akan bertambah harum di mata rakyat Malaysia dan juga warga dunia. Peluangnya untuk memenangi kepercayaan rakyat, terutama pemimpin-pemimpin PAS, untuk memimpin Malaysia tentu lebih besar lagi.
Sikap mengacah-acah media barat dengan jawatan Ketua Pembangkang Malaysia untuk membisikkan bahawa ada konspirasi di kalangan kerajaan Malaysia berhubung kehilangan MH370 tanpa bukti dan alasan yang kukuh hanya membayangkan betapa terdesak dan oportunisnya Anwar Ibrahim ini.
Pertama, ia mengisyaratkan niat dan sikap buruk Anwar untuk mempolitikkan apa jua isu untuk meraih keuntungan politik.
Kedua, Anwar bolehlah diumpamakan seorang saudagar mimpi yang cuba meramalkan keburukan orang lain tanpa hujah dan bukti yang sahih.
Ketiga, Anwar boleh dilihat sebagai seorang yang langsung tidak patriotik dengan cuba memburukkan negara sendiri demi mendapat sanjungan media barat.
Keempat, mungkinkah Anwar ada maklumat yang lengkap kerana beliau dibekalkan dengan banyak informasi dan latar belakang misteri MH370?
Jika benar demikian, siapakah individu, pertubuhan atau negara yang Anwar bekerja keras untuk memburukkan kerajaan Malaysia? Atau, dengan perkataan lain, adakah Anwar kini adalah agen pihak tertentu yang ingin merosakkan nama baik Malaysia?
Tidak mungkinkah Anwar kini adalah tali-barut pihak yang cemburu dengan kejayaan pembangunan dan suara waras Malaysia untuk dunia?
Keadaan ini justeru menjadikan sukar bagi mana-mana pihak mengelak daripada bertanya, jika Anwar ada maklumat yang cuba disorokkan oleh kerajaan, daripada siapakah maklumat itu diperolehi?
Anwar bukan tiada pilihan media yang sesuai untuk mendedahkan maklumat yang dimilikinya. Beliau ialah panglima media sosial. Beliau boleh gunakan media siber mahupun media Pakatan Rakyat sendiri.
Sejak bilakah Harakah dan Suara Keadilan atau Roket jadi penyebar maklumat yang pemalu? Sebenarnya ini adalah satu peluang keemasan untuk membuktikan betapa tidak telusnya kerajaan Barisan Nasional. Mengapa Anwar keberatan menyambar peluang ini?
Dunia pun tahu betapa Anwar ini memang rapat dengan dunia barat dan paksi kuasa barat. Sebab itu mudahnya untuk beliau dijemput menjadi pensyarah di universiti tersohor seperti John Hopkin Universiti di Amerika Syarikat.
Rekod perkhidmatan Anwar dengan kerajaan juga menunjukkan beliau selesa dengan pemimpin-pemimpin Bank Dunia seperti Camdessus hingga sanggup berbalah dengan bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad.
Pentagon pun memberi penghormatan permaidani merah kepada Anwar ketika beliau berkunjung ke sana. Malah hingga hari ini Anwar belum berhenti bercerita betapa canggihnya satelit Amerika Syarikat hingga beliau boleh menonton apa yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman secara langsung di pusat perancangan pertahanan Amerika itu.
Gelagat Anwar yang suka “menangguk di air keruh” ini menimbulkan banyak persoalan mengenai kesetiaan dan kecintaannya pada negara. Malah ia mengundang banyak persoalan mengenai apa hubungan Anwar dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Mungkin di antara yang ragu dengan pendirian politik Anwar ini ialah PAS. Adakah itu sebabnya PAS keberatan memperakukan Anwar sebagai bakal perdana menteri jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya?
Di Selangor pun PAS nampaknya bertegas tidak mahu Anwar menukar menteri besar; tidak kira itu sebahagian daripada strategi “Langkah Kajang” untuk memastikan Pakatan Rakyat berjaya menakluki Putrajaya, atau tidak.
PAS juga nampaknya tidak mahu mengambil kira sama ada yang akan menggantikan menteri besar sedia ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, adalah Anwar Ibrahim sendiri atau isterinya, Wan Azizah Wan Ismail. Kecurigaan PAS terhadap siapa Anwar Ibrahim masih tebal. Ambillah iktibar, Anwar.

source : aidc

No comments: