NUFFNANG

Wednesday, 2 April 2014

Apa Mesej Azmin Letak Tulisan Yusof Harun Di Laman Peribadi ?

Apa Mesej Azmin Letak Tulisan Yusof Harun Di Laman Peribadi ?

AIDCNews – 11/02/14 – Blog TaipingMali mempertikaikan apakah motif Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali meletakkan artikel tulisan Yusof Harun di laman peribadinya, azminali.com/
Artikel bertajuk “Putuskah sudah kasih Azmin?,” turut meletakkan gambar Timbalan Presiden PKR sedang memapah Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika baru keluar dari penjara Sungai Buloh pada tahun 2004 sebagai simbolik.

“Untuk makluman Yusof Harun adalah merupakan seorang penulis tamu di dalam akhbar Sinar Harian yang sering menghentam dan mengkritik Anwar.
“Persoalannya ialah, apa motif Azmin memaparkan artikel yang dikarang oleh penulis yang sering menghentam Anwar dan dikongsi pula dengan semua pengunjung blog rasminya itu? Apakah ia membawa maksud Azmin bersetuju dengan setiap bait-bait perkataan yang dinukilkan oleh Yusof Harun itu?
“Apakah ini bermakna Azmin turut menyedari dan merasai, ‘layanan’ bosnya itu sudah tidak lagi sama. Atau dalam bahasa lirik, ‘Anwar yang dulu, bukanlah sekarang, Dulu sayang Azmin, sekarang dia di tendang, Dulu, dulu waktu dipenjara, Azminlah segala-galanya,’ soal blog itu.
Lampiran tulisan Yusof Harun :
30 Jan
2014 Posted in: My Thoughts
By Azmin Ali 5 Comments

[BERITA] Putuskah sudah kasih Azmin?
AZMIN Ali adalah ahli politik PKR. Itu semua orang tahu. ‘Putus Sudah Kasih Sayang’ adalah sebuah filem arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee. Itu pun semua orang tahu.
Tapi kisah hubungan Azmin Ali dengan Anwar Ibrahim jauh lebih hebat dan kontroversi dari mana-mana cerita dalam filem Melayu, baik yang diarah dan dilakonkan oleh P Ramlee atau yang lain-lain.
Jalan cerita Azmin dan Anwar jika sekadar ditulis sekalipun lebih mencengkam dan menyayat jiwa. Mana tidaknya apabila kita menyelak satu persatu hubungan kedua-duanya sejak dua insan ini masih secara relatifnya, muda, maksudnya hubungan Anwar sejak bergelar YB menteri manakala Azmin pula, masa itu masih lagi setiausahanya, maka akan faham perkongsian hidup mereka berdua lebih akrab dari sekadar aur dengan tebing.
Waktu Dr Mahathir Mohamad bos Anwar, ada juga usaha merenggangkan hubungan Anwar apabila surat-surat dikirim mendedahkan sikap Azmin. Tapi Azmin terselamat kerana Dr Mahathir tidak termakan hasutan menyebabkan Azmin kekal dalam kerajaan sehinggalah bosnya hilang kerja.
Namun seperti sering berlaku Anwar dilihat seperti sering berpaut di bahu Azmin. Lebih ketara apabila Anwar hilang kedudukan dan menjalani hukuman penjara, Azminlah segala-gala. Dengan sendiri Anwar meletakkan Azmin pada kedudukan yang sukar dijejaskan.
Siapa boleh lupa melihat Azmin muncul jurucakap Anwar apabila mantan Timbalan Perdana Menteri itu menjadi banduan di penjara Sungai Buloh. Azminlah menemui media dan penyokong Anwar terutama media yang tak simpati dengan perjuangan Anwar serta pada masa sama menggerakkan gerakan reformasi.
Umum mungkin terpaut pada puteri reformasi iaitu Nurul tapi di belakang Nurul, Azminlah tokoh reformasi sebenar-benarnya.
Sepanjang Anwar berada dalam tahanan, Azminlah antara pengunjung setia. Kepada Azmin jugalah diluahkan pelbagai perkara termasuk kisah hidupnya serta ranjau yang maha berliku.
Azmin mengorbankan hampir segala-gala semata-mata kerana Anwar.
Cerita bagaimanapun Azmin tidak mempunyai hubungan baik dengan adik-beradik termasuk ibunya menjadi berita panas di internet. Dan pengkritik Anwar memilih Azmin sebagai punching bag pula.
Semua ini menggambarkan betapa akrabnya dua insan ini.

Sehingga timbul cerita selain isteri Anwar, Azmin serba tahu serta menyimpan banyak rahsia Anwar. Jatuhnya Azmin maka kita akan melihat PKR dan Anwar bakal menjadi sebahagian sejarah tragik dalam politik Malaysia.
Hubungan Anwar dan Azmin mulai menampakkan keretakan apabila Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB Selangor bagi penggal kedua. Bagi kebanyakan daripada kita sudah pun tahu Azmin dan Khalid bukanlah regu yang baik. Justeru kita lihat sudahlah waktu menang pertama kali pada 2008, Azmin terpinggir dari sirna politik Selangor.
Siapa lagi kalau bukan Anwar yang tentukan sama ada Azmin ataupun Khalid jadi MB. Penyokong Azmin terpaksa menerima hakikat Azmin turut dipinggirkan daripada jawatan Exco.
Jawatan Pengerusi PKR negeri seperti tidak membawa sebarang makna. Dan yang agak sedih apabila Khalid malu-malu alah sekadar melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS, itu pun kemudian ditamatkan. Khalid mentadbir Selangor mengikut akalnya tanpa memikir kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor adalah sokongan rakyat pada PKR.
Azmin mungkin liabiliti kepada Khalid tetapi bukan kepada rakyat Selangor. Kemenangan Azmin di Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa sekali gus melonjak imej Azmin. Tapi ini juga tidak penting buat musuh-musuhnya. Anwar pada mula dilihat tidak tampil menyokong Azmin dalam kes PKNS cuma kemudian meminta Khalid pertimbangkan semula.
Selain itu apabila ura-ura Khalid bakal meletakkan jawatan MB, bukan Azmin yang disyor sebagai pengganti. Sehingga kini Selangor bakal mendapat MB baharu semakin panas apabila Adun Kajang, Lee Chin Cheh dengan tidak semena-mena, memperlekehkan demokrasi, mengosongkan kerusi itu. Apa yang memeranjatkan ialah Anwar diumum calon PKR di Kajang serta dilihat bakal calon MB.
Mungkin Anwar akhirnya akur mimpinya untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan termakbul. Usia kian lanjut dan masa semakin suntuk. Justeru jadi MB pun jadi MBlah. Tetapi mungkin juga ada agenda lain di sebalik tindakan ini.
Oleh itu, umum kian faham betapa Anwar sanggup mengetepikan Azmin demi kepentingannya sendiri. Apakah sudah putus kasih sayang mereka berdua? Atau ia hanya wujud semata-mata sebagai kasih sayang politik?
YUSOF HARUN
30 Januari 2014
Sumber : Sinar Harian

source : aidc

No comments: