NUFFNANG

Tuesday, 9 August 2011

MBPJ Tidak Pernah Lulus Bina Gereja Methodist Damansara Utama / TERBONGKAR LAGI ! Gereja DUMC - 'That Is What We Do lah' Kata Paderi Kristian! / Isu murtad: Bukti ditemui dalam tong sampah


MBPJ Tidak Pernah Lulus Bina Gereja Methodist Damansara Utama
PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini hanya meluluskan pembinaan pusat komuniti bukan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang bangunannya kini tersergam di Seksyen 13 di sini.
Menurut Penolong Pengarah Kawalan Bangunan MBPJ, Nurul’ Ain Abdul Rahman, berlaku salah guna permohonan yang diberikan oleh pihak pentandbiran apabila DUMC membina gereja ditempat yang tidak dibenarkan.
“Kalau ikut permohonan yang mereka (DUMC) minta kita, ialah pembinaan pusat komuniti bukan gereja. Di sini berlaku salah guna permohonan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembinaan DUMC dibina secara haram dan tidak mendapat kelulusan daripada MBPJ. Fungsi unit kawalan bangunan MBPJ bertindak mengawal semua jenis pembangunan dalam kawasan majlis tersebut, memproses permohonan kelulusan pelan bangunan baru, mengeluarkan sijil kelayakan menduduki (CF) serta boleh mengambil tindakan kawalan ke atas binaan bangunan yang dibuat tanpa kebenaran.
Rabu lalu, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu DUMC selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 9 malam, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam
Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
Isu tersebut menjadi kecoh apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dan menggesa JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa jabatan agama itu.
source : mstar

TERBONGKAR LAGI ! Gereja DUMC - 'That Is What We Do lah' Kata Paderi Kristian!




MiM ingin merujuk kepada kenyataan Dr Eu Hong Seng, Pengerusi National Evangelical Chritian Fellowship mengenai isu gereja DUMC. Di antaranya:-
National Evangelical Christian Fellowship chairman Rev Dr Eu Hong Seng stressed that Christians gave aid regardless of race or religion...

...“The church has got weddings, funerals. You mean, in my funeral songs, because a Muslim comes to pay respects to his friend who died, must stop singing hymns? You come to my place of worship, that is what we do lah,” said Eu in response
MIM setuju setiap agama menggalakkan kebaikan dan beramal. Dan kita tidak mempertikaikan 'songs' dan 'singing hymns' seperti yang ungkapkan oleh Hong Seng.

Dan memang benar 'you come to my place of worship, that is what we do lah' seperti kata beliau.

Tetapi apakah 'that is what we do lah' apabila atur cara program Thanks Giving turut menyelitkan 'Song - Alhamdulillah & Allahuakbar?


Apakah 'that is what we do lah' apabila urusetia Kristian menyiapkan kuiz tentang agama Islam?

Apakah dengan keputusan kuiz itu, pihak gereja akan merujuk serta menghantar individu yang lemah pemahaman Islamnya kepada JAIS?



Dan jika pihak gereja benar-benar ikhlas untuk membantu tanpa niat yang tersembunyi, kenapakah orang Islam ini tidak dirujuk sahaja kepada pihak yang bertanggungjawab kepada orang Islam di Selangor? Itulah yang lebih afdal untuk mengelakkan isu-isu agama seperti ini daripada terjadi.

Malah, kita tertipu dengan kenyataan media pro-pembangkang, pemimpin PAS yang pengecut dan pihak gereja yang mendakwa gereja telah di SERBU atau RAID padahal pihak JAIS dan polis yang menunggu lama di ruang legar gereja tanpa force entry. Kenapa mahu berbohong?

Kenapa mereka perlu memutarbelit dan berbohong jika mereka tidak melakukan perkara yang mencurigakan dan salah dari sudut undang-undang dan Enakmen Syariah Selangor?

WHY?

Tetapi yang pastinya, Allah SWT telah membuka mata dan fikiran kita semua tentang sikap pemimpin-pemimpin PAS yang kemaruk kuasa sehingga sanggup meragui organisasi Islam dan rakan Exco Islam sendiri!

Sungguh memalukan sekali!
source : Blog MiM

Kalau Berada Di Pihak Yang Benar, Mengapa Takut Berjumpa JAIS?

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memohon perintah mahkamah ke atas 12 indvidu beragama Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama, Rabu lalu. Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata perintah mahkamah akan dipohon dalam tempoh terdekat berikutan kegagalan kesemua mereka tampil memberikan keterangan. Jelas beliau, pihaknya akan membuat permohonan di Mahkamah Syariah.

“Kita telah meminta kesemua 12 individu ini agar hadir di pejabat (Jais) memberikan keterangan tentang kehadiran mereka dalam majlis itu tapi sehingga kini mereka tidak menghadirkan diri dan saya difahamkan mereka dinasihatkan peguam masing-masing supaya tidak hadir.

“Kita akan mohon perintah mahkamah ini dalam tempoh terdekat, kita hanya mahu mereka memberikan keterangan dan membantu siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelas Sharom, sekiranya kesemua 12 individu itu tetap enggan menghadirkan diri walaupun perintah mahkamah dikeluarkan kelak, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk memohon perintah tangkapan terhadap mereka.

“Kita akan pohon supaya mereka hadirkan diri ke pejabat untuk memberikan keterangan dan kalau mereka tetap enggan hadir, kita mungkin akan dapatkan perintah menahan ke atas mereka,” katanya. Tambah beliau, kesemua 12 individu yang ditahan semasa serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petalin Jaya Rabu lalu rata-rata berasal dari Selangor.

“Ramai dari Selangor tapi ada juga dari luar,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan hasil siasatan Jais mengenai kontroversi serbuan itu.
Kira-kira 30 anggota polis dan Jais memasuki premis gereja tanpa waran kira-kira 10 malam, Rabu lalu. Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum. Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti. Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam. Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” atau “pray” diselitkan. Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam itu disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam. Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

source : azli shukri

Isu murtad: Bukti ditemui dalam tong sampah

Fazy Sahir
 | August 9, 2011
FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.
EXCLUSIVE
PETALING JAYA: Di sebalik kontroversi yang membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya minggu lalu, kini terdapat bukti yang menjelaskan keadaan sebenar pada majlis makan malam tersebut.
FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan bersifat ‘menguji pengetahuan’ dalam bahasa Malaysia dan Inggeris – sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.
Soalan yang tertera adalah menjurus kepada fahaman agama Islam secara keseluruhannya seperti membabitkan; Nabi Muhammad, Al- Quran, rukun Islam, kitab, solat dan lain-lain.
Kertas dua halaman yang mengandungi 12 soalan itu didakwa diberikan kepada para peserta yang menyertai majlis makan malam tersebut yang turut disertai oleh penganut agama Islam.
Kertas tersebut dibahagi kepada empat corak soalan iaitu isi tempat kosong, beri jawapan ya/tidak, padanan jawapan dan pilihan jawapan.
Antara soalan itu adalah ‘Apakah maksud perkataan Islam, Muslim, Quran? Apakah enam perkara iman seseorang Muslim, solat lima waktu dalam Islam, malaikat manakah yang dipercayai menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad dan tahun bilakah Nabi Muhammad dilahirkan.
Berapa banyak Surah dalam Al-Quran? Berapa kali nama Isa disebut di dalam Al-Quran dan kenapa orang Islam bersalam menggunakan sarung tangan?
Pendedahan itu dibuat oleh Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Dzulkhaini Husain yang mendakwa kepingan-kepingan kertas soalan itu ditemui dalam sebuah tong sampah.
Sambil mempertahankan tindakan Jais yang memeriksa gereja terbabit  Dzulkhaini berkata turut menjadi tanda tanya apabila kertas soalan seperti itu diagihkan dalam majlis makan malam yang dikatakan  untuk membantu golongan tidak bernasib baik dan memerlukan.
“Ketika kejadian itu terdapat kira-kira 100 orang dengan nisbah kehadiran satu perlima daripadanya adalah penganut Islam; 12 orang dewasa (tiga lelaki, sembilan wanita) dan lapan kanak-kanak,” katanya.
Beliau memberitahu apabila Jais masuk ke dalam, kertas soal jawab ini dah berkecai-kecai dan dimasukkan ke dalam tong sampah.
“Kalau niat baik kenapa nak masuk tong sampah? Apabila masuk tong sampah, Jais sita untuk dijadikan maklumat (bukti) di mahkamah.
“Malah bila mereka ini keluar seorang demi seorang, Jais meminta kad pengenalan (IC) untuk dilihat. Jais tidak ambil kad pengenalan daripada kanak-kanak memandangkan mereka tidak ada IC. Tindakan Jais ini benar.
“Tidak berlaku mereka (Jais) pecah pintu, hal itu berlaku diluar gereja, dengan sasaran (orang). Namun masih ada yang melemparkan fitnah mengatakan Jais pecah pintu dan berlaku kekasaran,” jelasnya.

Nyanyian “Alhamdulillah”, “Allahuakhbar ”

Sementara itu, didapati tentatif program makan malam tersebut turut diselit nyanyian berupa lagu – Alhamdulillah dan Allahuakhbar.
Melalui penelitian FMT, program bermula jam 6.30 petang, Rabu lalu dan sepatutnya berakhir jam 9.55 malam seperti yang tersedia dalam tentatif program itu.
Turut diselitkan dalam tentatif program berkenaan ialah ucapan aluan daripada Paderi Kanan DUMC Daniel Ho serta beberapa pembentangan kertas kerja projek oleh beberapa peserta.
Kemudian bermulalah nyanyian ‘Alhamdulillah dan Allahuakhbar’ dan sesi sembahyang yang diakhiri dengan nyanyian lagu ‘Sejahtera Malaysia’.
“Adakah ini ada sangkut-paut dengan ‘thanksgiving’ dan ‘methodist’? Mengapa ayat-ayat yang diharamkan digunakan oleh orang bukan Islam dalam enakmen agama bukan Islam (kawalan perkembangan agama lain dikalangan orang Islam 1988).
Sesudah itu, pada pukul 9 15malam, berlaku satu upacara sembahyang ‘intercession’ iaitu gaya sembahyang orang Kristian di mana meminta Nabi Isa untuk memohon kerestuan Tuhan mereka.
“Ingat pada masa itu ada 20 penganut agama (Islam) kita termasuk kanak-kanak ada di tempat itu, terpesong atau tidak, akidah mereka? Terpesongkan?
“Perkara ini dikeruhkan lagi, ada soal jawab tentang apa dia agama Iislam, mengapa orang Kristian methodist perlu melakukan perkara ini?,” soal Dzulkhaini.
Pada Rabu lalu media melaporkan Paderi Kanan DUMC Daniel Ho menjelaskan bahawa majlis makan malam di gereja terbabit adalah dianjurkan atas semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO yang menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

No comments: