NUFFNANG

Friday, 20 June 2014

Sikap Membisu Exco Agama Selangor Berhubung Isu Bible Dipertikai

Sikap Membisu Exco Agama Selangor Berhubung Isu Bible Dipertikai

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mempersoalkan sikap membisu Exco Agama kerajaan negeri, Sallehen Mukhyi dalam penyelesaian isu rampasan bible versi Bahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Januari lalu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias berkata, sikap tersebut jelas memperlihatkan kegagalan exco berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Di Selangor kita ada eksekutif exco yang bertanggungjawab dalam Islam, jadi apa yang Exco ini buat?
“Ini sebenarnya pada saya melihat salah satu kegagalan exco untuk exco agama yang berkenaan untuk memastikan tanggungjawabnya,” katanya kepada Antarapos.
Beliau mengulas tindakan kerajaan Selangor yang dilihat lemah dalam menyelesaikan isu rampasanBible berikutan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju untuk memulangkan kitab itu sebagaimana keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.
Pada 14 Jun lalu, Pengerusi MAIS, Datuk Mohd Adzib Mohd Isa juga tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara pada 11 Jun itu untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Persatuan BibleMalaysia (PBM).
Kata Mohd. Adzib, MAIS yakin wujud ruang dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) 1988 yang membolehkan pendakwaan dibuat.
Susulan tindakan MAIS, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadap SultanSelangor bagi menyelesaikan perkara itu.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata tidak timbul masalah seperti hari ini jika exco yang terlibat fokus dan memainkan peranannya dalam menjaga hal ehwal agama di negeri itu.
“Dan exco agamanya pula bila dah terhantuk baru terngadah dan barulah nak ambil tindakan itu dan ini. Ini bukan cara dia dan ini menampakkan kelemahan pentadbiran agama kerajaan negeri,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata tidak ada keperluan untuk mengkaji semula enakmen berkaitan peruntukan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seperti yang disarankan oleh empat pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.
“Kalau dia jalankan tugasnya dari segi eksekutif perkara ini tak ada masalah, itu masalahnya. Tak timbul soal (gugurkan kuasa eksekutif MAIS). Itu yang saya katakan tadi tidak ada keperluan, pertama sebab tidak ada masalah dan tidak ada keperluan untuk mengganggu tugas MAIS dalam menjalankan tugasnya,” katanya.
Ini kerana, beliau tidak melihat apa-apa masalah dengan MAIS.
Sebaliknya, menurut Shamsuddin tindakan MAIS dan JAIS itu dibuat semata-mata hanya mahu mempertahankan dan menjaga kepentingan agama rasmi negara ini.
“Saya menyokong penuh tindakan MAIS kerana ia melaksanakan enakmen peraturan dan menguatkuasa undang-undang berkaitan dengan Islam,” jelasnya.
“Saya nak beritahulah bukan kita mengganggu urusan agama orang lain, tidak. Kita lihat di negara kita dan di Selangor ini sendiri perkembangan agama lain tak terjejas di boleh buat gereja, kuil dan kita tak ganggu mereka tetapi bila urusan yang berkaitan dengan agama Islam kita kena pertahankan dan jaga,” tambahnya.
Mengulas lanjut keengganan badan pemantau agama itu memulangkan bible terbabit Shamsuddin berkata, biarlah MAIS dan JAIS yang membuat keputusan mengenainya tanpa perlu campur tanganpolitik.
“Ada tiga perkara yang boleh dibuat berdasarkan undang-undang pertama memulangkan, kedua melupuskan dan ketiga mendapatkan perintah mahkamah…ini yang boleh dilakukan oleh MAIS dan JAIS kenapa nak kacau pula biarlah kita bebas dan kalau ada yang tak kena terpulang kepada mereka,” katanya.
“Kita boleh beri nasihat tetapi tak semestinya benda itu mesti dipatuhi oleh mereka sebab ini boleh menjejaskan integriti pegawai yang menjalankan tugas tersebut disuruh buat bila dah buat disalahkan pula,” tegasnya lagi – Antarapos
source : aidc

No comments: