NUFFNANG

Monday, 2 June 2014

kursus BTN wajib semula

kursus BTN wajib semula

Masa Demang bersekolah dulu, Demang pernah mengikuti kursus anjuran BTN. Tahun 1987 di Kuantan.

Dalam kursus itu kami didedahkan dengan pelbagai realiti dan fakta yang sebelum itu jarang diketahui umum.

Macamana nak tahu kalau tiap kali buka akhbar selak ruang hiburan dan sukan sahaja?

Melalui kursuslah peserta diberitahu semula fakta-fakta yang pernah disiarkan dalam akhbar, majalah, laporan, buku, dan sebagainya yang tidak dipedulikan sebelum ini.

Maka terkedulah kami melihat statistik kedudukan orang Melayu yang begitu jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Patutlah hampir semua kereta mewah dan rumah-rumah kos sederhana dan mewah ketika itu hanya mampu dibeli kaum cina.

Demang gunakan istilah 'kaum-kaum lain' sebab itulah istilah yang diguna dalam perlembagaan. Untuk makluman, istilah 'bukan Melayu' tiada dalam perlembagaan kita.

Selepas terkedu, kami mula dilanda rasa bimbang tentang nasib bangsa Melayu yang selepas itu Demang faham bahawa Melayu dalam perlembagaan bermaksud seseorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan adat budaya Melayu.

Setelah diselimuti rasa bimbang, timbul pula rasa geram dan marah pada kaum-kaum yang diwariskan harta kekayaan oleh Inggeris ketika bangsa penjajah itu meninggalkan Tanah Melayu.

Kaum-kaum tersebut bukan sahaja mewarisi harta peninggalan Inggeris berupa lombong-lombong dan ladang-ladang bahkan sebelum itu lagi telah diberi peluang mendapat pendidikan yang tinggi serta menguasai perniagaan di bandar-bandar yang terbina akibat aktiviti perlombongan dan perladangan.

Patutlah mereka kelihatan maju dan berjaya. Rupa-rupanya mereka mendapat segala kemudahan dan bantuan daripada pihak Inggeris.

Betapa sedih dan pedihnya hati kami para peserta mengenangkan nasib bangsa sendiri yang terpinggir di bumi sendiri.

Namun ketika kami cuba melampias kemarahan kami atas ketidakadilan yang berlaku, para fasilitator mengingatkan kami betapa pergaduhan bahkan peperangan dengan kaum-kaum lain bukanlah penyelesaian.

Apalah gunanya jika kalah jadi abu, menang jadi arang?

Mahu tidak mahu kaum-kaum lain sudahpun diterima sebagai warga Malaysia. Kita mesti menerima hakikat itu.

Namun sesuatu mesti dilakukan bagi memperbetul keadaan. Keadilan apa yang nak dipertegak jika orang Melayu cuma memiliki 0.2% kepentingan ekonomi di tanah tumpah darah sendiri?

0.2%  bermakna jika ada RM100 maka kaum cina dan lain-lain menguasai RM99.80 manakala orang Melayu cuma ada 20 sen!

Kami juga didedahkan bahawa akibat ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara kaum maka berlakulah tragedi 13 Mei 1969.

Orang Melayu yang terhimpit dengan kemiskinan (meski semenanjung yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu telah merdeka), tidak mampu lagi menahan sabar apatah lagi diejek kerana dilihat hampir kalah dalam pilihanraya yang baru diadakan ketika itu (1969).

Seterusnya kami didedahkan tentang langkah kerajaan bagi mengelak tragedi berulang. Badan yang mengkaji peristiwa itu mendapati jurang ekonomi yang terlalu luas antara kaum merupakan penyumbang terbesar pada perpecahan kaum.

Akhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirangka dan dilaksanakan.

Demang percaya ramai yang tahu DEB tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu bagaimana ia patut dilaksanakan?

Antara orang yang faham tentang DEB dan segera bertindak ialah Syed Mohtar Al-Bukhari. Namun oleh kerana ramai yang tidak faham DEB (terutama generasi muda) beliau dituduh kroni pada pemimpin tertentu di samping berlindung dengan pemodal kaum cina.

Tahukah anda bahawa konsep DEB ialah bekerjasama antara kaum? Ada yang tidak tahu, ada yang lupa, dan ada yang pura-pura lupa sebab apabila DEB persalahkan, mereka dapat keuntungan politik!

Sebenarnya DEB adalah serampang dua mata. Selain merapatkan jurang ekonomi ia juga bertindak bagi mencapai perpaduan kaum. Ramai yang tahu istilah ini dan faham maksud peribahasa itu tetapi berapa ramai yang sedar maksudnya dalam kontak DEB?

DEB sepatutnya menjadi ruang untuk orang Melayu dan kaum-kaum lain (baca kaum cina) bekerjasama dalam situasi menang-menang. Setiap syarikat yang ingin memasuki tender kerajaan ditetapkan agihan 30% milik Melayu, 40% milik bukan Melayu dan 30% milik asing. Malah itulah sasaran DEB setelah dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun.

Malangnya DEB dimanipulasi dan dieksploitasi tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap negara. Pemodal bukan Melayu sekadar menggunakan nama orang melayu dan menjadikan mereka 'sleeping partner'.

Maka peribahasa baru pun muncul iaitu 'alibaba'. Maksudnya, permit atas nama Ali manakala pemilik sebenar ialah baba (cina).

Fenomena alibaba berleluasa tanpa dapat dikawal. Lebih buruk lagi apabila pemimpinpolitik Melayu sendiri terlibat melakukannya bersama-sama pemodal kaum cina.

Kelemahan utama konsep alibaba ialah ia menggagalkan usaha membina dan melahirkan usahawan tulen kalangan orang Melayu dan Bumiputera. Orang yang terlibat sekadar menjadi orang kaya baru (OKB) yang hasilnya tidak melimpah pada bangsa Melayu.

Lebih malang lagi apabila OKB sekadar menjamah keuntungan untuk seketika dan akhirnya kembali ke takuk lama apabila si baba beralih pada perniagaan lain, mendapat Ali yang baru, atau tidak memerlukan mana-mana Ali lagi.
Itulah masalah DEB. Disabotaj kiri kanan.

Apapun, DEB tidaklah gagal sepenuhnya. Biarpun tidak menepati sasaran 30% pemilikan Melayu/bumiputera menjelang tamat tempohnya, namun DEB berjaya juga mencapai 19% dan jika dibandingkan dengan 0.2% ketika ia bermula maka angka itu sudah boleh dibanggakan.

Demang percaya, meskipun anda kini faham tentang dasar kerajaan tentang DEB, masih ada rasa geram di hati. Kenapa? Kerana meskipun DEB dirangka dengan begitu baik namun terdapat ramai penyangak a.k.a malaun yang merajalela mengeksploitasinya untuk kepentingan diri semata-mata.

Demang tak kata 'kepentingan diri' tetapi 'kepentingan diri semata-mata'. Tidak salah melakukan sesuatu untuk kepentingan diri tetapi jangan sekali-kali melakukan sesuatu kerana 'kepentingan diri semata-mata'.

Demang fikir elok lah kursus BTN-SSM diadakan semula kerana walaupun ada banyak kursus lain oleh pihak lain namun kursus-kursus tentang kenegaraan hanya BTN yang berpengalaman dan berkemahiran melaksanakannya.
source : waadat
kzso : persoalannya adalah adakah btn sekarang seperti dahulu atau btn sekarang tidak seperti dahulu?

No comments: