NUFFNANG

Thursday, 5 June 2014

LABBAIKALLAH - UMRAH 1435

LABBAIKALLAH - UMRAH 1435

Bersama Sheikh Dr Abdul Rahman Bin Abdul Aziz As-Syudais, Ar-Rais Haramain Masjidil Haram & Masjid Nabawi (Pengerusi Masjidil Haram dan Masjid Nabi Madinah) pada hari Khamis 29 Rejab 1435
Salam 2 all.

Alhamdulillah saya selamat mengerjakan umrah dan selamat sampai ke Kuala Lumpur. Bagifollowers blog www.zul4kulim.blogspot.com, saya pohon maaf kerana tidak dapat mengemaskini blog ini sepanjang berada di Makkah.

Alhamdulillah selain dapat mengerjakan umrah, saya diberi kesempatan bertemu dan berbincang dengan Sheikh Dr. Abdul Rahman Bin Abdul Aziz As-Syudais, Ar-Rais Haramain Masjidil Haram & Masjid Nabawi - Pengerusi Dua Masjid Makkah dan Madinah.

Kita semua mengenali beliau dengan panggilan Sheikh Syudais, dengan bacaan Al-Quran yang begitu unik dan menusuk kalbu. Kalau dibulan Ramadhan, memang para jemaah menunggu untuk menjadi makmum kepada Sheikh Syudais terutama bila bacaan doa qunut beliau. Walaupun panjang, tetapi sangat mengasyikkan.

Malahan ramai imam-imam muda serata dunia cuba meniru bacaan cara Sheikh Syudais. Di Malaysia kita juga punya imam yang bacaan mereka hampir mirip Sheikh Sudaisy termasuk Sheikh Abdul Kareem Al-Makki, Imam Masjid Shah Alam. Bila diberitahu di Malaysia ada Imam yang mirip bacaannya, Sheikh Sydais sambil ketawa menyatakan itu Syudais Al-Malizi.

Rupanya Sheikh Syudais ini peramah juga orangnya. Bila dengar beliau berkhutbah kita ingatkan garang dan tegas orangnya. Kebetulan Jumaat lepas 30 Rejab/ 30 Mei beliau yang menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat. Khutbahnya ringkas tapi padat, tak macam khatib kita yang kadang-kadang meleret-leret, terutama jenis yang reka khutbah syok sendiri, apatah lagi kalu khutbah memaki-hamun dan menghentam orang lain. Pakai menguap panjang lah kita.

Tetapi Sheikh Syudais seorang ulama besar dan berhemah serta punya akhlak yang sangat tinggi. Bukan sahaja khutbahnya ringkas dan padat, bacaan surah waktu Jumaat juga pendek, maklumlah waktu tengahari sangat panas. Tidak semua jemaah tahan dengan cuaca yang panas itu. Moga para khatib dan imam kita mempelajari sesuatu daripada Sheikh Syudais.

Seperti yang saya sebut, kalau dengar khutbah dan bacaan Al-Qurannya, macam tegas dan garang orangnya. Tetapi bila berjumpa, rupanya Sheikh Syudais seorang yang sangat peramah, sentiasa tersenyum dan sangat suka bergurau. Kita jadi selesa dudok berbual dengan beliau kerana dilayan macam sahabat dan saudaranya.

Pejabat Sheikh Syudais dan semua imam dan pegawai Masjidil Haram terletak dihadapan Istana Jabbal Qubbais. Sebuah bangunan sederhana setinggi lima tingkat, tidak jauh daripada hotel favorit orang Melayu iaitu As-Safwa (sebab ada Restoran D'Saji Felda dengan roti canai dan tehtariknya).

Sebaik masuk ke pejabat Sheikh, saya berjumpa dengan Setiausaha Khas beliau Sheikh Muhammad Al-Humaidah. Seorang yang sangat peramah dan sentiasa tersenyum, dan sangat fasih berbahasa Inggeris. Beliau pernah melawat Malaysia beberapa kali, malah katanya selepas berkahwin beliau berbulan madu di Malaysia.

Saya tengok mereka ini (iaitu para imam dan pegawai Masjidil Haram) sangat terbuka dan cukup gemar menolong orang. Sewaktu di pejabat beliau, saya melihat sendiri beberapa orang luar datang dengan pelbagai aduan dan masalah, semuanya dilayan secara baik. Malah saya melihat bagaimana Sheikh Al-Humaidah memberikan wang poketnya sendiri sebanyak Riyal 500 (lebih kurang RM450) kepada seorang yang datang memohon bantuan.

Bila ditanya mengapa beliau begitu bermurah hati, jawapan Sheikh Al-Humaidah wajar menjadi pengajaran kepada kita, 'mereka ini datang dengan kehendak Allah. Daripada ramai-ramai manusia, Allah pilih kita untuk membantu hambanya ini. Ini satu peluang yang tidak patut dilepaskan!!!'. Masya Allah - begitu tinggi akhlak mereka ini. Moga Allah memberkati!

Sebaik sahaja masuk ke pejabat Sheikh Syudais, beliau terus bangun dan memberi salam. Yang bestnya kata Sheikh, 'ahlan wasahlan ya akhi, orang baik-baik sudah sampai'. Bila tanya Sheikh kenapa panggil kami orang baik-baik, terus Sheikh kata jemaah Malaysia memang terkenal sebagai jemaah paling baik, berdisiplin, berakhlak dan tinggi budi bahasa. Aisey, kembang juga mendengar pujian Sheikh Syudais.

Alhamdulillah, Sheikh Syudais sangat berbangga dengan jemaah Malaysia. Dan beliau bersetuju untuk datang melawat Malaysia dalam masa terdekat ini sebagai tetamu khas PM Dato' Sri Najib Razak. Saya beritahu Sheikh Syudais bahawa rakyat Malaysia khususnya umat Islam sangat mengalu-alukan kedatangan beliau ke Malaysia.

Kebetulan pagi pertemuan dengan Sheikh Syudais itu Khamis 29 Rejab 1435 bersamaan 29 Mei tersebar cerita konon berlaku runtuhan jambatan tawaf didalam Masjidil Haram. Saya menerima begitu banyak mesej daripada rakan-rakan termasuk daripada Malaysia, UK, Falastin dan lain-lain. Malah ada yang hantar gambar dan videoklip sebagai bukti konon berlaku runtuhan jambatan tawaf dan kematian beberapa jemaah.

Lalu saya masuk ke Masjidil Haram untuk melihat. Saya tengok takde amende pun, semuanya berjalan macam biasa. Bila saya maklumkan kata takde apa-apa pun, ada juga yang tak percaya dengan berkata 'ni kami kami tengok gambar dan videoklip'. Saya kata saya tengah berdiri didepan kawasan mataf (tawaf), takde apa pun.

Rupanya pagi itu selepas suboh kerja mencuci Ka'bah dilakukan memang kerja mencuci Ka'bah dilakukan dua kali setahun iaitu hujung Rejab dan Muharram). Sebaik sahaja pintu Ka'bah dibuka, para jemaah yang berdekatan berebut nak tengok. Jadi ada adengan tolak-menolak, ada yang terjatuh dan cedera sikit. Bukannya jatuh daripada jambatan tawaf pun. Jatuh dilantai Dataran Tawaf. Itupun cedera sikit sangat, luka kat kepala sikit.

Gambar dan video yang disebar itu adalah kejadian jemaah jatuh dan dirempuh semasa peristiwa di terowong Mu'assim beberapa tahun dahulu. Videoklip dan gambar lama sangat dah tu. Namanyainternet, habis berita bohong pun orang boleh percaya.

Memang buat masa ini kawasan Masjidil Haram sedang melalui fasa penambah-baikan dan pembesaran besar-besaran, termasuk dikawasan mataf (tawaf). Yang tinggal sekarang ini hanya kawasan Pintu King Abdul Aziz (atau dikenali sebagai kawasan air-cond). Yang lain semua dah dirobohkan untuk pembesaran. Kawasan belakang Hotel Hilton semuanya sudah habis diratakan, dan akan dibina stesyen keretapi.

Manakala kawasan Jabbal 'Umar juga sudah diratakan dan dibina beberapa hotel mewah. Kawasan Pasar Zink dan Masjid Abi Hurairah (Masjid Kucing) juga sudah diratakan untuk pembesaran kawsan masjid. Malah bangunan maulid, iaitu maktab (perpustakaan) tempat kelahiran Rasulullah saw juga sudah dirobohkan, dan akan didirikan disitu pejabat para Imam Masjidil Haram.

Bila dah tengok projek penambah-baikan dan pembesaran Masjidil Haram, baru saya sedar mengapa Kerajaan Saudi terpaksa menghadkan visa untuk umrah, dan juga haji. Ini kerana kawasan sudah menjadi terlalu sibuk, berhabuk dan sempit dengan kerja-kerja kontrak yang sedang rancak berjalan. Ditambah pula dengan penyakit MERS-CoV yang sedang melanda Saudi. Jadi nampak gaya kena bersabarlah sementara menunggu siapnya projek ini yang dijangka siap sepenuhnya tahun 2018.

Satu perkara yang saya agak bangga ialah ramainya anak Melayu termasuk jurutera dan para profesional yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja penambah-baikan dan pembesaran Masjidil Haram ini. Saya sempat bertemu dengan bebarapa orang daripada mereka samada semasa duduk iktikaf dalam Masjid ataupun waktu minum di Restoran D'Saji. Alhamdulillah anak Melayu memang hebat jika diberi peluang!

Kebetulan pada hari Rabu 28 Rejab 1435 bersamaan dengan 28 Mei 2014 kami menerima berita sedih kemangkatan Almarhum Raja Azlan Shah, Sultan Perak. Beberapa sahabat sempat mendirikan solat jenazah ghaib untuk Almarhum Tuanku Raja Azlan Shah, semoga Allah memberikan rahmat dan keampunan kepada Almarhum Tuanku dan meletakkan Baginda dikalangan orang soleh, ameen.

Apa pun, saya mengucapkan syukur dan alhamdulillah kerana dapat mengerjakan umrah dan bertemu dengan Sheikh Abdul Rahman As-Syudais, satu pengalaman yang sangat berharga. Hadiah naskhah Al-Quran yang ditandatngani sendiri oleh Sheikh Abdul Rahman akan menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Semoga Allah menerima segala 'amal 'ibadah yang dilakukan, dan mengampunkan segala kelemahan dan kekurangan yang ada. Semoga Allah memberikan lagi keizinan dan rezeki untuk saya kembali ke Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah insya Allah, ameen.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
06 Sya'ban 1435
04 Jun 2014

No comments: