NUFFNANG

Thursday, 12 June 2014

ANOTHER INTERESTING ARTICLE FROM Che Det : HARMONI DAN KESAMARATAAN

Che Det : HARMONI DAN KESAMARATAAN

1. Kerajaan Malaysia akan membentang tiga rang undang-undang (Bill) bagi mengganti Akta Hasutan 1948, demikian janji Perdana Menteri. Akta Hasutan dianggap tidak sesuai dengan keadaan zaman dan dasar keterbukaan Malaysia.
2. Apakah rang undang-undang yang akan dijadikan pengganti kepada Akta Hasutan? Dibawah diperturunkan nama-nama akta berkenaan:-
1) National Harmony Bill
2) National Unity Bill
3) National Unity and Integration Commission Bill
3. National Unity Bill dan National Harmony Bill bertujuan menghapuskan dasar pemilihan berasas kepada agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, jantina atau ketidakupayaan dan lain-lain yang berkenaan.
4. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan bangsa.
5. Di Malaysia kita kekalkan bangsa asal kita, bahasa dan budaya kita, sekolah kita, bahkan universiti kita. Susulan dari itu kita tinggal di tempat-tempat berasingan, amalan cara hidup dan kegiatan kita juga berbeza dan berasingan. Dalam bidang perniagaan masing-masing mempunyai network sendiri berasas kepada kaum/bangsa, bahasa dan budaya. Sistem “guild” atau kesatuan jenis perniagaan tertutup kepada orang lain.
6. Pencapaian masing-masing kaum/bangsa juga berbeza dengan kaum Cina mendahului kaum India dan Melayu dan kaum India sedikit sebanyak mendahului kaum Melayu.
7. Keadaan terpisahnya kaum/bangsa dan pencapaian kaum/bangsa yang tidak sama tidak membolehkan penyatuan dan harmoni di kalangan mereka dengan mudah. Kerana kaum/bangsa tidak boleh dihapuskan percubaan dibuat melalui DEB untuk mengurangkan jarak pemisahan antara mereka dalam bidang ekonomi.
8. Dasar Ekonomi Baru dibentuk bertujuan untuk mengurangkan jarak perpisahan antara kaum ini. Untuk ini perlu ada diskriminasi untuk satu kaum yang ketinggalan mengejar kaum lain. Apabila National Harmony Bill dilulus maka DEB tidak boleh dilaksanakan lagi. Ini bermakna negara akan amal meritokrasi – iaitu mereka yang mempunyai merit atau kebolehan tertinggi akan dapat segala-galanya. Biasiswa, tempat dalam universiti Kerajaan, kontrak, peluang kerja dan bermacam lagi akan diperolehi berasas merit. Di luar Kerajaan segala-galanya sudah pun didapati oleh mereka yang memiliki merit.
9. Memanglah ini amat adil. Tetapi besar kemungkinan kaum yang miskin, yang kerananya tidak berpeluang atau tidak memiliki persekitaran untuk belajar, pergi ke sekolah swasta yang baik dengan yuran tinggi, tidak cukup makan, kurang sihat, terlantar di rumah sekejap-sekejap, kaum ini tidak dapat memenuhi syarat, tidak memiliki merit untuk mendapat apa-apa. Mungkin mereka tidak pun dipanggil untuk ditemuduga.
10. Kerana keadilan sistem merit yang miskin (bumi) akan terus miskin dan yangkaya akan lebih kaya.
11. Di Eropah di zaman industri, yang kaya memiliki semua perusahaan dan yang miskin bekerja sebagai kuli. Tidak ada peluang sama sekali bagi kuli yang miskin menjadi kaya, kerana tidak ada pelajaran dan tidak ada modal, tidak memiliki merit.
12. Ini bukan kerana diskriminasi. Kuli sebenarnya tidak ada merit, justeru itu mereka tetap tinggal sebagai kuli. Yang kaya memperolehi merit maka mereka tetap kaya dan menjadi lebih kaya.
13. Akhirnya kuli mengadakan kesatuan sekerja, mengadakan mogok dan bermacam tindakan perusahaan, Kedudukan mereka menjadi lebih baik dan mereka berpeluang untuk mengejar ilmu dan kecekapan, kekayaan dan kejayaan. Wah! Rupa-rupanya mereka ada kebolehan, mereka yang tidak ada merit dahulu, apabila berpeluang jelas mereka ada merit dan mampu menjadi pengusaha dan majikan.
14. Kalau tidak kerana kuasa kesatuan sekerja dan mogok, potensi dan merit yang ada pada kuli tidak akan menjadi nyata.
15. Jika kita ambil iktibar, maka jelaslah yang kurang merit pun jika diberi peluang akan memiliki merit dan berjaya. Jika kita hapuskan diskriminasi yang memihak kepada yang tidak ada merit dan terus utamakan yang sudah ada merit maka tidak adalah yang kurang merit yang akan berjaya.
16. Memusnahkan diskriminasi berasas kaum atau bangsa akan menjadikan kita semua sama – sama sebagai warganegara. Tetapi ia akan kekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang sedia ada.
17. Baru-baru ini ada tokoh yang mendakwa keadaan di Malaysia amat buruk kerana amalan kronisma dan pilihkasih iaitu diskriminasi yang memihak kepada satu pihak. Oleh itu ia tidak ingin berniaga di sini. Apakah dia dilahir cukup kaya untuk pergi berniaga di negara yang tidak ada kronisma atau apakah dianya mengumpul modal yang banyak dari Negara ini dahulu sebelum dapat pergi ke luar negara untuk menikmati meperintahan tanpa diskriminasi. Kita tahu Negara ini yang begitu buruklah yang memberi peluang kepadanya mengumpul modal yang banyak untuk ke Negara lain. Jika dia dapat peluang, salahkah jika orang lain juga diberi peluang di negara yang kurang baik ini supaya dapat sedikit nikmat dari yang banyak yang sudah dinikmati oleh tokoh ini?
18. Peluang ini bagi kaum/bangsa yang ketinggalan tidak mungkin datang melainkan ada diskriminasi berasas kaum. Cadangan untuk rang undang-undang yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri bukan akan menghasilkan persamaan (equality) atau keadilan. Ia akan mengekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang terdapat sekarang.
19. Sesungguhnya rang undang-undang ini akan hapuskan saki-baki dari usaha mengimbangkan ekonomi antara kaum.

No comments: