NUFFNANG

Monday 17 June 2013

Zionis didakwa rancang penghapusan budaya

Zionis didakwa rancang penghapusan budaya

MICO Peled yang merupakan penulis buku The General's Son: Journey of an Israeli in Palestine, menyampaikan syarahan bertajuk 'Beyond Zionism-Hope for peace in Palestine' anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 16 Jun - Rejim Zionis kini sedang melaksanakan misi penghapusan budaya (de-Arabization) terhadap semua warisan yang dimiliki oleh Arab Palestin di Tebing Barat bagi memastikan identiti umat Islam tersebut dapat dihapuskan secara total.

Penulis buku The General's Son: Journey of an Israeli in Palestine, Miko Peled mendedahkan, usaha tersebut terserlah melalui pelbagai tindakan Israel memusnahkan semangat, monumen, bahan ilmiah dan simbolisme berkaitan Arab Palestin selain membunuh golongan budayawan tanpa sebarang alasan munasabah.

Menurutnya, pembersihan etnik yang telah bermula lebih 65 tahun lalu itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila rejim tersebut dilihat semakin agresif dalam misinya merampas semua tanah umat Islam demi sebuah 'negara etnosentrik berdaulat'.

"Israel memulakan usaha melunturkan semangat Arab Palestin dengan menyumbat pemimpin-pemimpin malah golongan marhaen ke dalam penjara bagi memastikan doktrin pembebasan, nilai budaya dan identiti bangsa mereka dapat dihapuskan.

"Oleh itu, peristiwa Naqba atau 'malapetaka' yang menjadi hari peringatan kepada Arab Palestin kini bukan berlaku pada 15 Mei 1948 sahaja tetapi sebenarnya bermula pada tarikh itu sehingga hari ini," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk 'Beyond Zionism-Hope for peace in Palestine' anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Miko yang juga anak kepada bekas Jeneral terkenal Israel, Mattityahu berkata, sesiapa sahaja yang menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel boleh dianggap menyokong tindakan rejim Zionis itu melakukan pembersihan etnik, pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan terhadap peradaban Arab Palestin.

Perkara ini jelasnya, kerana perkataan 'pendamaian' tidak pernah wujud dalam kamus pentadbiran Israel malah, mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang arahan daripada mana-mana pihak untuk menghentikan kekejaman terhadap masyarakat Arab Palestin.

Bagaimanapun tambahnya, tekanan demi tekanan perlu diteruskan terhadap rejim pimpinan Benjamin Netanyahu itu bagi menunjukkan betapa masyarakat dunia sudah jelik dengan tindakan tidak berkemanusiaan oleh mereka, seperti tekanan yang dilakukan sebelum ini pada isu apartheid di Afrika Selatan.

Melalui Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) dan lain-lain pergerakan aktivisme dalam mempertahankan nasib penduduk Palestin, beliau berkata, suara masyarakat dunia telah memberi impak kepada Israel sehingga menyebabkan pemimpin-pemimpin mereka kini berasa bimbang dan tergugat.

"Pada saya, penyelesaian dalam isu ini sebenarnya berada di hadapan kita sahaja iaitu memastikan wujudnya sebuah negara Palestin demokratik yang memberikan hak sama rata kepada kedua-dua pihak Arab Palestin dan Yahudi dalam menjalankan kehidupan mereka. Perkara ini sukar, tetapi buat masa ini, ia adalah sesuatu yang sangat relevan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi VPM, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, usaha meningkatkan infrastruktur di Palestin tidak hanya bergantung di bahu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semata-mata tetapi perlu juga digalas kerajaan.

"Kerajaan Turki telah membina sebuah hospital bernilai RM50 juta di Palestin dan saya harap kerajaan kita mengikut jejak negara tersebut kerana inisiatif sebegini bukan sahaja dapat membantu kehidupan harian penduduk malah meningkatkan imej kemanusiaan Malaysia di persada dunia," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130617/dn_03/Zionis-didakwa-rancang-penghapusan-budaya#ixzz2WRtaJ02F
© Utusan Melayu (M) Bhd 


source : utusan

No comments: