NUFFNANG

Tuesday 25 June 2013

32 peserta Black 505 dibebaskan awal pagi ini

32 peserta Black 505 dibebaskan awal pagi ini 

JUNE 25, 2013

Seramai 32 peserta Black 505 yang ditahan kerana merempuh kawalan polis di pintu masuk bangunan Parlimen semalam, dibebaskan dari Balai Polis Jinjang awal hari ini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua peserta termasuk tiga wanita itu dibebaskan secara berperingkat dengan yang terakhir pada 2 pagi selepas keterangan mereka diambil. 
"Mereka disiasat mengikut Seksyen 9(5) dan Seksyen 4(2)(C) Akta Perhimpunan Aman 2012. Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya menerusi SMS kepada Bernama hari ini. 
Beliau berkata kesemua peserta itu termasuk Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Badrul Hisham Shaharin dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dibebaskan dengan jaminan polis. 
"Kami terpaksa mengambil tindakan terhadap mereka selepas cuba melanggar benteng polis untuk memasuki kawasan Parlimen".
"Kami melihat perkara ini serius kerana beberapa anggota polis yang bertugas mengalami kecederaan dalam pergelutan yang berlaku," katanya. 
Ku berkata polis akan melakukan siasatan lanjut terhadap kesemua peserta berkenaan sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. 
Beliau berkata perhimpunan itu dianggap menyalahi undang-undang kerana tidak ada notis yang diberikan kepada pihak polis 10 hari sebelum acara itu seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. 
Semalam, kira-kira 200 peserta Black 505 bertindak ganas dengan cuba merempuh kawalan polis di perkarangan Parlimen ketika upacara mengangkat sumpah 222 anggota Dewan Rakyat bagi Penggal Pertama Parlimen ke-13 berlangsung. 
Dalam kejadian itu, seorang pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul cedera di mata kanan dan hidung manakala seorang anggota polis IPD Dang Wangi patah gigi hadapan, terseliuh ibu jari dan tangan kiri selain beberapa lagi yang turut cedera. - Bernama, 25 Jun, 2013.

No comments: